Pekerja Blue Valley Dipotong Bekalan Air Dan Elektrik!



29 September 2008
En.Jeyaraman telah bekerja di Ladang Blue Valley selama 36 tahun. Manakala isterinya telah berkhidmat selama 15 tahun. Kedua-dua mereka tidak lagi bekerja di ladang ini. Pada bulan Ogos 2007, En.Jayaraman telah berhenti kerja selepas diluluskan Pencen Ilat. Beliau juga telah diberikan notis 2 bulan untuk mengosongkan rumah.

Oleh kerana En.Jeyaraman tidak mempunyai rumah lain dan perjuangan untuk mendapatkan rumah bagi pekerja Ladang Blue Valley di dalam proses, beliau telah berhasrat untuk terus menetap di rumah tersebut. Beliau berjanji untuk mengosongkan rumah tersebut sebaik sahaja mendapat penyelesaian dari National Land Finance Co-operative (NLFC) berkenaan tanah untuk perumahan.

Walaupun begitu, bekalan air dan elektrik telah dipotong pada 9 September 2008 tanpa sebarang notis. Pemotongan tersebut telah dilakukan oleh Pengurus Ladang, En.Babu Nair dan pekerja yang pro-pengurusan, En.Doriraj Appannah. En.Jayaraman baru sahaja menjelaskan bil elektriknya pada 6 September 2008. Kenapakah bekalan air dan elektrik dipotong sekarang walaupun notis telah diberikan setahun dahulu?

Ini adalah kerana En.Jayaraman baru sahaja menyertai pekerja Ladang Blue Valley yang sedang memperjuangkan hak pekerja dan hak perumahan. Tindakan memotong bekalan air dan elektrik boleh dikatakan sebagai intimidasi terhadap En.Jayaraman dan pekerja lain. Bekas majikan beliau sedang cuba mengusir pekerja ladang supaya ladang ini mudah dijual di masa hadapan. Malah pekerja lain telah diberi amaran supaya tidak memberikan bekalan air kepada En.Jayaraman.

Tetapi kami telah menerangkan bahawa memotong bekalan air dan elektrik pekerja yang masih sedang bekerja adalah salah disisi undang-undang buruh. Ini telah membolehkan beberapa pekerja menolong En.Jayaraman buat waktu ini.

En.Jayaraman juga telah cuba mendapatkan bekalan air dari kuil bersebelahan. Tetapi bekalan air ke kuil turut dipotong. Pihak pengurusan kuil enggan membantu En.Jayaraman lagi.

En.Jayaraman mempunyai 3 orang anak perempuan yang masih bersekolah. Anaknya di Tingkatan 5 menghadapi masalah mengulangkaji pelajaran akibat ketiadaan bekalan elektrik. Beliau terpaksa berulang-alik ke rumah jiran beliau untuk mengulangkaji pada waktu malam.

Kami berpendapat bahawa memotong bekalan air dan elektrik adalah pencabulan hak asasi manusia. Walaupun pekerja perlu mengosongkan rumah selepas tidak bekerja di sesuatu ladang, ke manakah hilangnya sifat perikemanusian? En.Jayaraman telah bekerja di ladang tersebut selama 36 tahun. Beliau juga merupaka salah satu kerat tenaga yang telah memajukan ladang ini.

Kami telah menulis berkenaan masalah ini kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Tapah, JTK Negeri Perak, Menteri Sumber Manusia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). JTK Negeri Perak telah membuat lawatan pada 23 September 2008 dan berjanji akan cuba membantu En.Jayaraman.

Suresh Kumar
PSM Cameron

1 comment:

Ven said...

I hope the people in Blue Valley will get justice