Menghadiri Jamuan Makan Malam DAP di Kg Raja



2 November 2010

Ini merupakan satu lagi aktiviti yang telah saya hadiri bersama beberapa kawan lain tetapi terlupa untuk ditulis di blogspot.

Majlis Makan Malam DAP ini diadakan selepas tidak dibuat selama beberapa tahun. Begitu ramai orang hadir ke Majlis Makan Malam ini. Hampir 500 orang.

PSM Cameron telah diberikan sebuah meja yang kemudiannya telah dipenuhi dengan kawan-kawan lain.

Di antara personaliti yang hadir dan telah memberikan ucapan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; ADUN Tras, Chong Siew Onn; Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng; ADUN Jalong, Leong Mee Meng; Ahli Parlimen Ipoh Barat, Kulasegaran dan ADUN Pasir Pinji, Su Keong Siong.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Ceramah Anti-Insinerator Di Tanah Rata



13 Nov 2010


Saya tertinggal untuk menulis ceramah ini yang telah diadakan di Barre Centre, Tanah Rata pada 13 Nov 2010 akibat kesibukan membuat persiapan untuk Majlis Makan Malam PSM 2010.

Ceramah ini dibuat untuk menerangkan bahaya insinerator yang sedang dibina di Blue Valley. Ceramah ini juga digunakan untuk melancar kempen tandatangan anti-insinerator yang bakal dihantar ke Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan.

Kami telah menjemput wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pn.Mageswari dan pasangan suami-isteri Don-Mylene yang juga lebih dikenali sebagai Green Crusaders.

Pn.Mageswari telah menerangkan keburukkan insinerator dan Don-Mylene pula telah menerangkan mengenai cara-cara untuk mengitar semula. Ceramah ini dihadiri oleh lebih kurang 30 rakyat.

Di akhir ceramah, rakyat-rakyat telah memberikan nama dan nombor telefon mereka untuk diedarkan borang tandatangan.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Penyerahan Memorandum Kepada Menteri Pelajaran Malaysia di KPM, Putrajaya Mengenai Parameswary Yang Tidak Dibenarkan Menduduki Peperiksaan SPM 2010



14 Disember 2010

Pada hari ini, kami telah membawa Parameswary Murugan ke Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya untuk menyerahkan satu memorandumkepada Menteri berkenaan isu beliau tidak dibenarkan menduduki Peperiksaan SPM 2010. Memorandum ini juga menyentuh mengenai calon SPM yang mengulang dan juga pelajar yang lemah dari segi akademik.

Memorandum kami telah diterima oleh Setiausaha Politik Menteri, Syahrin Bin Md Jamaludin. Beliau telah berjanji untuk memberikan penyelesaian dalam masa 3 hari. Beliau juga mengakui bahawa ini bukanlah satu perkara yang rumit dan boleh diselesaikan.

Kami pergi ke Putrajaya pada hari ini selepas Pejabat Pelajaran Daerah Cameron telah mengatakan mereka tidak berkuasa untuk memberi Parameswary menulis peperiksaan SPM 2010 dan Jabatan Pelajaran Pahang (JPP) pula menyalahkan Parameswary telah mendaftar lambat untuk SPM 2010. JPP juga turut mempertahankan PPD Cameron tanpa melakukan sebarang siasatan atau menghubungi kami.

Penyerahan memorandum hari ini juga telah disertai oleh kumpulan Pemuda Sosialis Sg Siput, yang juga sedang memperjuangkan pendidikan dan peperiksaan percuma di Malaysia.

Saya ingin memetik kata-kata Sdr Arul (Setiausaha Agong PSM) semasa penyerahan memorandum:

" Pelajar tidak diberi peluang untuk menulis peperiksaan dengan alasan tidak membayar yuran tidak dapat diterima. Lebih-lebih lagi Parameswary ialah pelajar yang miskin dan telah kehilangan ibubapanya. Kes ini mungkin kali pertama berlaku di Malaysia, tetapi kami mahu KPM mengambil langkah supaya ini juga kali terakhir kes sebegini berlaku di Malaysia"


Suresh Kumar
PSM Cameron

Perkhidmatan Bas Ke Blue Valley Akan Bermula 13 Disember 2010

29 November 2010

Selepas lebih dari setahun mengadakan aktiviti-aktivti mendesak perkhidmatan bas berhenti-henti di pulihkan di Cameron, akhirnya pengusaha Regal Bus Transport, En.Chai datang berjumpa dengan kami untuk berbincang bagaimana servis bas berhenti-henti di Cameron dapat diperbaiki.

Selepas perbincangan, En.Chai bersetuju untuk membaiki perkhidmatan bas secara berperingkat-peringkat. Sebagai langkah pertama, beliau bersetuju untuk melanjutkan servis bas ke Blue Valley mulai 13 Dis 2010. Kami akan mengumumkan perkara ini kepada kawan-kawan kami di Blue Valley dan meminta mereka menyokong perkhidmatan ini. Pengedaran risalah juga akan dibuat di Blue Valley mengenai perkhidmatan bas ini.

En.Chai telah bersetuju untuk bertemu kami sekali lagi untuk terus membincangkan hal ini.

Satu permulaan yang bagus dan ini jelas menunjukkan kuasa rakyat dapat membawa kejayaan walaupun mengambil masa lebih dari setahun (kuasa rakyat yang saya maksudkan di sini ialah penyerahan memorandum dengan 1000 tandatangan penduduk di LPKP, Putrajaya dan menghadirkan diri sebanyak 15 orang di perbincangan LPKP di Tanah Rata).

Sesiapa yang mempunyai cadangan dalam membaiki perkhidmatan bas berhenti-henti di Cameron Highlands, kami menjemput untuk turut serta dalam perbincangan dengan En.Chai di masa hadapan.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Malam Salam Perjuangan PSM Cameron 2010



28 November 2010

Pada hari ini, PSM Cameron telah mengadakan Majlis Makan Malam Salam Perjuangan 2010. Ini merupakan program tahunan PSM Cameron. Majlis ini telah dihadiri lebih kurang 200 orang. Sambutan tahun ini adalah sangat menggalakkan berbanding tahun lepas.

Majlis ini telah diadakan di Hotel Century Pines Resort di Tanah Rata.

Program-program seperti nyanyian lagu rakyat, aktiviti melukis, ucapan oleh barisan pimpinan PSM, persembahan slaid untuk Peguam Bala dan tarian klasik Bharatanatyam turut mengambil tempat.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Pelajar Cameron Highlands Dilarang Menduduki Peperiksaan SPM 2010

30 November 2010

PSM Cameron terkejut dan kesal apabila seorang pelajar ulangan SPM tidak dibenarkan menduduki Peperiksaan SPM 2010 akibat dikatakan tidak membayar yuran peperiksaan dan oleh sebab itu, namanya tidak didaftar sebagai calon peperiksaan SPM 2010.

Parameswary A/P Murugan sepatutnya menduduki peperiksaan SPM 2010 buat kali kedua selepas gagal kali pertama tahun lepas. Parameswary telah dibenarkan belajar sekali lagi tahun ini di SMK Ringlet, Cameron Highlands bermula 26 Mac 2010.

Parameswary telah ke PPD Cameron untuk mendaftar dan membuat bayaran peperiksaan SPM 2010. Beliau telah diberitahu bahawa yuran telah pun dibayar di atas namanya.

Parameswary telah berkunjung 4 kali ke PPD Cameron selepas itu untuk meminta nombor giliran dan Jadual Peperiksaan SPM, tetapi setiap kali beliau dihantar balik dengan alasan bahawa nombor giliran dan jadual akan diberikan pada kunjungan seterusnya. Kali terakhir beliau ke PPD Cameron ialah pada 22 November 2010 dan pegawai di situ telah memberikan Jadual Peperiksaan dan meminta Parameswary menggunakan kad pengenalannya untuk menulis peperiksaan SPM.

Pada 23 November 2010, hari pertama peperiksaan, Parameswary telah dibenarkan menulis Kertas BM 1. Selepas itu beliau tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan di SMK Sultan Ahmad Shah (SMKSAS), Tanah Rata, Cameron, di atas alasan tidak membayar yuran dan oleh sebab itu, namanya tidak didaftarkan.

Parameswary berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya telah meninggal dunia dan emaknya telah meninggalkan Parameswary (anak sulung) dan 4 orang adik-beradiknya bersama nenek. Mereka tinggal di kuarters pekerja di pedalaman Ladang Boh yang memakan masa 45 minit dari Tanah Rata. Parameswary kini masih dalam keadaan terkejut, sedih dan tertekan dengan kecuaian pihak sekolah dan PPD Cameron.

Kami di PSM Cameron berpendapat Parameswary terpinggir dan tidak diberi layanan adil sebagai seorang pelajar kerana:
  1. Keadaan sosio-ekonomi keluarganya menyebabkan pelajar seperti Parameswary terpinggir dari sistem pelajaran Malaysia. Oleh sebab Parameswary telah gagal dalam peperiksaan SPM tahun 2009, maka beliau dipandang rendah dan tidak diberikan layanan samarata seperti pelajar lain.
  2. Peperiksaan di Malaysia yang masih memerlukan calon swasta membayar yuran peperiksaan juga merupakan satu sistem di mana menunjukkan sistem pelajaran & peperiksaan bukan percuma.
  3. Sistem birokrasi yang rumit seperti di bawah juga menyebabkan Parameswary gagal mendaftar untuk peperiksaan SPM 2010.
  • Pelajar yang mengulang tidak dibenarkan menulis peperiksaan di sekolah yang sedang beliau belajar.
  • Pelajar yang mengulang harus berurusan dengan PPD.
Kami sudah menulis kepada Jabatan Pelajaran Pahang dan Menteri Pelajaran Malaysia untuk masuk campur dan menyelesaikan masalah ini, tetapi tiada jawapan sehingga ke hari ini. Kami berharap pelajar-pelajar seperti Parameswary tidak dipinggirkan akibat keadaan sosio-ekonominya.

Suresh Kumar
PSM Cameron