Forum Ke-2 PSM Lancar Walaupun Cuba Dihalang Polis



5 Oktober 2008

Pada hari ini, Forum PSM Ke-2 di Cameron telah diadakan. Tajuk forum kali ini ialah SOSIALISMA DAN HAK PEKERJA, HAK BERTANI DAN HAK RUMAH. Ia telah bermula lebih kurang pada pukul 4.30 petang dan tamat pada 7.30 petang.


Sebelum Forum
1.) Kami telah menghantar permohonan menggantung banner pada 15Sept08 kepada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH). MDCH enggan memberi permit. Alasan yang diberikan oleh Ketua Bahagian Perlesenan ialah bahawa banner kami perlu mendapatkan ulasan polis (saya syak sama ada syarat ini dikenakan untuk semua parti politik lain).

2.) Kami telah berjumpa dengan Ketua Polis Daerah (KPD), En.Yahaya pada 24Sept08 untuk meminta beliau memberikan ulasan kepada MDCH. Hasi perbincangan ini telah tulis di dalam posting saya sebelum ini yang bertajuk Forum PSM Enggan Diberi Kelulusan Menggantung Banner.

3.) Di dalam perbincangan dengan KPD, salah satu alasan yang telah diberikan untuk menolak banner kami ialah bahawa kami tidak memaklumkan kepada pihak polis berkenaan Forum ini. Oleh sebab itu, saya telah menulis kepada KPD pada 25 Sept 08 untuk memaklumkan forum ini.

4.) Seorang pegawai di pejabat KPD telah menasihatkan saya supaya mengisi borang Permohonan Lesen Di Bawah Seksyen 27 Akta Polis 1960. Beliau telah berjanji bahawa saya pasti akan mendapat permit jika saya mengisi borang tersebut. Walaupun saya tidak bersetuju dengan Seksyen 27, saya telah mengisi borang tersebut dengan anggapan bahawa permit untuk forum ini akan diberi. Borang itu telah dihantar pada pukul 8.30pagi, 26 Sept 08.

5.) Selepas ini adalah proses menunggu jawapan dari pihak polis. Saya tidak mendapat jawapan dari pihak polis walaupun permohonan permit telah dihantar pada 26Sept08. Saya telah menelefon Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis untuk bertanyakan status. Saya cuma diberitahu bahawa permohonan telah ditolak. Apabila saya bertanyakan sebab dan surat rasmi penolakan permit, pihak polis enggan menjawab.

6.) 2 hari sebelum Forum ini dibuat, pihak polis telah telah melawat Dewan Tokong Kwan Tee untuk menakutkan Jawatankuasa tokong. Alasan yang telah diberikan ialah bahawa Forum ini adalah perhimpunan haram. JK tokong telah menarik semula dewan yang telah diberikan kepada kami.

Pada hari Forum
Kami bernasib baik kerana wakil DAP Cameron, En.Simathiri telah bersetuju untuk meminjamkan kawasan rumah dan pejabatnya di Kuala Terla untuk kami meneruskan Forum ini. Bendera merah PSM telah dipacak di sepanjang jalan untuk memaklumkan perubahan tempat Forum.

Persiapan lain berlangsung seperti biasa. Lebih dari 100 orang menghadiri forum tersebut. Antara penceramah adalah Dr.Jeyakumar (Ahli Parlimen Sosialis Sg. Siput), Aruthchelvan (Setiausaha Agong PSM), Low Toh Nam (Bekas tahanan ISA dan Ahli Parti Buruh), Simmathiri (Ahli DAP) dan M.Saraswathy (Timb. Pengerusi PSM).

Semangat yang ditunjukkan adalah begitu kuat sehingga pihak polis berdiri jauh dari lokasi program dan tidak berani menghampiri kawasan ceramah. Satu kereta Cawangan Khas (SB) pula cabut dari kawasan itu apabila kami menghampiri mereka. Forum diakhiri dengan laungan Hidup Rakyat Hidup Sosialis.

Saya telah mempersembahkan satu pembentangan dan di akhir pembentangan tersebut, saya telah mengajak semua penduduk Cameron untuk turut serta di dalam Majlis Perwakilan Rakyat yang akan diadaka pada 18 Oktober 2008.
Beberapa cadangan saya untuk pihak polis Cameron Highlands:
1.) Anjurkan Seminar Hak Asasi Manusia untuk kesemua pegawai polis termasuk Ketua Polis Daerah
2.) Adakan kelas-kelas latihan berkenaan artikel-artikel di dalam Perlembagaan Malaysia.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: