Pelajar Cameron Highlands Dilarang Menduduki Peperiksaan SPM 2010

30 November 2010

PSM Cameron terkejut dan kesal apabila seorang pelajar ulangan SPM tidak dibenarkan menduduki Peperiksaan SPM 2010 akibat dikatakan tidak membayar yuran peperiksaan dan oleh sebab itu, namanya tidak didaftar sebagai calon peperiksaan SPM 2010.

Parameswary A/P Murugan sepatutnya menduduki peperiksaan SPM 2010 buat kali kedua selepas gagal kali pertama tahun lepas. Parameswary telah dibenarkan belajar sekali lagi tahun ini di SMK Ringlet, Cameron Highlands bermula 26 Mac 2010.

Parameswary telah ke PPD Cameron untuk mendaftar dan membuat bayaran peperiksaan SPM 2010. Beliau telah diberitahu bahawa yuran telah pun dibayar di atas namanya.

Parameswary telah berkunjung 4 kali ke PPD Cameron selepas itu untuk meminta nombor giliran dan Jadual Peperiksaan SPM, tetapi setiap kali beliau dihantar balik dengan alasan bahawa nombor giliran dan jadual akan diberikan pada kunjungan seterusnya. Kali terakhir beliau ke PPD Cameron ialah pada 22 November 2010 dan pegawai di situ telah memberikan Jadual Peperiksaan dan meminta Parameswary menggunakan kad pengenalannya untuk menulis peperiksaan SPM.

Pada 23 November 2010, hari pertama peperiksaan, Parameswary telah dibenarkan menulis Kertas BM 1. Selepas itu beliau tidak dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan di SMK Sultan Ahmad Shah (SMKSAS), Tanah Rata, Cameron, di atas alasan tidak membayar yuran dan oleh sebab itu, namanya tidak didaftarkan.

Parameswary berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya telah meninggal dunia dan emaknya telah meninggalkan Parameswary (anak sulung) dan 4 orang adik-beradiknya bersama nenek. Mereka tinggal di kuarters pekerja di pedalaman Ladang Boh yang memakan masa 45 minit dari Tanah Rata. Parameswary kini masih dalam keadaan terkejut, sedih dan tertekan dengan kecuaian pihak sekolah dan PPD Cameron.

Kami di PSM Cameron berpendapat Parameswary terpinggir dan tidak diberi layanan adil sebagai seorang pelajar kerana:
  1. Keadaan sosio-ekonomi keluarganya menyebabkan pelajar seperti Parameswary terpinggir dari sistem pelajaran Malaysia. Oleh sebab Parameswary telah gagal dalam peperiksaan SPM tahun 2009, maka beliau dipandang rendah dan tidak diberikan layanan samarata seperti pelajar lain.
  2. Peperiksaan di Malaysia yang masih memerlukan calon swasta membayar yuran peperiksaan juga merupakan satu sistem di mana menunjukkan sistem pelajaran & peperiksaan bukan percuma.
  3. Sistem birokrasi yang rumit seperti di bawah juga menyebabkan Parameswary gagal mendaftar untuk peperiksaan SPM 2010.
  • Pelajar yang mengulang tidak dibenarkan menulis peperiksaan di sekolah yang sedang beliau belajar.
  • Pelajar yang mengulang harus berurusan dengan PPD.
Kami sudah menulis kepada Jabatan Pelajaran Pahang dan Menteri Pelajaran Malaysia untuk masuk campur dan menyelesaikan masalah ini, tetapi tiada jawapan sehingga ke hari ini. Kami berharap pelajar-pelajar seperti Parameswary tidak dipinggirkan akibat keadaan sosio-ekonominya.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: