Perjuangan Peniaga Kecil Di Kea Farm



28 September 2010

Pada hari ini, 3 peniaga kecil Kea Farm telah mengadakan pengedaran risalah di Brinchang, Cameron Highlands. Banyak kawan lain telah turut serta dalam pengedaran risalah ini. Risalah ini berkenaan pengusiran sekitar 18 peniaga kecil di sepanjang jalan di Green Cow, Kea Farm untuk memberikan laluan kepada pemaju Sugnature Landmark Property Sdn Bhd.


Apakah masalah di Green Cow, Kea Farm?
Green Cow ialah kawasan di sekitar persimpangan ke Ladang Teh Sg Palas. Green Cow terletak lebih kurang 4 kilometer dari bandar Brinchang. Di sepanjang jalan utama di kawasan ini terletak 18 gerai peniaga kecil yang sedang berniaga sayuran, bungaan dan barang-barang cenderahati.

Pada akhir tahun lepas, satu projek membina hotel, apatmen dan lot kedai telah dimulakan di belakang gerai mereka. Projek yang dinamakan Aranda Nova ini diusahakan oleh pemaju Signature Landmark Property Sdn Bhd yang berpejabat di Ipoh, Perak.

Sebagai salah satu syarat supaya projek ini diluluskan, Signature Landmark telah diminta membesarkan jalan utama dari 50kaki kepada 66kaki. Pembesaran jalan akan menyebabkan sebahagian banyak gerai-gerai ini terpaksa dirobohkan.

Walaupun gerai-gerai ganti telah dibina oleh Signature Landmark. para pegerai enggan berpindah kerana:
  1. kecil
  2. merbahaya (pernah dirempuh landrover)
  3. lokasi tidak sesuai
  4. tidak dibincang terlebih dahulu
  5. tiada parking untuk pelawat
  6. hanya boleh diguna untuk 2 tahun shj
  7. terpaksa membayar sewa RM150 sebulan kepada pemaju

Pegerai menerima notis pengusiran yang di 'back-dated'

Pada 29 Julai 2010, pegerai ini tela menerima notis pengusiran dari Pejabat Daerah Cameron. Notis ini telah di 'back-dated' ke 14 Jun 2010. Di dalam notis tersebut, Pejabat Daerah Cameron telah meminta pegerai mengosongkan gerai mereka serta merta. Denda RM10,000 atau penjara 1 tahun menanti mereka jika mereka tidak keluar. Peliknya, hanya sekarang Pejabat Daerah Cameron mendapat tahu gerai-gerai 'haram' ini dan bukannya untuk 17 tahun yang lepas.


Percubaan Signature Landmark Untuk Meroboh Pondok Bas
Pada 17 Julai 2010, pemaju Signature Landmark telah cuba merobohkan pondok bas yang terletak di antara gerai-gerai peniaga. Hasil perpaduan pegerai, perobohan ini telah dapat diberhentikan. Aduan polis telah dibuat mengenai perobohan ini.


Surat dihantar kepada 8 pihak
Setelah menerima notis pengusiran dan percubaan meroboh pondok bas, pegerai telah sedar bahawa gerai mereka akan dirobohkan jika mereka tidak bertindak cepat. 5 pegerai telah bersatu membentuk Gabungan Peniaga Kecil Kea Farm. Gabungan ini dibantu oleh PSM Cameron dan orang perseorangan yang lain. Melalui Gabungan ini, surat telah dihantar kepada pihak-pihak berikut:
  1. Ahli Parlimen Cameron, Y.B. Dato S.K.Devamany
  2. ADUN Tanah Rata, Y.B.Ho Yip Kap
  3. Pegawai Daerah Cameron
  4. Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH)
  5. Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob
  6. Setiausaha Kerajaan Pahang
  7. Pengarah Pejabat Tanah & Galian Pahang
  8. Pengarah-Pengarah Signature Landmark Property Sdn Bhd
Setiausaha Dato' Devamany, Pn.Ananthi ingin mengaturkan perbincangan tetapi telah meminta ahli-ahli PSM Cameron tidak turut serta. Gabungan tidak bersetuju dengan syarat ini dan telah memboikot perbincangan yang diadakan. Sila baca Ahli Parlimen Cameron Tidak Mahu Berjumpa Rakyat Bersama Ahli-ahli PSM.

Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor tidak mahu berjumpa dengan ahli-ahli Gabungan walaupun kami telah menunggu selama 1/2 jam di Pejabat Daerah. Satu laporan polis telah dibuat berkenaan isu ini. Sila baca Peniaga Kecil Kea Farm Minta Pejabat Daerah Cameron Tidak Sebelahi Pemaju.

Setiausaha MDCH telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan di antara wakil Signature Landmark. Di dalam perbincangan ini, ahli-ahli Gabungan telah mengambil pendirian untuk tidak membenarkan perobohan pondok bas di Kea Farm. Perjanjian ini juga telah memberikan peluang kepada ahli Gabungan menyatakan tuntutan mereka kepada wakil pemaju Signature Landmark.

SUK Pahang telah membalas surat kami dengan meminta Pegawai Daerah Cameron (yang juga dipertua MDCH) memberikan penjelasan segera mengapakah Kerajaan Negeri Pahang ingin memaksa peniaga kecil Kea Farm berpindah.

Pihak-pihak lain tidak menjawab surat-surat kami.


MCA Cameron berjaya memujuk
Pada takat ini, MCA Cameron telah berjaya memujuk 2 orang dari peniaga di dalam Gabungan untuk keluar. Mereka telah dijanjikan dengan gerai yang akan dibina dan wang tunai sebagai pampasan. Kini tinggal 3 orang peniaga sahaja dalam Gabungan.


Banner naik dan turun
Banner perjuangan telah dibuat sendiri oleh ahli-ahli Gabungan. Sila baca Banner Dibuat Oleh Ahli Gabungan Di Kea Farm. Banner-banner ini telah digantung di 3 gerai. Walaubagaimanapun, akibat aduan oleh pemaju di MDCH dan polis, kedua-dua pihak tersebut telah menurunkan banner-banner perjuangan Gabungan. Laporan polis juga telah dibuat mengenai penurunan banner tersebut.


Sidang Akhbar Di Hadapan Pejabat Pemaju Signature Landmark di Greentown, Ipoh
Oleh sebab tiada inisiatif dari pemaju untuk mengadakan perbincangan dengan pegerai, maka ahli-ahli Gabungan telah mengadakan sidang akhbar di hadapan pejabat pemaju. Pengedaran risalah juga telah dibuat sekitar pejabat pemaju.

Tidak kesemu media telah menerbitkan cerita sebenar yang sedang berlaku di Green Cow. Harian Metro dan satu lagi surat khabar Mandrin hanya menerbitkan versi yang diberikan oleh pengarah Signature Landmark, Dato Goh Wan Sing. Di dalam Harian Metro, berita-berita palsu adalah seperti:
  1. semua peniaga sedia berpindah kecuali 3 peniaga di dalam Gabungan
  2. 3 peniaga dalam Gabungan meminta RM200,000 seorang
  3. pegerai-pegerai ini berniaga di situ secara haram

Pegerai Haram Atau Peneroka Bandar???
Adakah pegerai di Kea Farm itu peniaga haram (setinggan)? Pegerai haram adalah pegerai yang tidak mempunyai dokumen pendudukan. Tetapi meraka inilah antara punca Kea Farm telah menjadi satu pusat tarikan pelancung yang utama di Cameon Highlands. Selama 17 tahun, mereka dibenarkan berniaga, diberi bekalan air dan elektrik dan juga diberi lesen berniaga.

Selama 17 tahun mereka berniaga, tiada notis pengusiran dikeluarkan. Mereka secara tidak langsung diiktiraf sebagai perniagaan yang diperlukan untuk memajukan tempat tersebut. Tetapi kini apabila tempat itu hendak dimajukan, mereka dipaksa beredar dan punca pendapatan mereka terjejas. Pegerai ini digolongkan sebagai Peneroka Bandar dan bukan peniaga haram, seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro.

Perjuangan peniaga kecil Kea Farm akan berterusan...

Suresh Kumar
PSM Cameron

Sessi Perbincangan Bersama Sdr Dr.Kumar, Ahli Parlimen PSM Sg Siput



27 September 2010

Pada hari ini, PSM Cameron telah mengadakan satu sessi perbincangan dengan Sdr Dr.Michael Jeyakumar Devaraj, yang lebih dikenali sebagai Dr.Kumar. Sessi ini adalah mengenai tekanan-tekanan neo-liberal yang dikenakan oleh pentadbiran kerajaan BN di bawah perdana menteri Dato Sri Najib. Di antara tekanan-tekanan ini ialah GST, pindaan Akta Pekerja, model-model ekonomi yang tidak menguntungkan rakyat seperti NEP dan NEM, pemotongan subsidi dan lain-lain lagi.

Dr.Kumar telah memberikan penerangan yang jelas beserta dengan butir-butirnya. Banyak persoalan juga telah timbul di kalangan hadirin. Sebanyak 40 orang telah mengahdiri sessi hari itu.

Banyak perbincangan juga telah diadakan mengenai peranan rakyat menghentikan ancaman neo-liberal ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Ceramah Anti-Insinerator Tidak Mendapat Sambutan Di Blue Valley



21 Ogos 2010

Satu ceramah ANTI-INSINERATOR yang diadakan di Blue Valley pada hari ini tidak mendapat sambutan. Hanya lebih kurang 20 orang sahaja hadir. Kebanyakkan yang hadir adalah ahli-ahli MPR.

Tujuan ceramah ini diadakan adalah kerana pembinaan insinerator di Blue Valley. Insinerator adalah tempat pembakaran sampah yang memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Sila baca Kempen Anti-Insinerator Di Cameron Sudah Bermula.

Ceramah ini tidak begitu mendapat sambutan kerana:
  1. kurang kesedaran di kalangan penduduk Blue Valley mengenai bahaya insinerator
  2. pertukaran lokasi ceramah di saat terakhir akibat penarikan balik dewan kuil Blue Valley
  3. tingkahlaku polis Kg Raja yang membuat rondaan berkali-kali di kawasan ceramah
Akan tetapi, kami akan cuba membawa kesedaran mengenai bahaya insinerator kepada masyarakat dengan strategi yang lain.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Banner Dinaikkan Di Kea Farm



2 September 2010

Hari ini, peniaga-peniaga kecil Kea Farm telah bersama-sama membuat banner untuk dinaikkan di hadapan kedai masing-masing. Banner-banner ini dibuat selepas permintaan mereka untuk mendapatkan gerai-gerai ganti di tempat baru tidak memperolehi jawapan dari mana-mana pihak.

Banner yang dibuat pada hari ini berbunyi:
  1. KERAJAAN JANGAN PAKAT DENGAN PEMAJU
  2. JANGAN USIR PAKSA KAMI
  3. KAMI PENEROKA BANDAR, BUKAN SETINGGAN
  4. KAMI SUDAH 17 TAHUN NIAGA
Banner-bannner ini akan dinaikkan tidak lama lagi.

Suresh Kumar
PSM Cameron