Parti Sosialis Malaysia Cameron Highlands telah mula beroperasi sejak tahun 2005 dengan penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat Cameron. Nama pusat khidmat ini diubah kepada Pusat Khidmat PSM dan telah dilancarkan semula pada 3 Mei 2008.
Gaji Pekerja Blue Valley Tidak Dibayar... Satu lagi intimidasi oleh majikan
12 November 2008
Pekerja Ladang Blue Valley menerima satu lagi intimidasi dari majikan mereka, Blue Valley Plantation Berhad. Gaji mereka tidak dibayar untuk bulan Oktober 2008. Dan semua ini adalah kerana mereka berjuang untuk hak mereka.
Gaji bulanan harus dibayar pada atau sebelum 7hb setiap bulan. Ini bukanlah kali pertama gaji pekerja Ladang Blue Valley dibayar lewat. Pada bulan Oktober 2008, gaji pekerja hanya dibayar pada 13 Oktober 2008. Bayangkanlah, dengan gaji sekitar RM250 ke RM350, yang dibayar lewat; adakah pekerja ladang dapat menempuh situasi ekonomi masa sekarang?
PSM Cameron telah membimbing pekerja membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak melalui surat pada bulan Oktober 2008. JTK Perak bersetuju bahawa majikan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955. JTK Perak juga berjanji akan mengambil tindakan jika kesalahan ini diulangi.
Tetapi majikan telah mengulangi perkara yang sama pada bulan November 2008. Oleh sebab itu, 3 orang wakil pekerja bersama beberapa kawan yang lain telah mengunjungi Pejabat JTK Perak untuk membuat satu lagi aduan pada 12 November 2008. Di sana, kami telah bertemu dengan Pengarah JTK Perak, En. Nek Yusuf bin Nek Othman. 2 orang pegawai lain turut hadir. Perbincangan telah diadakan selama 45 minit.
JTK Perak telah berjanji untuk mengambil tindakan di atas kelewatan pembayaran gaji pekerja. Pekerja telah diminta mengisi suatu borang untuk menyenaraikan tuntutan mereka.
Kami juga telah menyoal kenapakah JTK Perak tidak mengambil tindakan ke atas majikan untuk isu-isu buruh yang lain. JTK Perak telah berjanji untuk berbuat demikian sebelum ini. Alasan yang diberikan ialah bahawa JTK Perak tidak dapat bertindak kerana majikan sudah pun memfailkan petisyen "winding up" di Mahkamah Tinggi Ipoh. Oleh sebab itu, tidak berguna untuk Blue Valley Plantation Berhad diheret ke Mahkamah Buruh.
Isu petisyen "winding up" oleh majikan Blue Valley Plantation Berhad juga telah ditimbulkan. Saya akan menulis dengan lebih lanjut mengenai proses"winding up" di masa hadapan.
Suresh Kumar
PSM Cameron
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment