Perjuangan 7 keluarga di Green Cow masuk hari ke-11!

8 Jun 2012
Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands


Hari ini sudah masuk hari ke-11 penduduk Green Cow membina khemah dan menghalang pemaju LTT Development Sdn Bhd dan Ng Yeet Ng. 

Khemah ini telah didirikan pada 28/5/2012 apabila jentolak LTT Development menghampiri rumah penduduk. Penduduk juga telah menahan jentolak Ng Yeet Ng walaupun khemah tidak didirikan di kawasan tersebut. Kedua-dua pemaju telah telah beberapa kali cuba menolak tanah dalam 11 hari ini tetapi berjaya dihalang oleh penduduk.


Latar belakang isu


Kea Farm ialah satu kawasan di Cameron Highlands, merupakan tempat tarikan utama pelancong untuk membeli-belah sayur-sayuran dan buah-buahan. Oleh sebab kawasan itu cukup terkenal, kini beberapa projek pembangunan sedang dijalankan di sana tanpa mengambil kira peneroka bandar yang telah mula menetap sejak 40 tahun dahulu. 

Kerajaan BN Pahang gagal dalam menjalankan tugas menjaga hak-hak rakyat untuk perumahan dan mencari pendapatan. Sebaliknya, Kerajaan BN Pahang pula berpakat dengan syarikat-syarikat pemaju seperti LTT Development Sdn Bhd dan cuba menghalau peneroka bandar dengan menggunakan undang-undang tanah yang tidak adil.

Tetapi apa yang tidak disedari oleh Kerajaan BN Pahang ialah Cameron bukan lagi seperti dulu di mana penindasan Kerajaan Negeri akan terus berlaku tanpa disoal. Kewujudan PSM Cameron sejak tahun 2004 telah memperkenalkan tradisi berjuang apabila hak-hak asasi seperti perumahan untuk rakyat dirampas.


PSM Cameron kini sedang bersama rakyat di sana di dalam 2 perjuangan di kawasan itu:

  1. Perjuangan Pegerai Kecil Kea Farm untuk terus berniaga dan mencari pendapatan dan;
  2. Perjuangan Penduduk Green Cow untuk hak perumahan selamat.
Walaupun bilangan pegerai dan penduduk yang terlibat adalah kecil, namun saya dengan bangga boleh menyatakan bahawa gerai-gerai di Kea Farm masih belum dirobohkan kerana tentangan yang telah diberikan oleh pegerai bersama PSM Cameron.

Berbalik semula kepada penduduk Green Cow, masalah bermula selepas pemaju pertama Ng Yeet Ng menolak tanah dan menyebabkan sebuah batu sebesar 10mx10mx10 menjadi tidak stabil dan mungkin boleh menyebabkan tanah runtuh. Usaha telah diambil untuk berbincang dengan jabatan-jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah & Tanah, Majlis Daerah, JKR dan Jabatan Alam Sekitar. Namun tiada pihak ingin berjumpa dengan penduduk dan menyelesaikan masalah mereka.


Lebih 10 laporan polis telah dibuat namun tiada tindakan dari mana-mana pihak. Akhirnya apabila semua jalan perundingan & penyelesaian tidak berjaya, penduduk telah menahan jentolak pemaju pertama, Ng Yeet Ng dari bekerja. Pihak polis yang tidak mengambil sebarang tindakan apabila penduduk membuat laporan; kini bertindak pro-aktif dengan menahan 2 penduduk dan saya sebagai aktivis PSM. Kami kini sedang didakwa di Mahkahmah Majistret Cameron Highlands di atas tuduhan KK341 & KK506. Tetapi taktik pemaju yang menggunakan polis & mahkahmah untuk menakutkan penduduk tidak berjaya. Penduduk masih menahan jentolak bekerja selagi perbincangan mengenai keselamatan penduduk tidak diteruskan.


Pemaju tukar taktik
Apabila pemaju mendapati taktik polis & mahkahmah tidak berjaya, mereka mengunakan taktik samseng upahan untuk memecahkan kandang kambing milik salah seorang penduduk dengan kekerasan. 2 laporan polis telah dibuat di atas tindakan pemaju gunakan samseng. Namun pihak polis Cameron yang jelas telah berpakat dengan pemaju tidak dapat menahan & mendakwa mana-mana samseng tersebut sehingga ke hari ini. Polis Cameron juga memperli penduduk yang membuat laporan dengan bertanyakan apakah nombor surat beranak kambing yang telah hilang. Semasa mengambil kenyataan bertulis, polis juga telah menyoal penduduk mengenai jenis pistol yang digunakan oleh samseng supaya tindakan dapat diambil. Adakah semua ini masuk akal? Inikah polis yang menjalankan tugas yang profesional?


Satu-satunya Ahli Parlimen Sosialis, Dr.Jeyakumar dari PSM terkejut apabila mendengar perkara-perkara ini dan telah cuba mengadakan perbincangan dengan KPD Cameron. Namun Dr.Jeyakumar hanya dapat berjumpa dengan KCKD Cameron dan telah menyatakan ketidakpuasan polis Cameron dalam menangani isu ini. Satu laporan polis juga telah dibuat oleh beliau mengenai perkara ini. Dr.Jeyakumar juga telah menulis aduan akan polis Cameron yang menangani kes ini kepada IGP. Pihak SUARAM yang telah dimaklumkan mengenai isu ini juga telah menghantar satu 'URGENT APPEAL' kepada IGP.

Permintaan penduduk dan tawaran kecil yang tidak lengkap dari pemaju
Kini pemaju yang terdesak dan tidak dapat menjalankan kerja-kerja menolak tanah telah bersedia untuk memberikan pampasan membina rumah sebanyak RM30,000 untuk setiap keluarga. Tawaran ini telah diberikan melalui Ahli Parlimen Kuantan, Pn.Fuziah Salleh yang telah membuat lawatan ke Green Cow di ats jemputan PSM Cameron. Tetapi adakah tawaran ini cukup untuk membeli/membina sebuah rumah di Cameron? 

Jawapannya tentu tidak. Malah pemaju sendiri apabila diminta membina sebuah rumah dengan kos tersebut mengaku tidak boleh. Tawaran ini juga belum diberikan secara hitam putih. 


Satu lagi persoalan ialah di mana penduduk ingin membina rumah? Kini penduduk telah meminta sebidang tanah dari Pegawai Daerah Cameron untuk membolehkan mereka membina rumah dan berpindah keluar dari kawasan sekarang. Tetapi seperti biasa, tiada jawapan dari Pegawai Daerah.


Selagi tiada jawapan dari Pejabat Daerah;
selagi tiada jawapan dari pemaju;
selagi tiada tindakan polis terhadap samseng;
saya yang mewakili penduduk ingin menyata bahawa kami akan terus berkhemah dan memberhentikan mesin pemaju.

Suresh Kumar
PSM Cameron 
019-569 6964

No comments: