Pergerakan Tanah Di Taman Royal Lily, 3 Blok Dalam Bahaya



25 September 2008

Taman Royal Lily adalah satu taman yang agak baru di Tanah Rata. Ia mengandungi 7 buah blok pangsapuri dan kedai. Ia telah siap dibina lebih kurang 4 tahun dahulu.

Baru-baru ini, pergerakan tanah telah berlaku bersebelahan Blok C1, C2 dan C3. Pergerakan tanah ini menyebabkan retak muncul di atas jalanraya; dan pada dinding dan lantai Blok C1, C2 dan C3. Selepas aduan lisan kepada pihak pemaju tidak mendapat sebarang respons, sekumpulan penduduk dengan bimbingan PSM Cameron, telah bersetuju untuk memulakan kempen tandatangan untuk menangani isu ini.

31 tandatangan telah dikumpul. Kekurangan tandatangan adalah disebabkan oleh cuti panjang Hari Raya Aidilfitri. Walaupun begitu, surat aduan tersebut telah dihantar kepada pemaju Mayang Jelatek, JKR Cameron, JKR Pahang dan juga kepada Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

Satu lagi perkara yang ingin saya ceritakan di sini ialah mengenai Gabungan Penduduk yang telah ditubuhkan dan kemudian menjadi tidak berfungsi. Gabungan Penduduk Royal Lily telah ditubuhkan pada pertengahan tahun 2007. Gabungan ini mendapat sambutan yang bagus dari penduduk. Ini boleh disimpulkan melalui bilangan penduduk yang menghadiri setiap mesyuarat dan juga isu yang dibincangkan.

Pihak pemaju pula telah cuba menubuhkan satu jawatankuasa 'rasmi' yang lain. Syarat untuk penduduk menjadi ahli jawatankuasa ini ialah:

1.) mesti memiliki unit di Royal Lily. Sesiapa yang menyewa tidak dibenarkan menjadi ahli.
2.) mesti sudah membayar kesemua yuran 'maintenance' yang dikenakan oleh pemaju.

Oleh sebab syarat yang begitu ketat, hanya sekumpulan kecil penduduk yang dapat menjadi ahli. Penduduk-penduduk lain pula telah mula berhenti menghadiri mesyuarat Gabungan dengan anggapan bahawa jawatankuasa 'rasmi' ini akan dapat menjaga kepentingan penduduk.
Tetapi ini terbukti salah. Isu seperti pergerakan tanah tidak diambil berat oleh pemaju walaupun aduan dibuat oleh jawatankuasa 'rasmi'.

Beberapa penduduk yang berjumpa dengan kami telah bersetuju untuk menghidupkan semula Gabungan Penduduk yang telah ditubuhkan pada tahun lepas. Mesyuarat Gabungan ini mungkin akan diadakan pada bulan ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: