Pengsan dalam lokap sesak - Harian Metro

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my

KUANTAN: Pekarangan kompleks mahkamah, di sini, semalam, kecoh apabila seorang daripada 25 peserta perhimpunan haram di depan Wisma Sri Pahang yang ditahan kelmarin, pengsan akibat terlalu bersesak di dalam lokap mahkamah.
Ahli keluarga tahanan berang kerana ambulans dihubungi untuk membawa wanita berusia 56 tahun itu tidak tiba walaupun selepas empat panggilan telefon dibuat.

Bagaimanapun, keadaan itu dikawal sepenuhnya polis sebelum tahanan terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, menaiki van petugas mahkamah sambil diiringi polis.
Petugas mahkamah kemudian memindahkan mereka ke lokap lebih luas di bangunan bersebelahan sementara menunggu keputusan sama ada mereka didakwa atau tidak.

Ahli keluarga yang tidak puas hati dengan penahanan itu berpiket di dalam kawasan mahkamah sambil membawa sepanduk yang menuntut semua tahanan dibebaskan.

Semua tahanan dibawa ke mahkamah pada jam 8.30 pagi untuk didakwa selepas ditahan petang kelmarin berikutan berhimpun di bawah khemah di luar Wisma Sri Pahang. Bagaimanapun, polis memutuskan tidak mendakwa mereka, sebaliknya membebaskan seorang demi seorang dengan jaminan polis pada jam 4 petang selepas keterangan diambil.

Seramai 31 peserta termasuk enam kanak-kanak dari Cameron Highlands ditahan pada jam 3 petang kelmarin selepas berkumpul di bawah khemah di luar Wisma Sri Pahang untuk menuntut pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, bagi membincangkan masalah penempatan mereka. Amaran bersurai secara aman tidak diendahkan, malah mereka mencabar pihak berkuasa mengambil tindakan. sehingga memaksa polis menahan mereka.

Enam kanak-kanak berusia antara empat dan 16 tahun yang ditahan kelmarin tidak dibawa ke mahkamah, sebaliknya diserahkan kepada saudara masing-masing. selepas itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/12


No comments: