10 Soalan Kepada Kerajaan Berkenaan Cadangan Mengurangkan Kesesakan Lalulintas di Cameron


Selepas sessi memberikan pendapat oleh PSM Cameron berkenaan cadangan Kea Business Park pd 26/2/2014, berikut ialah 10 persoalan yang telah diberikan oleh penduduk Cameron. Soalan ini ditujukan kepada Majlis Daerah Cameron Highlands, JKR & Kerajaan Pahang.

1. Masalah kesesakan lalulintas di Cameron berlaku akibat pembukaan 3 jalan masuk yang baru ke Cameron (Simpang Pulai, Gua Musang & Kuala Lips) sedangkan jalanraya di dalam Cameron masih lagi dalam keadaan lama. Adakah pihak kerajaan mempunyai cadangan untuk:
a.) ‘upgrade’ jalan di dalam Cameron Highlands?
b.) menambah lagi jalan masuk ke dalam Cameron Highlands?

2. Adakah kerajaan pernah menjalankan kajian implikasi pembukaan jalan masuk ke Cameron? Jika ya, adakah hasil kajian tersebut telah di bawa kepada perhatian rakyat?

3. Adakah MDCH mempunyai cadangan lain untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas?

4. Mengapakah cadangan membina Kea Business Park dipilih sebagai cadangan terbaik menyelesaikan kesesakan lalulintas di Cameron?

5. Mengapakah Pasar Malam Brinchang (yang merupakan salah satu sebab kesesakan lalulintas di Cameron) tidak dipindah ke dalam kem askar Brinchang? Adakah kerana tempat tersebut telah dijual kepada pihak swasta? Jika ya, kenapakah kepentingan rakyat dibelakangkan dan syarikat swasta diberi keutamaan?

6. Kenapakah Business Park ini tidak dipecah & dibina di beberapa tempat berlainan? Ini akan memudahkan penjaja untuk berulang-alik ke business park. Kadar persaingan di antara penjaja juga dapat dikurangkan jika Business Park ini dibina di 3 tempat berlainan; Kea Farm, Tringkap & Blue Valley.

7. Apakah keputusan kajian seperti di bawah untuk projek ini?
a.) EIA - Environmental Impact Assesment
b.) SIA – Social Impact Assesment
c.) TIA – Traffic Impact Assesment
Adakah keputusan kajian-kajian di atas telah dibawa ke perhatian penduduk Cameron?

8. Apakah keputusan penilaian tapak oleh MDCH & JKR untuk lokasi yang dicadangkan? Apakah kriteria yang digunakan dalam penilaian tapak ini oleh MDCH & JKR?

9. Bagaimanakah rekabentuk bangunan untuk pegerai, pasar malam & gerai makanan di dalam Kompleks Kea Farm Business Park? Adakah rekabentuk kompleks ini akan memastikan kesemua pegerai mendapat perniagaan samarata?

10. Mengapakah MDCH enggan membuat forum awam terbuka untuk projek ini? Pelbagai pihak terbabit di dalam projek ini dan kesemua mereka perlu diberi peluang untuk memberi pendapat. Menurut statistik yang diberikan oleh MDCH sendiri; jumlah pegerai yang terlibat dalam projek ini ialah 579 tetapi semasa mesyuarat di adakan, hanya 3 pegerai dipanggil hadir.

No comments: