Peniaga Kecil Kea Farm Minta Pejabat Daerah Cameron Tidak Sebelahi Pemaju



30 Julai 2010

Pada hari ini, saya bersama sekumpulan peniaga kecil dari Kea Farm telah mengunjungi Pejabat Daerah & Tanah Cameron Highlands (PDTCH). Tujuan kami ialah untuk meminta penjelasan dari Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor berkenaan notis pengusiran yang telah diberikan kepada peniaga ini semalam. Turut menyertai kami ialah penyokong-penyokong PSM yang lain.

Di dalam notis tersebut, Dato Hj Mohamad Noor telah meminta peniaga-peniaga merobohkan gerai mereka akibat tidak mempunyai lesen. Jika mereka engkar, denda dan penjara menanti mereka.

Peniaga kecil ini sudah berniaga di gerai mereka dari 10 ke 25 tahun dan mengapakah mereka tidak pernah diberi notis sebelum ini?

Peniaga-peniaga kecil ini sebenarnya hendak diusir keluar untuk memberi laluan kepada satu projek pembinaan rumahkedai di belakang gerai-gerai ini. Projek itu sedang dibangunkan oleh sebuah syarikat bernama Signature Landmark Property Sdn Bhd. Malangnya, PDTCH dipergunakan oleh pihak pemaju supaya mereka dapat mengambil tanah kerajaan tersebut.

Kami sampai di PDTCH lebih kurang pukul 10 pagi. Dato Hj Mohamad Noor yang berada di dalam pejabat tidak mahu keluar berjumpa kami dengan alasan menghadiri mesyuarat. Kami menunggu selama 30 minit dan keluar dari PDTCH selepas diberitahu Dato Hj tidak dapat dihubungi kerana sibuk dalam mesyuarat. Kami juga telah diberitahu bahawa seorang lagi Penolong Pegawai Daerah, En.Mohd Isa tidak berada di Cameron. Mohd Isa ialah seorang lagi pegawai di PDTCH yang ingin mengusir peniaga kecil di Kea Farm.

Kami telah membuat satu laporan polis terhadap Dato Hj Mohamad Noor dan Mohd Isa mengenai salah gunakuasa mereka sebagai pentadbir tanah dan bekerjasama dengan pihak pemaju untuk mengusir keluar peniaga-peniaga kecil di Kea Farm.

Kami juga turut menyerahkan 2 surat lain kepada JKR dan Majlis Daerah Cameron mengenai pemaju yang tidak memasang papan tanda maklumat projek dan percubaan oleh pemaju untuk merobohkan pondok bas awam di Kea Farm.

Suresh Kumar
Cameron Highlands

No comments: