Pembukaan Rasmi Pusat Khidmat PSM Cameron Highlands.



4 Mei 2008

3 Mei 2008 merupakan detik penuh bermakna untuk sebilangan rakyat Cameron. Pada hari inilah pejabat Pusat Khidmat PSM Cameron dirasmikan dengan rasminya oleh komrad Dr.Nasir Hashim.

Pusat khidmat ini telah ditubuhkan pada Ogos 2005. Pada permulaannya, pusat ini telah dikenali dengan nama Pusat Perkhidmatan Rakyat Cameron Highlands. Sejak penubuhannya, pusat ini telah mengendalikan lebih kurang 100 kes.

Tetapi selepas pilihanraya umum 2008, pusat ini telah mendapat sambutan yang lebih baik dari segi bilangan kes dan juga sukarelawan. Cadangan telah dibuat selepas itu untuk mewujudkan satu pejabat tersendiri. Nama pusat ini juga telah dicadangkan untuk ditukar kepada Pusat Khidmat PSM. Selepas beberapa perbincangan, lokasi pejabat baru telah dikenalpasti.

Pada 3 Mei 2008, buat kali pertamanya, bendera merah PSM telah dikibarkan di sepanjang jalan masuk ke dalam pejabat ini. Bendera PSM juga telah digantung di luar pejabat PSM. Pada pukul 4.30 petang, tetamu mula mengisi lokasi majlis pelancaran. Disebabkan oleh satu insiden kemalangan yang kecil, ketibaan komrad-komrad dari Selangor tertunda sehingga 5.20 petang.

Selepas ketibaan komrad-komrad dari Selangor, majlis dimulakan dengan ucapan komrad Suresh Kumar. Tugas pengerusi majlis pula di serahkan kepada komrad baru Cameron, Simon. Saudara Suresh telah menerangkan mengenai situasi am PSM di peringkat nasional dan kemudian telah memberikan penjelasan mengenai kerja-kerja pusat khidmat PSM di Cameron.

Ucapan seterusnya ialah dari komrad Aruth, SUA PSM. Beliau telah memberikan penjelasan mengenai kuasa rakyat yang dapat mengubah sesebuah negara dengan contoh bagaimana rakyat berfikiran jauh ke hadapan berbanding parti-parti politik untuk PRU 2008. Komrad Aruth juga telah memberitahu mengenai krisis makanan yang sedang dihadapi dan mungkin mencetuskan kemelesetan ekonomi. Menurut beliau, harapan PSM terhadap 5 negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat adalah supaya; kelima-lima negeri ini dapat lebih melindungi rakyat ketika krisis ini.

Ucapan seterusnya adalah daripada saudari Ling, seorang penyokong pusat khidmat PSM. Beliau telah menerangkan bagaimana pusat khidmat ini telah menghulurkan bantuan ketika penduduk di Pekan Lama, Brinchang menghadapi masalah.

Ucapan terakhir adalah dari Komrad Dr.Nasir, Pengerusi PSM. Beliau telah menerangkan betapa pentingnya untuk rakyat bersatu untuk menunutut hak mereka. Menurut beliau lagi, yang penting adalah hati untuk menolong rakyat lain, dan bukannya tahap pendidikkan atau kedudukan di dalam masyarakat.

Selepas itu, kesemua hadirin telah dibawa menonton satu ‘slaid show’ ringkas diikuti dengan perasmian pusat khidmat PSM. Semua hadirin telah dibawa mengikuti satu majlis jamuan teh selepas itu.

Suresh Kumar
PSM Cameron