Timbalan Perdana Menteri: Bila Hendak Selesai Masalah-Masalah Lain Rakyat Cameron?


25 Jun 2012
PSM Cameron ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah menjanjikan beberapa peruntukan untuk membina/menaik taraf struktur awam di Cameron Highlands. Peruntukkan berjumlah RM3.9 juta ini telah dijanjikan melalui Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaaob yang telah hadir ke Cameron pada 21 Jun 2012 (NST 22/6/2012).

Di antara janji-janji manis yang telah diberikan ialah seperti RM2 juta untuk pembinaan sebuah Dewan Serbaguna Masyarakat Indian di Cameron, RM1 juta untuk menaiktaraf padang bola sepak di Cameron dan RM900,000 untuk membina 6 gelanggang futsal (NST 22/6/2012).

Walaupun 30% ke 40% peruntukkan untuk projek-projek ini akan lesap melalui sebutharga tinggi dan pengurusan kerja yang lemah, namun jika janji-janji ini ditunaikan, ia adalah bagus kerana struktur-struktur untuk kegunaan rakyat akan dibina/ dinaik taraf.

Tetapi adakah ini sahaja merupakan masalah rakyat di Cameron? Berikut ialah beberapa masalah rakyat yang tidak diendahkan oleh kerajaan dan wakil rakyat BN dalam 54 tahun pemerintahan:
  1. Petani kecil tidak diberi lesen TOL dan terpaksa menanggung banyak masalah akibat tersebut. Walhal, kroni BN boleh membuka kebun-kebun sayur yang luas.
  2. Permohonan untuk kawasan rumah/gerai ditolak dan kawasan tersebut diberikan hakmilik untuk kroni BN. Permohonan ini adalah dari peneroka bandar yang berpendapatan sederhana dan telah memajukan kawasan itu pada mulanya.
  3. Ibu tunggal tidak diberi peluang untuk meningkatkan pendapatan mereka.
  4. Masalah kesesakan lalulintas akibat perancangan laluan trafik dan struktur bandar yang kucar-kacir.
  5. Masalah pencemaran air sungai akibat penggunaan racun perosak dan baja secara tidak terkawal.
  6. Masalah pembukaan hutan yang berleluasa dan kemusnahan flora&fauna tanpa terkawal untuk tujuan projek-projek mega/berkebun oleh kroni-kroni BN.
  7. Pengurusan sampah yang tidak mesra alam(ditimbus tanah) dan kni Insinerator pula dibina untuk membakar sampah. Insinerator boleh menyebabkan pencemaran yang serius terutamanya di kawasan tanaman seperti Cameron.
  8. Kebanyakkan pekerja seperti pemandu land-rover, pemandu lori sayur dan pekerja hotel dan restoran tidak mempunyai perlindungan bencana pekerjaan seperti PERKESO.
  9. Tiada projek perumahan kos-rendah untuk rakyat berpendapatan sederhana. Kebanyakkan projek-projek perumahan yang diluluskan di Cameron adalah sangat mahal dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan sederhana.
  10. Sistem pengangkutan bas awam berhenti-henti yang sudah hampir lumpuh di Cameron.
  11. Jalanraya yang telah rosak dan tidak dibaiki seperti jalan Tapah-Ringlet.
Bagaimana  dan bila kerajaan BN ingin atau akan cuba menyelesaikan masalah-masalah seperti di atas?  Gula-gula pilihanraya seperti peruntukkan RM3.9 juta adalah bertujuan untuk mengaburi mata rakyat dari melihat masalah-masalah sebenar di Cameron Highlands.

MB Pahang juga telah mengumumkan lesen TOL di Cameron boleh diperbaharui untuk 3 tahun. PSM Cameron juga ingin mengucapkan terima kasih untuk kemudahan ini. Pekebun tidak perlu berulang-alik setiap tahun ke Pejabat Daerah & Tanah untuk tujuan ini. Tetapi bagaimana dengan pekebun yang tidak mempunyai lesen TOL? Apakah sudah jadi dengan janji MB Pahang kepada rakyat Cameron pada 9 April 2012 untuk melawat mereka dan menyelesaikan masalah-masalah mereka termasuk isu lesen TOL?

Peruntukkan RM3.9 juta oleh kerajaan BN menunjukkan ia terdesak untuk memenangi kawasan Cameron dalam PRU13 walaupun wakil rakyatnya tidak pernah mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat di Cameron. Selagi kerajaan dan wakil rakyat BN berpura-pura tiada masalah rakyat wujud di Cameron, selagi itulah BN sedang menuju kekalahan di PRU13 di Cameron.

Disediakan oleh:
Suresh Kumar
019-569 6964

No comments: