Ketua MIC Cuba Berdalih.

14 Ogos 2008

Pada hari ini, satu perbincangan telah diadakan di antara Pekerja Ladang Blue Valley, Ketua Polis Balai (KPB) Kg. Raja dan ketua MIC, En.Seran. Perbincangan ini telah diatur oleh pekerja Ladang Blue Valley berikutan satu insiden pada hari sebelumnya. En.Seran telah memarahi dan mengugut pekerja Ladang Blue Valley dengan sebab bahawa laporan polis telah dibuat ke atas beliau oleh pekerja Ladang Blue Valley. Perjumpaan ini juga telah diadakan untuk menyoal tindakan anggota Cawangan Khas Polis (SB) yang hadir di dalam mesyuarat sesama pekerja.

Latar Belakang Insiden
PSM Cameron telah dijemput untuk membantu pekerja Ladang Blue Valley berkenaan masalah buruh dan rumah mereka. Kami telah bekerja dengan mereka secara konsisten untuk lebih dari 2 bulan.

Di dalam jangka masa ini, pekerja Blue Valley telah diugut atau di marahi oleh ketua-ketua MIC, En.Seran dan En.Karupanan, sebanyak 2 kali. Sebab utama ialah kerana pekerja Blue Valley telah menjemput PSM membantu mereka. Di dalam satu insiden, mereka dalam keadaan mabuk. Perkara ini telah dilaporkan kepada Pegawai Buruh, tetapi tiada laporan polis dibuat.

Ahli SB juga telah turut hadir di dalam salah satu mesyuarat. SB juga hadir ketika pekerja menyerahkan surat tuntutan kepada pengurus ladang. Ini menunjukkan terdapatnya kaitan di antara pengurus ladang dengan SB.


Pada 14 Ogos 2008
Pada hari ini, hanya En.Seran hadir sebagai wakil MIC. Sebaik sahaja semua orang mengambil tempat duduk, En.Seran berkata bahawa beliau berada di situ untuk mempertahankan MIC. Pekerja-pekerja Blue Valley telah berkata bahawa mereka tidak puas hati dengan kedatangan ketua MIC ke ladang untuk memarahi mereka.

En.Seran telah berkata bahawa beliau telah memarahi pekerja Blue Valley kerana aduan polis yang dibuat ke atas beliau. Apabila di tanya dari manakah beliau mendapat maklumat ini, beliau telah berkata bahawa beliau telah menerima panggilan dari Bukit Aman dan Putrajaya. Apabila ditanya lagi bagaimana beliau menerim a panggilan sedangkan tiada laporan polis dibuat, En.Seran terus berdolak-dalih. Ini ditambah dengan telefon bimbitnya. Setiap kali beliau mendapat panggilan, beliau akan keluar dan mengambil masa yang panjang. Ini seolah-olah mengelak beliau daripada disoal lagi.

Saya juga telah menyatakan bahawa kami tidak bersetuju dengan kehadiran SB di dalam aktiviti kami. KPB cuba menjelaskan pendirian beliau dengan berkata bahawa SB perlu tahu apa yang berlaku di sekitar beliau supaya keadaan yang aman dan selamat dapat dikekalkan. Buat seketika, para pekerja turut menangguk kepala kepada penjelasan KPB. Namun, KPB telah disoal semula; mengapakah SB perlu hadir di dalam perbincangan mengenai isu buruh? Dan apakah bukti yang ada pada beliau menunjukkan bahawa keadaan tidak selamat ketika perbincangan para pekerja? KPB terus berpendirian bahawa itu adalah tugas SB untuk mengawal dan bukan untuk mengintip. Kami juga terus teguh dengan pendirian kami.

Di akhir perbincangan, kami telah meminta En.Seran supaya tidak lagi mengugut atau memarahi pekerja Blue Valley. Dan juga kami tidak mahu SB mengintimidasi para pekerja. Walaupun tiada jaminan yang diberikan oleh En.Seran atau KPB, namun kami telah bersepakat untuk membuat laporan polis jika perkara ini berulang lagi di masa hadapan.

Suresh Kumar
PSM Cameron

War And Not Peace?




28 August 2008
Enjoy it.

Suresh
PSM Cameron

Ibu Tunggal Cameron Semakin Teguh Ke Hadapan.




24 Ogos 2008

Perjumpaan ke-3 ibu tunggal telah diadakan pada hari ini. Satu kejayaan selepas dua perjumpaan pertama dan diikuti dengan lawatan ke Pejabat Kebajikan Cameron. Kali ini, 13 orang peserta telah mengambil bahagian.

Sessi pertama ialah sesi perbincangan kumpulan. Setiap kumpulan telah diminta untuk mencadangkan aktiviti-aktiviti untuk ibu tunggal Cameron jika mereka dipilh menjadi:
  1. wakil rakyat
  2. pegawai daerah
  3. pegawai kebajikan
Sessi kedua ialah permainan 'action based'. Ini diikuti dengan minuman ringan.

Sessi ketiga ialah kelas mengenai sejarah dunia - sistem feudal.

Sessi keempat dan terakhir adalah satu debat mengenai ibu tunggal dan fahaman ortodoks. Banyak peserta telah menyuarakan pendapat mereka di dalam sessi ini.

Satu cadangan akan dilaksanakan pada 14 September 2008; iaitu kelas masakan (kek dan biskut) dan kelas bahasa untuk peserta.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Kini Rumah Sudah Tiba Di Tepi Cerun...



23 Ogos 2008


Bagaimanakah seseorang yang sudah menetap lebih dari 30 tahun di sebuah rumah, kini boleh diminta keluar kerana tempat tinggalnya sudah dipajak kepada seorang yang lebih kaya? Inilah nasib yang dialami oleh En.Ezumalai dan isterinya di Ulu Ringlet, Cameron Highlands.

Ezumalai telah lahir dan membesar di rumah tersebut. Setelah bapanya meninggal dunia, beliau telah terus menduduki rumah tersebut bersama keluarganya. Malangya, 3 tahun lepas beliau telah mendapat tahu kawasan rumah beliau dan sekitarnya sudah dipajak kepada orang lain yang lebih berada.

Kawasan yang dipajak adalah 3 kali ganda lebih besar dari kawasan yang dipohon oleh En.Ezumalai. Dan mengikut borang permohonan di Pejabat Tanah Cameron, En.Ezumalai telah memohon dahulu.

Beliau yang sudah membuat permohonan sejak 18 tahun dahulu telah diketepikan. Mengapakah kawasan rumah beliau begitu dikehendaki sekarang? Ini adalah kerana projek-projek perumahan telah bermula di sekeliling rumah En.Ezumalai. Maka kawasan rumahnya telah menjadi 'prime land'.

Berbagai cara telah digunakan untuk mengeluarkan En.Ezumalai dan keluarganya dari rumah tersebut. Pujukan halus, kunjungan pegawai Pejabat Tanah, dan akhirnya ganjaran hanya sebanyak RM5000 untuk sebuah rumah.

Kawasan di sekeliling rumahnya telah dikerjakan. Setelah tiga tahun berjuang, rumah En.Ezumalai telah ditolak ke tepi cerun. Kami dari Pusat Khidmat PSM akan terus berganding bahu bersama En. Ezumalai dan keluarganya berjuang demi rumah mereka.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Sampai Bila... Satu Lagi Isu Penafian Hak Di Blue Valley.



19 Ogos 2008

Sekumpulan pekebun telah berjumpa kami pada 30 Julai 2008 berkenaan kebun-kebun mereka yang masih tidak mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS) walaupun sudah berkebun selama 20 tahun ke 30 tahun.

Setiap kali permohonan dibuat, ia ditolak atau tidak diberi jawapan. Jika ditolak, jawapan 'standard' dari Pejabat Tanah Cameron ialah "polisi kerajaan Pahang tidak membenarkan pembukaan tanah pertanian baru di Cameron".

Tetapi peliknya, polisi ini tidak menimbulkan masalah untuk pemegang LPS dengan keluasan tanah yang besar . Banyak pekebun besar (sekitar 15 daripada mereka) telah membuka tanah pertanian yang baru di kawasan itu.

Di antara masalah pekebun-pekebun kecil ini ialah:
  1. masalah jalan akses ke kebun yang sentiasa cuba dihalang oleh pekebun yang mempunyai LPS.
  2. pernah dikompaun RM500 untuk menduduki tanah kerajaan secara haram.
  3. masalah banjir di kebun akibat pembinaan plastik di kebun lain dan juga sungai yang cetek.
  4. permemohonan permit untuk kerja-kerja tanah ditolak di atas alasan tidak mempunyai LPS.
  5. sungai yang menjadi cetek akibat tanah yang mengalir masuk dari kerja-kerja tanah tempat lain.
Pejabat Daerah Cameron tidak pernah mengambil berat mengenai isu ini, malah cuba memberikan harapan palsu dengan mengadakan beberapa siri temuduga yang tidak berpenghujung.

Pusat Khidmat PSM telah meminta temujanji dengan Pegawai Daerah Cameron untuk berbincang hal ini, tapi kami belum mendapat sebarang jawapan.

Di manakah hak seorang rakyat untuk menetap dan hidup di negara ini? Kami akan bersama pekebun kecil Blue Valley meneruskan perjuangan ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Banjir Kilat Mengancam Tiga Keluarga Selama 2 Tahun.



10 Ogos 2008

3 keluarga di Bertam Valley, Ringlet tinggal di dalam ketakutan setiap kali hujan. Rumah mereka yang berhampiran dengan sungai kerap kali dinaiki air apabila hujan lebat. Perkara ini mula berlaku sejak pembinaan jalan Cameron – Kuala Lipis dimulakan.

Sejak Mei 2006,

a.) 4 surat sudah dihantar kepada Pegawai Daerah Cameron Highlands.

b.) 1 surat sudah dihantar kepada MB Pahang.

c.) 1 keratan akhbar mengenai isu ini di dalam Malaysia Nanban.

d.) 2 surat sudah dihantar kepada ADUN Tanah Rata, Y.B.Choong Ching Yan.

e.) 5 surat sudah dihantar kepada MP Cameron Highlands, Y.B.Devamany.

f.) 4 laporan polis sudah dibuat.

Hanya janji kosong yang telah diberikan selama 2 tahun ini.

Jumlah ahli ketiga-tiga keluarga ialah sekitar 15 orang. Di antara mereka, seorang tidak mempunyai kedua-dua kaki dan seorang lagi menghidapi Down Syndrome.

Satu lagi masalah yang dihadapi dalam menangani isu ini ialah tiada kesefahaman di antara ketiga-tiga keluarga walaupun ketiga-tiga mereka ialah saudara mara. Setiap dari keluarga tersebut hanya mahukan penyelesaian untuk keluarga mereka tersendiri.

Kami di Pusat Khidmat PSM telah menasihati mereka dan telah mencadangkan beberapa jalan penyelesaian.

Suresh Kumar
PSM Cameron