Ahli Parlimen Cameron Tidak Mahu Berjumpa Rakyat Bersama Ahli-ahli PSM

Berikutan masalah yang sedang dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil di Kea Farm, peniaga-peniaga tersebut telah menghantar sepucuk surat kepada Ahli Parlimen Cameron, Dato S.K.Devamany meminta beliau masuk campur mengadakan satu perjumpaan di antara pihak pemaju dan pegerai.

Malangnya, setiausaha beliau telah menelefon dan meminta pegerai datang ke perbincangan tanpa ahli-ahli PSM.

Berikut ialah surat jawapan yang akan dihantar kepada Dato S.K.Devamany:

6 OGOS 2010

Gabungan Peniaga Kecil Kea Farm,
C1-G3, Blok C1, Royal Lily,
39000 Tanah Rata,
Cameron Highlands.

Y.B. Dato S.K.Devamany,
Ahli Parlimen Cameron Highlands,
66C, Jalan Camellia 3,
39000 Tanah Rata,
Cameron Highlands.

DENGAN TANGAN

Tuan,
Permintaan Mengadakan Perbincangan Dengan Kesemua Ahli Gabungan Peniaga Kecil Kea Farm Dan Bukannya Dengan Pemilik Gerai Sahaja

Merujuk kepada perkara di atas, kami amat menghargai kesudian tuan untuk mengadakan perbincangan dengan kami pada hari ini pukul 9 pagi.

2. Tetai kami hairan apabila pihak tuan dengan keras telah melarang ahli-ahli gabungan lain turut hadir dalam perbincangan tersebut. Larangan itu telah ditujukan kepada kawan-kawan kami dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sedang membantu kami dalam berjuang mempertahankan hak kami.

3. Melalui perbualan telefon di antara setiausaha tuan, Pn.Ananthi dengan wakil kami, Pn.Vanitha; Pn.Ananthi telah bertindak memberi amaran meminta jangan membawa sesiapa orang lain untuk perbincangan tersebut. Apabila ditanya mengapakah kawan-kawan lain tidak dibenarkan turut serta, Pn.Ananthi dengan keras menjawab ‘tak fahamkah?’.

4. Untuk pengetahuan tuan, kami pernah menghantar surat kepada tuan dan pihak-pihak lain melalui Pos Laju sebelum ini tetapi tidak pernah mendapat sebarang jawapan. Oleh sebab itu, kami telah mendapatkan bantuan kawan kami dari PSM dan surat kedua telah dihantar melalui tangan. Jika tuan mempunyai kesungguhan untuk menyelesaikan masalah sebelum ini, tuan tentu boleh mengadakan perbincangan dengan kami apabila mendapat surat pertama.

5. Kami kini telah membentuk Gabungan Peniaga Kecil Kea Farm di atas nasihat kawan-kawan dari PSM. Kawan-kawan dari PSM juga merupakan sebahagian daripada gabungan ini. Oleh sebab itu, kami mahukan kawan-kawan kami berada bersama kami ketika perbincangan diadakan.

6. Tuan sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat tidak seharusnya takut untuk berjumpa dengan rakyat, walaupun mereka dari PSM. Tindakan tuan yang selektif memilih orang untuk berjumpa menunjukkan seolah-olah tuan enggan berbincang untuk mencari penyelesaian masalah di Kea Farm.

7. Kami dengan ini menolak pelawaan tuan untuk mengadakan perbincangan secara selektif. Kami mahukan tuan mengadakan perbincangan bersama dengan semua ahli Gabungan. Kami juga mahukan setiausaha tuan untuk menghormati kami sebagai rakyat dan berhenti memberikan amaran melalui telefon di masa hadapan. Kami akan menunggu temujanji seterusnya untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak tuan.

Sekian.

Yang benar,
Wakil Ahli-Ahli Gabungan Peniaga Kecil Kea Farm Yang Bertandatangan Seperti Di Bawah

No comments: