Ketua MIC Cuba Berdalih.

14 Ogos 2008

Pada hari ini, satu perbincangan telah diadakan di antara Pekerja Ladang Blue Valley, Ketua Polis Balai (KPB) Kg. Raja dan ketua MIC, En.Seran. Perbincangan ini telah diatur oleh pekerja Ladang Blue Valley berikutan satu insiden pada hari sebelumnya. En.Seran telah memarahi dan mengugut pekerja Ladang Blue Valley dengan sebab bahawa laporan polis telah dibuat ke atas beliau oleh pekerja Ladang Blue Valley. Perjumpaan ini juga telah diadakan untuk menyoal tindakan anggota Cawangan Khas Polis (SB) yang hadir di dalam mesyuarat sesama pekerja.

Latar Belakang Insiden
PSM Cameron telah dijemput untuk membantu pekerja Ladang Blue Valley berkenaan masalah buruh dan rumah mereka. Kami telah bekerja dengan mereka secara konsisten untuk lebih dari 2 bulan.

Di dalam jangka masa ini, pekerja Blue Valley telah diugut atau di marahi oleh ketua-ketua MIC, En.Seran dan En.Karupanan, sebanyak 2 kali. Sebab utama ialah kerana pekerja Blue Valley telah menjemput PSM membantu mereka. Di dalam satu insiden, mereka dalam keadaan mabuk. Perkara ini telah dilaporkan kepada Pegawai Buruh, tetapi tiada laporan polis dibuat.

Ahli SB juga telah turut hadir di dalam salah satu mesyuarat. SB juga hadir ketika pekerja menyerahkan surat tuntutan kepada pengurus ladang. Ini menunjukkan terdapatnya kaitan di antara pengurus ladang dengan SB.


Pada 14 Ogos 2008
Pada hari ini, hanya En.Seran hadir sebagai wakil MIC. Sebaik sahaja semua orang mengambil tempat duduk, En.Seran berkata bahawa beliau berada di situ untuk mempertahankan MIC. Pekerja-pekerja Blue Valley telah berkata bahawa mereka tidak puas hati dengan kedatangan ketua MIC ke ladang untuk memarahi mereka.

En.Seran telah berkata bahawa beliau telah memarahi pekerja Blue Valley kerana aduan polis yang dibuat ke atas beliau. Apabila di tanya dari manakah beliau mendapat maklumat ini, beliau telah berkata bahawa beliau telah menerima panggilan dari Bukit Aman dan Putrajaya. Apabila ditanya lagi bagaimana beliau menerim a panggilan sedangkan tiada laporan polis dibuat, En.Seran terus berdolak-dalih. Ini ditambah dengan telefon bimbitnya. Setiap kali beliau mendapat panggilan, beliau akan keluar dan mengambil masa yang panjang. Ini seolah-olah mengelak beliau daripada disoal lagi.

Saya juga telah menyatakan bahawa kami tidak bersetuju dengan kehadiran SB di dalam aktiviti kami. KPB cuba menjelaskan pendirian beliau dengan berkata bahawa SB perlu tahu apa yang berlaku di sekitar beliau supaya keadaan yang aman dan selamat dapat dikekalkan. Buat seketika, para pekerja turut menangguk kepala kepada penjelasan KPB. Namun, KPB telah disoal semula; mengapakah SB perlu hadir di dalam perbincangan mengenai isu buruh? Dan apakah bukti yang ada pada beliau menunjukkan bahawa keadaan tidak selamat ketika perbincangan para pekerja? KPB terus berpendirian bahawa itu adalah tugas SB untuk mengawal dan bukan untuk mengintip. Kami juga terus teguh dengan pendirian kami.

Di akhir perbincangan, kami telah meminta En.Seran supaya tidak lagi mengugut atau memarahi pekerja Blue Valley. Dan juga kami tidak mahu SB mengintimidasi para pekerja. Walaupun tiada jaminan yang diberikan oleh En.Seran atau KPB, namun kami telah bersepakat untuk membuat laporan polis jika perkara ini berulang lagi di masa hadapan.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: