Kesemua kampung OA sebelum ini telah bersama menubuhkan 'Jaringan Tanah & Wilayah Adat OA Cameron Highlands (JARICH)' untuk memperjuangan hak mereka. Ini adalah kali pertama OA di Cameron Highlands keluar membuat laporan polis beramai-ramai untuk mempertahankan hak mereka.
SYABAS diucapkan kepada OA di Cameron yang kini sudah berani menyuarakan masalah mereka. PSM Cameron akan sentiasa bersama menyokong OA menyuarakan dan mempertahankan hak mereka. Berikut ialah isi kandungan laporan mereka:
Saya mewakili Jaringan Tanah & Wilayah
Adat Orang Asal Cameron Highlands (JARICH) ingin membuat aduan polis berkenaan
masalah OA di Cameron Highlands yang kini mengancam nyawa & kehidupan kami.
Pada asalnya tanah adat di kampung kami
adalah di bawah pentadbiran masyarakat Orang Asli tempatan secara adat. Kami bercucuk tanam, memburu, mengumpul hasil
hutan, dan menjalankan berbagai-bagai aktiviti yang lain di atas tanah adat
kami. Kehidupan kami adalah sangat
bergantung pada tanah.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2011 kerja
tanah telah bermula di tanah adat kami.
Akibatnya, pokok-pokok tanaman kami dan juga pokok semulajadi telah
ditebang. Kami tidak setuju dengan perbuatan tersebut.
Masalah yang kami hadapi ialah:
- Struktur-struktur seperti bangunan, pencawang dll dibina di atas kawasan kubur nenek moyang kami oleh TNB atau Salini Malaysia Sdn Bhd tanpa kebenaran dari kami. Kawasan ini adalah kawasan bersejarah dan berusia beratusan tahun. Kawasan ini tidak patut dicerobohi.
- Seramai lebih kurang 2000 penduduk dari Kg Teji, Kg Renglas, Kg Pinang, Kg Relong, Kg Terakit & Kg Rening tidak tahu samada perlu berpindah atau tidak akibat pembinaan Empangan Ulu Jelai. Walaupun mereka telah bertanyakan perkara ini beberapa kali kepada pegawai TNB, tiada jawapan yang konkrit diberikan. Mengikut laporan EIA, kampung OA terancam akibat pembinaan Empangan Ulu Jelai. Kenapakah TNB harus berahsia mengenai isu ini?
- Sungai-sungai di kawasan ini tercemar dengan tanah mendapan (silt) akibat projek Empangan Ulu Jelai. Sungai-sungai ini merupakan punca air utama untuk penduduk OA di kawasan ini.
- Pembinaan terowong air di dalam projek Empangan Ulu Jelai mungkin akan menyebabkan pembanjiran di beberapa kampung di mana terowong ini berakhir. Penjelasan mengenai perkara ini telah ditanya kepada pegawai TNB. Walaupun pegawai TNB menafi akan berlakunya banjir akibat pembinaan terowong, namun TNB tidak mahu memberikan jaminan ini secara bertulis.
- Tanah adat & kampung OA dirampas utk pembinaan Menara Kabel Voltan Tinggi. Tanah adat milik turun-temurun diceroboh oleh TNB dan kontraktor untuk pembinaan menara tanpa kebenaran OA.
- Kebun baru dibuka di atas tanah adat OA oleh individu/syarikat tanpa kebenaran. Aduan lisan kepada Pejabat Tanah & Daerah Cameron Highlands (PTDCH) tidak diendah dan tiada tindakan diambil. Walaupun Kerajaan Pahang telah menghalang pembukaan tanah pertanian yang baru di Cameron sejak tahun 2002, namun kebun baru seperti ini masih terus dibuka dengan membersihkan tanah adat OA yang terdiri dari hutan. Di Kg Terisu, OA tidak tahu bagaimana pampasan dibayar kepada mereka akibat pengambilan wilayah adat mereka untuk pertanian oleh pihak lain.
- Lesen pembalakan diberi tanpa terkawal menyebabkan banyak tanah & wilayah adat OA diceroboh dan hutan ditebang.
- Kemudahan titi tiada atau usang di beberapa kampung menyebabkan kesukaran penduduk berulang-alik (juga pelajar sekolah). Walaupun perkara ini telah dimaklumkan kepada Pejabat Daerah Cameron & Jab Kemajuan OA, namun tiada tindakan diambil.
- Pencemaran udara dengan habuk akibat projek pembinaan Empangan Ulu. Masalah ini ketara semasa ketiadaan hujan.
- OA hilang pendapatan akibat tidak dapat mengambil hasil hutan. Wilayah adat OA yang terdiri dari hutan telah diambil oleh kerana aktiviti seperti pembinaan Empangan Ulu Jelai, pembalakan dan pembukaan kebun.
Kami tidak tahu tentang perkara ini
SEBELUM laporan EIA ini diluluskan. Kami
juga tidak dapat memberi apa-apa pandangan kami terhadap projek Empangan semasa
laporan EIA ini disediakan dan sebelum ia diluluskan.
Tanah adat Kg. Orang Asli adalah hak
masyarakat Orang Asli di sini. Kami
adalah pemegang hak tanah secara adat.
Hak tanah kami adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta
Pengambilan Tanah 1960 dan Aktan Orang Asli 1954.
Kami membuat laporan ini untuk merekodkan
perasaan tidak puas hati berkenaan masalah yang sedang hadapi. Sehingga kini
projek empangan terus berjakan dan tanah adat kami terus diceroboh dan
dimusnahkan sedikit demi sedikit. Ini
adalah bertentangan dengan hak asasi kami.
Suresh Kumar
PSM Cameron
019-569 6964