KENYATAAN AKHBAR
PSM CAMERON HIGHLANDS
30 JANUARI 2010
KERAJAAN PAHANG YANG TIDAK PEKA
MENANGANI ISU PETANI CAMERON HIGHLANDS
PSM Cameron memandang serius akan tindakan Keraajaan Negeri Pahang yang tidak ingin mengiktiraf pekebun-pekebun di Cameron yang sudah berkebun lebih dari 10 tahun. Ada di antara mereka yang sudah berkebun lebih dari 40 tahun.
Cameron adalah salah satu tempat utama penghasilan sayur dan bunga tanah tinggi. Kerajaan Negeri Barisan Nasional seolah-olah tidak menyedari fakta ini. Pelbagai masalah diwujudkan untuk pengusaha-pengusaha kebun di Cameron. Masalah-masalah ini diwujudkan samada oleh Pejabat Daerah & Tanah Cameron ataupun kerajaan negeri Pahang melalui Pejabat Tanah & Galian (PTG). Isu yang terkini ialah di Lembah Bertam pada 28 & 29 Jun 2010.
PSM Cameron sudah pun mengutarakan masalah-masalah petani di Cameron yang setelah bercucuk tanam begitu lama, enggan diiktiraf oleh kerajaan Negeri Pahang. Pengiktirafan disini bermaksud pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) atau Hakmilik Tetap kepada pekebun-pekebun ini.
Akibat tidak mempunyai lesen, pekebun-pekebun menghadapi pelbagai masalah seperti
- perobohan kebun dan struktur-struktur di kebun
- disaman oleh Pejabat Tanah atas alasan tidak mempunyai lesen.
- tidak diberikan permit mengusahakan tanah dengan membawa masuk jentera. Oleh itu mereka menghadapi masalah-masalah seperti banjir dan tanah runtuh.
- dibuli oleh pekebun yang mempunyai lesen dengan mengambil sebahagian kebun mereka yang tidak mempunyai lesen.
- tidak dibenarkan membina rumah untuk mereka sekeluarga tinggal di atas tanah tersebut.
- tidak dapat melaburkan wang untuk mengunakan teknologi baru di dalam kebun kerana mereka tidak mempunyai jaminan terhadap tanah kebun tersebut.
Perkara ini telah pun dibawa kepada perhatian Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Bin Haji Yaakob pada 20 April 2010 di Kuantan. Namun sehingga ke hari ini, tiada jawapan.
Petani di Cameron adalah sumber utama penghasilan sayur dan bunga di Malaysia. Ketika membentang Belanjawan Ke-10 pada tahun lepas, Perdana Menteri Dato Sri Najib ada menyatakan bahawa kerajaan prihatin terhadap keluh kesah dan rintihan golongan petani dan akan sentiasa sedaya upaya cuba menolong mereka. Tetapi apa yang berlaku di Cameron adalah bertentangan dengan janji yang diberikan oleh Dato Sri Najib.
Kami dari PSM Cameron ingin menyeru kepada Kerajaan Negeri Pahang supaya:
- mengiktiraf petani-petani kecil yang sudah bertani lebih dari 10 tahun dengan memberikan LPS atau Hakmilik Kekal.
- berhenti dari merobohkan kebun-kebun dan struktur-struktur petani.
Disediakan oleh:
Suresh Kumar
Perwakilan Negeri Pahang
Parti Sosialis Malaysia (PSM)
019-569 6964
No comments:
Post a Comment