Himpunan Rakyat Cameron (HRC) 2012: Langkah Pertama Penglibatan Rakyat Dalam Hala Tuju Cameron Highlands

Saya dan Simon sampai di tempat berhimpun pukul 7.45pagi. Kami terpaksa memberitahu pemandu sebuah bas di situ bahawa tempat ini akan digunakan untuk HRC dan telah meminta beliau mengalihkan kenderaannya. Begitulah keadaan tempat letak kereta 3 jam sebelum HRC bermula. Sunyi dan sepi. Tetapi keadaan  bertukar sebaliknya pada pukul 11pagi. Tempat letak kereta Majlis Daerah Cameron Highlands bertukar menjadi satu tempat karnival dengan kehadiran lebih kurang  250 rakyat untuk menyertai HRC.

HRC berjalan lancar dengan kehadiran rakyat, parti-parti politik dan badan-badan NGO. Kelihatan juga kumpulan pelajar DEMA (USM, Pulau Pinang) dan pelajar-pelajar sekolah menengah dari Cameron Highlands. Penampilan mereka cukup kreatif . Ini membuktikan Jawatankuasa HRC boleh menjalankan perhimpunan dengan lancar jika dibenarkan. Kebanyakkan peserta memakai pakaian bewarna hijau sebagai simbol alam sekitar yang perlu dipelihara. Tidak ketinggalan laungan HIDUP RAKYAT dan SELAMATKAN CAMERON oleh pengacara. Kain lilit kepala juga diedarkan kepada peserta.

Program dimulakan pada pukul 11pagi dan di antara program-program sepanjang 1 1/2 jam ialah ucapan, nyanyian, tandatangan rakyat di atas banner dan lakonan. Suasana sekitar HRC berupa karnival dengan penglibatan lebih banyak rakyat Cameron berbanding program-program terdahulu. Meja-meja telah disediakan yang menjual akhbar-akhbar parti, mengedar risalah dan mengedar air mineral percuma. Banner perjuangan dan aktiviti-aktiviti terdahulu dipamerkan di merata tempat di kawasan berhimpun. Banyak peserta yang hadir telah diberi peluang untuk menulis sendiri placard mereka di HRC.

Walaupun polis dan RELA begitu banyak di sekitar lokasi HRC, ia tidak memberikan ketakutan kepada peserta. Polis Cameron telah bekerjasama dengan penganjur dan kami tidak mempunyai banyak masalah dengan polis. Perlu dimaklumkan di sini, KPD Polis Cameron, DSP Wan Zahari telah memberikan surat tiada halangan untuk HRC 1 hari sebelum perhimpunan dan kebenaran menggunakan tempat letak kereta pula diperolehi dari MDCH 2 hari sebelum HRC.

4 wakil Jawatankuasa di bawah Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah memberikan ucapan mengenai isu-isu seperti:
  • kegagalan sistem trafik di Cameron Highlands
  • ketidakadilan Kerajaan Pahang dalam memberikan hakmilik tanah kepada penduduk Cameron
  • pembinaan Insinerator di Blue Valley yang akan mencemar alam sekitar
  • masalah penduduk Green Cow akibat projek komersil
Kehadiran Orang Asal (OA) Cameron julung-julung kali di dalam program yang pernah kami lakukan menunjukkan tekanan (oppression) ke atas masyarakat ini tidak boleh diterima lagi. 3 Batin (Ketua kampung) dari perkampungan OA berdekatan Empangan Hidroelektrik Ulu Jelai hadir untuk mengambil bahagian dan menyuarakan masalah yang dihadapi oleh mereka akibat pembinaan empangan.

Kehadiran kumpulan Save Malaysia, Stop Lynas & J/kuasa Anti-Cyanide Bkt Koman, Raub menunjukkan sokongan untuk HRC oleh kumpulan yang menghadapi masalah apabila keuntungan didahulukan sebelum manusia dan alam sekitar.

Kesemua parti politik Pakatan Rakyat (PKR, DAP & PAS) dan PSM mengambil bahagian untuk menunjukkan sokongan kepada isu alam sekitar dan penduduk di Cameron. Ahli-ahli PSM datang dari sejauh Johor, Seremban, KL, Selangor, Perak dan Pulau Pinang. YB Chong Siew Onn (ADUN Tras, Raub) juga hadir untuk memberi sokongan. Sdr Andansura juga telah hadir &memberi ucapan selaku Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, mewakili PAS Pahang dan PAS Nasional.

Individu seperti Sdr Vincent Jiam (Projek Menuai Harapan), Dr.Jayabalan (People's Green Coalition) & Sdr Anand Ang (Aktivis dari Sabah) juga telah memberikan sokongan kepada HRC. Dr.Jayabalan telah menyentuh mengenai pencemaran sungai di Cameron di tahap yang membimbangkan.

HRC disudahi dengan bacaan Deklarasi oleh saya. HRC adalah langkah pertama oleh rakyat untuk  mengembalikan hak kepada rakyat membuat keputusan di dalam hala-tuju Cameron Highlands. Jika pihak pemerintah terus berlakun seperti pekak, buta dan bisu terhadap isu-isu ini, maka lebih banyak rakyat akan berkumpul di lokasi-lokasi lain menuntuk perubahan. Deklarasi yang telah dibacakan adalah seperti berikut:

KAMI PENDUDUK CAMERON DAN RAKYAT MALAYSIA YANG BERKUMPUL PADA HARI INI,
  1. MEMBANTAH PENEROKAAN HUTAN OLEH SYARIKAT-SYARIKAT BESAR YANG MEMENTINGKAN  KEUNTUNGAN. SISTEM PEMANTAUAN & PENGUATKUASAAN TERHADAP PENEROKAAN HUTAN MESTI BEBAS DARI RASUAH DAN CAMPURTANGAN POLITIK PEMERINTAH.
  2. KAMI MEMBANTAH PEMBINAAN EMPANGAN ULU JELAI YANG AKAN MENENGGELAMKAN HUTAN YANG BESAR DAN MENIMBULKAN BANYAK MASALAH KEPADA ORANG ASAL.
  3. KAMI MEMBANTAH PEMBUKAAN KEBUN DI ATAS KAWASAN TADAHAN AIR KUALA TERLA YANG MENYEBABKAN PENCEMARAN AIR YANG SERIUS. PENGGUNAAN RACUN,  BAJA DAN PENOLAKAN TANAH HARUS DIKAWAL SUPAYA TIDAK MENYEBABKAN PENCEMARAN AIR.
  4. KAMI MEMBANTAH PROJEK-PROJEK SWASTA YANG DILULUSKAN  OLEH KERAJAAN NEGERI PAHANG TANPA MEMPERTIMBANGKAN KESELAMATAN PENDUDUK SEPERTI DI GREEN COW.
  5. KAMI MEMBANTAH TINDAKAN KERAJAAN YANG TIDAK PERNAH MEMBUAT RUNDINGAN DENGAN RAKYAT CAMERON TERHADAP SISTEM PENGANGKUTAN YANG HAMPIR LUMPUH & CADANGAN PENYELESAIANNYA KETIKA MUSIM CUTI.
  6. KAMI MEMBANTAH KETIDAKADILAN KERAJAAN PAHANG DALAM MEMBERIKAN PEMILIKAN TANAH DI CAMERON HIGHLANDS UNTUK RUMAH, KEBUN ATAU GERAI. KAMI  MEMBANTAH KEUTAMAAN DIBERIKAN KEPADA KRONI PEMERINTAH ATAU SYARIKAT KAPITALIS DAN BUKAN RAKYAT BIASA.
  7. KAMI MEMBANTAH PEMBINAAN & OPERASI INSINERATOR DI BLUE VALLEY UNTUK MELUPUS SAMPAH DI CAMERON. GANTIKAN INSINERATOR DENGAN PUSAT KITAR SEMULA YANG MESRA ALAM SEKITAR.
  8. KAMI MEMBANTAH PROJEK-PROJEK YANG MENCEMARKAN ALAM SEKITAR DAN MEMBAHAYAKAN KESIHATAN RAKYAT SEPERTI LYNAS DI KUANTAN, LOMBONG EMAS DI BUKIT KOMAN DAN PROJEK PETROKIMIA DI PENGERANG JOHOR.
Gambar-gambar HRC 2012 boleh dilihat di http://www.facebook.com/pages/Himpunan-Rakyat-Cameron-HRC-2012/114990045323874

Disediakan oleh:
Suresh Kumar
Setiausaha
J/kuasa Penganjur HRC 2012
019-569 6964

No comments: