Bengkel 'Polis Dan Hak Anda' Di Cameron Highlands



29 Mac 2009
Pada hari ini, kami di PSM Cameron telah menjalankan bengkel 'Polis Dan Hak Anda'. Program ini telah diadakan di Tanah Rata. Turut menganjurkan bengkel ini ialah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). Sdr Aruthchelvan telah dijemput untuk menjalankan program ini. Bengkel ini telah disertai lebih kurang 50 orang peserta.

Bengkel ini telah merangkumi perkara-perkara seperti berikut:
  1. Struktur polis
  2. Cara-cara membuat laporan polis
  3. Hak-hak anda ketika diberhentikan, disoal atau ditahan polis
  4. Penahanan reman oleh majistret
  5. Pemeriksaan badan

Bengkel ini bermula pada pukul 10 pagi dan tamat pada pukul 5 petang. Kesemua peserta amat gembira kerana mereka tidak pernah menyertai bengkel sebegini. Mereka mendapati bengkel ini sangat informatif. Terdapat juga cadangan dari perserta Teluk Intan untuk mengadakan bengkel sedemikian rupa di tempat mereka. Cara Aruth menjalankan bengkel ini juga telah menarik minat ramai peserta, sehingga ada yang menganggap Aruth sebagai seorang anggota polis. Setiap peserta juga telah diberikan satu fail yang mengandungi bahan-bahan bantuan untuk mereka mengetahui hak-hak mereka dengan pihak polis.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Satu Lagi Projek Tanpa Perundingan Rakyat... Perobohan Perhentian Teksi Tanah Rata



24 Mac 2009

Latar belakang Isu
Kawasan Perhentian Teksi Tanah Rata dan kawasan sekitarnya hendak dirobohkan dan ditukar menjadi tempat letak kereta. Cadangan ini telah dibuat oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH). Tiada rundingan yang dibuat dengan masyarakat tempatan. MDCH hanya mengeluarkan arahan kepada pemandu teksi supaya berpindah ke tempat yang baru yang masih lagi belum siap selengkapnya.

Pemandu teksi Tanah Rata sanggup berpindah jika MDCH dapat menyiapkan tempat baru. Malangnya tempat baru tersebut kekal dalam keadaan asal; tanpa pintu, tanpa bekalan elektrik dan tanpa talian telefon. Permintaan untuk kemudahan tersebut telah dibuat lebih dari 2 bulan dahulu.

Pada 24 Mac 2009
Saya dan Sdr Simon telah menghadirkan diri di pekarangan Perhentian Teksi Tanah Rata untuk memberi sokongan solidariti kepada saudara dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ingin membela nasib pemandu teksi Tanah Rata. Kami tiba di tempat tersebut sekitar 8.45pagi. Suasana pada masa itu masih lagi sunyi. Hanya terdapat beberapa wartawan selain daripada ahli PKR dan pemandu teksi.

Jentolak mula datang pada pukul 9.15 pagi. Ini diikuti dengan pasukan polis yang bilangannya begitu banyak. Struktur pertama yang dirobohkan ialah bangunan kedai di sebelah perhentian teksi. Selepas itu, MDCH telah datang untuk merobohkan Perhentian Teksi. Saudara dari PKR bersama wakil-wakil pemandu teksi telah berhujah untuk menghentikan perobohan ini. Wakil yang dihantar untuk berunding ialah salah seorang Penolong Pegawai Daerah Cameron, En.Azlan. Saya tidak pasti sama ada En.Azlan benar-benar mempunyai kuasa untuk membuat keputusan pada hari itu. Turut sama berhujah ialah pegawai polis. Yang Di-Pertua dan Setiausaha MDCH tidak kelihatan di situ. Ini adalah satu masalah yang utama di Cameron di mana pegawai yang mengeluarkan arahan untuk sesuatu projek boleh 'hilang' apabila hendak berjumpa dengan masyarakat yang terjejas akibat projek tersebut.

Selepas beberapa siri hujah dengan En.Azlan dan pegawai polis, akhirnya pihak MDCH telah bersetuju untuk menyiapkan tempat baru Perhentian Teksi dalam masa 4 jam. MDCH dan polis terpaksa akur kepada kuasa rakyat. Pemandu teksi telah diminta berpindah hanya pada pukul 4.30 petang. MDCH dapat menjalankan satu kerja yang tertangguh selama 2 bulan dalam masa 4 jam sahaja!

Suresh Kumar
PSM Cameron