Sekali Lagi Pekerja Blue Valley Bersatu: Gotong-Royong Rumah Jayaraman



28 Disember 2008

Pada hari ini, pekerja Ladang Teh Blue Valley bersama sukarelawan PSM Cameron telah bergotong royong membersihkan kawasan rumah Sdr Jayaraman. Untuk mengetahui isu-isu perjuangan Jayaraman, sila baca artikel-artikel berikut:

Pekerja Blue Valley Berjaya Menghalang Rumah Jayaraman Dari Dirobohkan
Pekerja Blue Valley Dipotong Bekalan Air Dan Elektrik!

Kami telah melekat plastik bagi mengelakkan air hujan masuk ke dalam rumah Jayaraman. Air hujan tersebut masuk melalui bumbung rumah jiran Jayaraman yang telah dicabut oleh Pengurus Ladang, Babu Nair.

Kami juga telah memotong rumput di sekitar rumah Jayaraman. Kawasan rumah Jayaraman juga telah dipagar ringkas dengan tali rafia dan buluh. Satu papan tanda telah diletakkan yang memberi amaran kepada sesiapa yang ingin masuk merobohkan rumah Jayaraman. Di samping itu, ia juga menerangkan tuntutan Sdr Jayaraman yang belum ditunaikan oleh Blue Valley Plantation Berhad.

Pekerja ladang tidak patut dilayang seperti tebu, hampasnya dibuang selepas diperah. Pekerja juga mempunyai hak di dalam sesuatu ladang. Sesuatu ladang seperti Blue Valley, hanya maju akibat tenaga yang dicurahkan oleh pekerjanya. Bayangkan bagaimana kawasan hutan pergunungan ini dapat ditukar kepada satu ladang teh dengan hanya menggunakan tenaga manusia dan binatang.

Gotong royong membersihkan rumah Sdr Jayaraman membuktikan bahawa pekerja boleh bersatu untuk mencapai kesejahteraan diri mereka.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: