Protes Berjalan Ke Pejabat Daerah Cameron


23 Februari 2010

Pada hari ini, sebanyak 50 orang telah mengambil bahagian di dalam Protes Berjalan ke Pejabat Daerah Cameron. Protes ini diadakan selepas Pegawai Daerah Cameron, Dato' Mohammad Noor bin Abdul Rani, tidak mahu berjumpa rakyat untuk menyelesaikan masalah-masalah tanah, rumah dan gerai mereka. Sebelum ini, pelbagai langkah telah diambil untuk berjumpa dengan Dato' Mohammad Noor. Di antaranya ialah:
1. Surat beserta 100 tandatangan untuk mendesak Pegawai Daerah berjumpa dengan rakyat.
2. 5 surat untuk menetapkan tarikh temujanji.
3. Berkumpul 2 kali di Pejabat Daerah Cameron untuk memaksa Dato' Mohammad Noor berjumpa rakyat.
4. Laporan polis terhadap Dato' Mohammad Noor yang gagal menjalankan tugas.
5.      5. Aduan kepada SUHAKAM untuk memulakan ‘inquiry’ terhadap isu-isu ini.

Protes berjalan ini telah dimulakan sekitar 3.20 petang. 2 kumpulan telah dibuat dimana 1 kumpulan beredar dari Taman Royal Lily dan satu kumpulan lagi menunggu di persimpangan Jasar Valley, Tanah Rata. Sebaik sahaja tiba di persimpangan Jasar Valley, kami diberhentikan oleh Ketua Polis Trafik Cameron. Tidak jauh dari beliau ialah KPD Cameron, Deputi Supritendan Wan Mohd Zahari Wan Busu. Selepas menerangkan bahawa berjalan bukan salah di sisi undang-undang, kami meneruskan perjalanan.
Bilangan anggota polis terlalu banyak. Dianggarkan bahawa lebih kurang 100 orang polis berada di sepanjang perjalanan kami, siap dengan kereta dan motorsikal peronda. Sekumpulan polis juga mengekori kami sepanjang perjalanan. Di pertengahan perjalanan, kami membuka banner-banner yang bertulis “BERIKAN RUMAH KOS RENDAH & GERAI UNTUK YANG LAYAK”, “30 TAHUN BERTANI, MASIH TIADA HAK-MLIK”, “RAKYAT CAMERONM MENUNTUT HAK”, “JANGAN TIPU RAKYAT”, “JANGAN TINDAS RAKYAT”, “2 TAHUN TUNGGU, D.O. TAK ADA MASA NAK JUMPA”, “PERJUANGAN RAKYAT SUDAH BERMULA” dan “D.O. JANGAN TUTUP TELINGA”.

Sebaik sahaja sampai di Pejabat Daerah Cameron, Deputi Supritendan Wan Mohd Zahari Wan Busu telah membenarkan 6 orang wakil untuk masuk dan menyerahkan memorandum. Wakil PSM, Sudha Chinasamy telah masuk bersama-sama peserta MPR yang lain. Di dalam Pejabat Daerah, mereka telah diminta bertemu dengan Penolong Pegawai Daerah, En.Shaffirul Amree Bin Awang Kechik. Walaupun telah diminta beberapa kali untuk memberikan tarikh perjumpaan dengan Dato' Mohammad Noor, En.Shaffirul telah enggan. Beliau juga sentiasa mengulangi bahawa semua permohonan telah ditolak dan tiada apa-apa untuk dibincang. Akhirnya memorandum telah diserahkan kepada beliau dan Pejabat Daerah telah diberi seminggu untuk membalas memorandum yang telah dihantar.

Dalam perjalanan keluar dari Pejabat Daerah, seorang pegawai di situ dengan sengaja berteriak “balik India” untuk memprovokasi kumpulan kami. Walaupun ramai dalam kumpulan kami marah, kami mententeramkan keadaan dan tahu bahawa ini adalah satu perbuatan sengaja untuk mewujudkan masalah pada hari itu. Kami akan membuat laporan polis terhadap pegawai itu esok.
 
Selepas keluar dari Pejabat Daerah, kami telah mengadakan satu perbincangan dengan kumpulan kami. Semua berpendapat bahawa Protes Berjalan hari ini adalah satu permulaan terhadap langkah-langkah pengembalian kuasa kepada rakyat dalam menentukan nasib mereka.

Terima kasih juga diucapkan kepada komrad-komrad dari Ipoh dan Sungai Siput yang telah memberikan sokongan solidariti dengan menghadirkan diri di Cameron untuk protes ini.

Tontoni video Protes Berjalan.

Suresh Kumar
PSM Cameron
019-569 6964

No comments: