Kini Rumah Sudah Tiba Di Tepi Cerun...



23 Ogos 2008


Bagaimanakah seseorang yang sudah menetap lebih dari 30 tahun di sebuah rumah, kini boleh diminta keluar kerana tempat tinggalnya sudah dipajak kepada seorang yang lebih kaya? Inilah nasib yang dialami oleh En.Ezumalai dan isterinya di Ulu Ringlet, Cameron Highlands.

Ezumalai telah lahir dan membesar di rumah tersebut. Setelah bapanya meninggal dunia, beliau telah terus menduduki rumah tersebut bersama keluarganya. Malangya, 3 tahun lepas beliau telah mendapat tahu kawasan rumah beliau dan sekitarnya sudah dipajak kepada orang lain yang lebih berada.

Kawasan yang dipajak adalah 3 kali ganda lebih besar dari kawasan yang dipohon oleh En.Ezumalai. Dan mengikut borang permohonan di Pejabat Tanah Cameron, En.Ezumalai telah memohon dahulu.

Beliau yang sudah membuat permohonan sejak 18 tahun dahulu telah diketepikan. Mengapakah kawasan rumah beliau begitu dikehendaki sekarang? Ini adalah kerana projek-projek perumahan telah bermula di sekeliling rumah En.Ezumalai. Maka kawasan rumahnya telah menjadi 'prime land'.

Berbagai cara telah digunakan untuk mengeluarkan En.Ezumalai dan keluarganya dari rumah tersebut. Pujukan halus, kunjungan pegawai Pejabat Tanah, dan akhirnya ganjaran hanya sebanyak RM5000 untuk sebuah rumah.

Kawasan di sekeliling rumahnya telah dikerjakan. Setelah tiga tahun berjuang, rumah En.Ezumalai telah ditolak ke tepi cerun. Kami dari Pusat Khidmat PSM akan terus berganding bahu bersama En. Ezumalai dan keluarganya berjuang demi rumah mereka.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: