Memorandum kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)



5 November 2009

Pada hari ini, satu memorandum beserta 1000 tandatangan penduduk Cameron telah dihantar kepada Pengarah LPKP, Datin Naimah. Memorandum ini adalah berkenaan perkhidmatan bas berhenti-henti di Cameron yang hampir lumpuh.

Saya bersama-sama beberapa wakil Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) telah pergi terus ke Pejabat LPKP tanpa mendapatkan sebarang temujanji. Ini adalah kerana sebelum ini, permintaan untuk temujanji tidak dilayan. Sila baca tulisan saya mengenai isu ini dalam Tindakan Pro-Aktif... LPKP Di Pihak Siapa?

Perkhidmatan bas berhenti-henti di Cameron dijalankan oleh The Regal Transport Company Sdn Bhd. Beberapa masalah yang telah dikemukakan adalah seperti:
  1. Bas yang lama dan kerap kali rosak (tidak selesa)
  2. Bas tidak mengikut jadual
  3. Kekerapan bas terlalu lama
  4. Masalah-masalah pekerja bas yang membawa kesan kepada perkhidmatan bas
  5. Perjalanan bas yang tamat di Kg Raja dan bukannya Blue Valley
Datin Naimah telah berjanji untuk mengadakan perbincangan dengan The Regal Transport Company dan memastikan sama ada mereka masih lagi boleh menjalankan perkhidmatan bas berhenti-henti di Cameron. Jika tidak boleh, Datin Naimah telah berjanji untuk menukar operator bas yang baru.

Datin Naimah juga telah berjanji untuk bertemu semula dengan kami dalam masa 2 bulan.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Penyerahan Memorandum Di SUHAKAM



5 November 2009

Pada hari ini, satu
memorandum telah diserahkan di SUHAKAM berkenaan penafian hak untuk memiliki rumah dan tanah pertanian di Cameron Highlands. Memorandum ini telah disediakan melalui Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron, salah satu kumpulan di bawah PSM Cameron. Aduan telah dibuat ke atas:
  1. Dato Hj Mohamad Noor, Pegawai Daerah Cameron Highlands
  2. Pegawai-pegawai Daerah Cameron sebelum ini
  3. Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands (PTDCH)
Memorandum ini telah diterima oleh Dato' Siva Subramaniam, salah seorang ahli suruhanjaya SUHAKAM.

Memorandum ini adalah berkenaan penafian hak oleh Pegawai Daerah dan PTDCH untuk memberikan Lesen Pendudukan
Sementara (LPS) kepada petani dan pemilik rumah di Cameron. Sebanyak 8 orang pengadu telah membuat aduan.

Aduan ini dibuat apabila Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor, tidak ingin bertemu penduduk yang mempunyai masalah tanah dan rumah.

Aduan turut dibuat terhadap pihak polis yang hadir dengan bilangan yang banyak setiap
kali rakyat ingin berjumpa Pegawai Daerah, Dato Hj Mohamad Noor. Dato' Siva telah membidas hal ini dengan berkata bahawa adalah tanggungjawab penjawat awam untuk berjumpa dengan rakyat dan mereka tidak perlu takut. Walaubagaimanapun, beliau telah berjanji untuk meneliti laporan yang telah dibuat terhadap pihak polis.

SUHAKAM berjanji untuk menyiasat hal ini dan memberitahu kami perkembangan lanjut.

Perjuangan petani dan pemilik rumah yang dianiaya akan diteruskan.

Suresh Kumar
PSM Cameron



Banner Dinaikkan Sekali Lagi



7 November 2009

Pada hari ini, pekerja-pekerja Blue Valley telah menaikkan banner perjuangan sekali lagi. Banner yang digantung pada kali pertama telah ditanggalkan oleh orang yang tidak diketahui pada awal pagi. Pada hari ini 3 banner telah dinaikkan. Banner-banner ini telah dibuat sendiri oleh pekerja-pekerja Blue Valley.

Suresh Kumar
PSM Cameron