Parti Sosialis Malaysia Cameron Highlands telah mula beroperasi sejak tahun 2005 dengan penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat Cameron. Nama pusat khidmat ini diubah kepada Pusat Khidmat PSM dan telah dilancarkan semula pada 3 Mei 2008.
MPR... Titik Permulaan Kuasa Rakyat di Cameron
18 Oktober 2008
Pada hari ini, PSM Cameron telah mengadakan Majlis Perwakilan Rakyat yang pertama. Walaupun ia dibuat pada waktu malam, kehadiran sebanyak 40 orang adalah sangat menggalakan. MPR dimulakan pada pukul 8 malam, sejam lebih lewat kerana ramai peserta dari Blue Valley dan Kg Raja lewat. Maafkan saya kerana artikel kali ini tidak mempunyai gambar. Saya terlupa meminjam kamera dari kawan saya sewaktu bergegas ke MPR.
Kebanyakkan perserta adalah kenalan dan kawan yang pernah melibatkan diri di dalam Pusat Khidmat PSM. Kesemua peserta mengambil tempat duduk di dalam bentuk meja bulat, supaya menyenangkan semua bersuara.
Perbincangan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh saya dan kemudian penerangan apakah itu MPR dan tujuan penubuhannya. Seterusnya kes-kes masyarakat yang belum selesai telah disenaraikan mengikut jenis kes.
Kebanyakkan kes adalah berpunca akibat polisi tanah dan rumah yang diamalkan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah Cameron. Oleh sebab itu, kebanyakkan peserta yang hadir telah mengambil keputusan untuk mengadakan perbincangan bersama dengan Pegawai Daerah (DO) untuk menyelesaikan masalah ini. Di dalam rekod kami di Pusat Khidmat PSM, terdapat sekitar 30 kes tanah dan rumah yang belum mendapat penyelesaian.
Setelah cadangan berjumpa dengan DO diterima, timbul pula soalan bagaimana hendak menetapkan temujanji dengan beliau. Walaupun tugas DO adalah untuk mendampingi rakyat, tetapi kami di Cameron menghadapi masalah besar untuk berjumpa dengan beliau. Lebih-lebih lagi apabila kami membawa bersama kes dari Pusat Khidmat PSM.
Keputusan telah dibuat untuk membuat satu kempen tandatangan menyeru DO meluangkan sedikit masa untuk berjumpa dengan golongan rakyat yang menghadapi masalah tanah dan rumah. Kempen ini sedang berjalan.
Turut dibincangkan ialah masalah pekerja Ladang Teh Blue Valley. Semua peserta telah diterangkan mengenai situasi di Blue Valley dan hala tuju perjuangan pekerja. Dua isu utama di Blue Valley ialah isu pekerja dan isu perumahan yang dijanjikan oleh National Land Finance Cooperative Society (NLFCS).
Isu lain yang ditimbulkan adalah seperti masalah gaji untuk pekerja-pekerja kontrak di sekolah-sekolah di Cameron. Pekerja-pekerja ini menerima gaji yang sangat rendah dan terpaksa bekerja untuk waktu yang panjang tanpa cuti. Pada masa dahulu, kesemua jawatan ini adalah jawatan kerajaan. Tetapi akibat keghairahan pengswastaan, kesemua kerja ini telah diswastakan kepada kroni-kroni Barisan Nasional. MPR telah bersetuju untuk manjalankan sedikit kajian mengenai isu ini sebelum membuat apa-apa tindakan.
Masalah-masalah umum juga telah ditimbulkan seperti pembaziran duit dalam pembinaan Terminal Fresia di Tanah Rata dan sistem pengangkutan bas yang hampir lumpuh di Cameron. Oleh kerana masa tidak mencukupi, maka isu-isu ini telah dicadangkan untuk dibincang pada masa hadapan.
MPR diakhiri dengan penetapan tarikh untuk MPR seterusnya. Semoga titik permulaan kuasa rakyat ini akan dapat menjadi satu garis yang berterusan.
Kuasa Kepada Rakyat !!!
Suresh Kumar
PSM Cameron
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment