(Antara penduduk yang terlibat dan ditahan polis di depan Pejabat MB Pahang hari ini)
KUANTAN: 32 penduduk Green Cow Cameron Highland
ditahan ketika berhimpun di hadapan pejabat Menteri Besar Pahang hari
ini bagi membantah pembangunan tanah di kawasan mereka.
AJK PAS Pusat, Zulkifly Mohamad Omar ketika mengesahkan perkara ini
berkata, hanya dua sahaja dari peserta perhimpuan itu yang dilepas
sehingga kini iaitu seorang Orang Asli dan seorang lelaki tua.
Sementara
itu, anggota PKR cabang Kuantan, Mohan Kumar berkata pihak polis mula
menahan peserta 'Occupy MB Pahang' pada jam empat petang tadi.
Mereka yang ditahan polis adalah 13 lekai, 12 perempuan dan enam kanak-kanak.
Beliau
yang berada di hadapan IPD Kuantan ketika dihubungi Harakahdaily
berkata kesemua mereka yang ditahan termasuk seorang warga emas berusia
90 tahun dan kanak-kanak berusia lima tahun.
Menceritakan
detik-detik penahanan itu, Mohan berkata perhimpunan itu pada awalnya
berjalan secara aman sejak jam 11 pagi tadi dengan peserta membentangkan
kanvas di bawah pokok, sementara menunggu ketibaan Menteri Besar
Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Bagaimanapun, peserta occupy tersebut dimaklumkan Adnan tidak berada di pejabat kerana berada di Putrajaya.
"Jadi
peserta occupy meminta satu tarikh temujanji dari pegawai menteri besar
untuk bertemu, namun tiada jawapan daripada pegawai berkenaan. Maka,
peserta mengambil keputusan untuk terus berhimpun," kata beliau yang
menyifatkan perhimpunan tersebut tidak mengganggu sebarang lalu-lintas,
mahupun ketenteraman awam.
Sedangkan, tambah Mohan, peserta
'occupy' ini telah berkali-kali mengutuskan surat untuk bertemu dengan
Adnan, namun masih tidak mendapat respon berhubung masalah mereka.
Dalam
pada itu, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa pihak polis
menghormati kebebasan rakyat bersuara melepaskan mereka dengan segera.
Dalam
satu kenyataannya sebentar tadi, Suaram menyatakan hak rakyat untuk
berhimpun secara aman telah dicabuli apabila bertindak menahan peserta
himpunan tersebut.
"Sedangkan isu yang melingkari mereka tidak
ditangani segera oleh pihak bertanggungjawab sejak sekian lama," kata
penyelarasnya, R. Thevarajan.
Sehubungan itu, Thevarajan menggesa
rakyat Malaysia yang prihatin untuk menulis surat kepada pihak berkuasa
Malaysia untuk menyuarakan kebimbangan anda terhadap kemungkinan adanya
ugutan dan ancaman yang dihadapi mereka yang ditahan.
Mangsa pembangunan
34 penduduk Cameron yang rumah mereka dilanda masalah tanah runtuh
akibat pembangunan tanah berhampiran membuat himpunan di depan pejabat
MB Pahang hari ini.
Sekurang-kurangnya tujuh buah rumah di
kawasan Green Cow diancam tanah runtuh ekoran sikap pemaju mementingkan
keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan penduduk.
Penduduk
mendakwa, syarikat pemaju LTT Development Sdn Bhd dan Ng Yeet Ng giat
menjalankan kerja-kerja meratakan tanah bukit untuk projek pembangunan
di kawasan itu sehingga terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk
di bawah cerun.
Kini seramai 38 penghuni di kediaman-kediaman itu
diancam bahaya bukan sahaja tanah runtuh, malah beresiko dihempap
batu-batu besar berdiameter lebih 5 meter.

Harakahdaily sebelum ini pernah melaporkan masalah mereka.
Zulkifly
bersama Pesuruhajaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menziarahi
kampung mereka dan melihat sendiri bagaimana batu-batu besar yang
bila-bila masa sahaja boleh menghempas rumah mereka.
Mereka kini tinggal di khemah-khemah kerana takut dihempap batu kalau tidur di rumah mereka.
Walaupun
pelbagai laporan dibuat, pihak berkuasa tidak pernah melayan mereka
lalu membawa mereka berhimpun di depan pejabat MB hari ini.
Khemah di Putrajaya
Sebelum ini penduduk terbabit pernah berhasrat untuk berkhemah di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Namun,
akibat kerelaan Menteri Besar Pahang Datuk Sri Adnan Yaakob yang
akhirnya bersedia menemui mereka selepas lebih dua tahun menunggu, maka
himpunan tersebut dibatalkan.
Satu Majlis Pertemuan Dan Dialog Penduduk Cameron Highland dengan beliau telah diadakan di Annexe Rest House pada 9 April lalu.
Menurut
wakil penduduk, Setiausaha PSM Cameron Highlands Suresh Kumar berkata
MB Pahang telah bersetuju untuk bertemu dengan penduduk berkenaan dan
berbincang mengenai masalah melibatkan tanah dan pertanian yang mereka
hadapi.
"Beliau berjanji untuk mengadakan lawatan ke lokasi yang
dinyatakan pada 18 April bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan," kata
Suresh.
Janji-janji telah dibuat kepada penduduk terbabit dan
dengan bangga MB mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang akan cuba
menyelesaikan isu itu dengan segera.
Namun, apa yang berlaku
selepas lebih tiga bulan berlalu segala janji hanya tinggal janji dan
penduduk kini semakin dihimpit dengan masalah yang bertimpa-timpa.
"Maka
itulah, kami terpaksa berkhemah di hadapan Pejabat MB Pahang bagi
menuntut beliau menunaikan segala janji manisnya itu. Malah ia selaras
dengan slogan PM sekarang ini agar janji ditepati," kata beliau.