22 November 2008
(Untuk mengetahui latarbelakang isu Sdr.Jayaraman, sila baca blog berikut: Pekerja Blue Valley Dipotong Bekalan Air Dan Elektrik!)
Pada pagi ini, saya menerima panggilan kecemasan dari Sdri.Revathy dari Blue Valley. Rumah salah seorang bekas pekerja di Ladang Teh Blue Valley sedang cuba dirobohkan. 2 orang warga asing sedang cuba membuka atap zink rumah Sdr.Jayaraman. Jayaraman telah pergi ke Tanah Rata pada masa itu. Hanya tinggal isteri dan anak beliau di dalam rumah tersebut. Sebelum ini, atap zink rumah bersebelahannya telah dibuka.
Saya bergegas menelefon kawan-kawan yang dapat menolong saya dalam isu ini. Bagi saya, ini adalah kali pertama saya akan memberhentikan perobohan rumah seorang rakyat. Kami bertolak dari Tanah Rata dengan Sdr.Jayaraman dan Sdr.Siva. Sdr.Appalasamy telah mengikut kami dari Kuala Terla. Manakala Sdr.Kumar telah datang ke Blue Valley secara berasingan. Saya juga telah menelefon seorang pekerja Blue Valley dan meminta beliau bersama pekerja lain segera ke rumah Jayaraman.
Apabila sampai di situ, 14 orang pekerja Blue Valley sudah pun berada di situ. Warga asing yang sedang bekerja, lari apabila melihat kumpulan pekerja. Manakala En.Doriraj (pekerja yang pro-pentadbiran) yang manjalankan arahan perobohan juga lesap dari situ. 3 atap zink telah dibuka.
Kami terus bergegas ke pejabat pentadbiran Ladang Blue Valley. Hanya kerani sahaja yang berada di situ. En.Babu Nair (pengurus) atau En.Doriraj tiada di situ. Saya telah berhubung dengan Babu Nair melalui telefon. Beliau bertegas akan merobohkan rumah Jayaraman. Mengikut beliau, itu adalah hak beliau. Tetapi apabila ditekan, Babu Nair menukar pendirian dengan mengatakan bahawa beliau mengikut arahan dari pihak atasan.
En.Doriraj yang tiba beberapa waktu kemudian mengatakan bahawa beliau hanya mengikut arahan dari En.Babu Nair. Kami telah menyatakan pendirian kami yang menentang perobohan rumah Jayaraman. Selepas itu kami telah pergi semula ke rumah Sdr.Jayaraman. Beberapa pekerja telah menolong Jayaraman memasang semula atap zink rumahnya yang telah dibuka. Namun atap zink rumah sebelahnya masih tiada.
Seterusnya kami telah menuju ke Balai Polis Kg.Raja untuk membuat aduan polis terhadap Babu Nair dan Doriraj. Selepas itu kami telah dipanggil oleh Pegawai Penyiasat (IO) ke IPD Brinchang. Di situ, Babu Nair dan Doriraj telah dipanggil. Dalam perbincangan tersebut, Babu Nair mengulangi pendiriannya. Apabila IO bertanyakan nombor telefon dan alamat pihak atasan Babu Nair, beliau enggan memberikannya. Babu Nair hanya memberikan nama pemilik ladang sebagai Shanmugam. Pada suatu ketika, Babu Nair juga mengugut untuk berjalan keluar dari perbincangan tersebut. Doriraj tidak membuka mulut sepanjang perbincangan tersebut.
Apakah sebab Sdr.Jayaraman perlu dibenarkan untuk terus menetap di rumahnya buat masa sekarang:
- Kemajuan Ladang Blue Valley sejak penerokaannya dari hutan ke sebuah ladang teh seperti hari ini adalah hasil titik peluh pekerja seperti Jayaraman. Keluarga Jayaraman telah bekerja di ladang itu selama 3 generasi. Ladang itu bukan berkembang kerana hasil usaha Pengurus Ladang atau Pemilik Ladang sahaja. Pekerja ladang boleh diibaratkan seperti tebu; diperah keluar airnya, hampas dibuang.
- Jayaraman telah bekerja di ladang tersebut selama 27 tahun. Dalam masa itu, beliau telah terlibat dalam kemalangan tempat kerja sebanyak 3 kali. Kakinya telah patah. Oleh sebab itu, beliau telah diberikan Pencen Ilat. Beliau bukan berhenti kerja secara sukarela.
- Terdapat bekas pekerja lain yang masih menetap di situ walaupun tidak bekerja. Ada di antara mereka yang mendapat Pencen Ilat. Ada yang diantaranya membayar sewa kepada Pentadbiran Ladang. Walaupun Sdr.Jayaraman sanggup membayar sewa, Babu Nair tetap berdegil mahu merobohkan rumah beliau.
- Jayaraman sedang menunggu skim perumahan yang pernah dijanjikan oleh majikan sebelum ini. Jika beliau berjaya mendapat sebuah rumah dalam skim tersebut, Jayaraman akan mengosongkan rumahnya sekarang.
- Ketika Jayaraman terlibat dalam kemalangan, beliau tidak dapat bekerja selama 18 bulan. Beliau tidak dibayar gaji pada masa itu oleh majikan atau PERKESO. Oleh sebab itu, Blue Valley Plantation Berhad masih lagi berhutang dengan Jayaraman.
- Isteri Jayaraman juga turut pernah bekerja di ladang itu selama 21 tahun.
Apa yang patut dipuji pada hari itu:
- Pekerja ladang yang telah bersatu untuk menghentikan perobohan bekas pekerja.
- Kecekalan Sdr.Jayaraman untuk terus menetap di rumah tersebut dan meneruskan perjuangannya.
Suresh Kumar
PSM Cameron
No comments:
Post a Comment