Lawatan Pegawai Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak Ke Ladang Blue Valley.





23 Julai 2008

Pada 23 Julai 2008, 3 orang pegawai dari JPP Perak telah melawat Ladang Blue Valley. Lawatan ini adalah berikutan aduan yang telah dibuat oleh pekerja melalui surat bertarikh 4 Julai 2008.

Pegawai-pegawai yang hadir telah berjumpa dengan pengurus ladang, En.Babu Nair sebelum berjumpa dengan para pekerja. Pemilik ladang ialah Blue Valley Plantation Berhad. Perjumpaan telah diadakan di rumah salah seorang penduduk di situ. Aduan pekerja ladang adalah bahawa pengurus ladang telah mewujudkan satu situasi supaya pekerja akan berhenti kerja dengan sendiri.

Di antara aduan-aduan tersebut ialah:

1.) gaji yang terlalu kurang (di antara RM250 ke RM 350).

2.) tiada kemudahan kesihatan atau pengangkutan ke hospital.

3.) tempat bekerja yang dipenuhi semak.

4.) tidak menyediakan peralatan untuk bekerja. Semua peralatan harus dibeli oleh pekerja sendiri.

5.) jenis pekerjaan yang tidak sesuai dengan umur pekerja.

6.) caruman PERKESO dan KWSP yang tidak menentu dan tertangguh sehingga setahun.

7.) kemudahan air yang tidak begitu bersih.

8.) bekalan elektrik yang dicaj 30 sen seunit.

9.) ugutan oleh pengurus ladang yang hendak mengeluarkan surat amaran jika pekerja membuat aduan.

10.) gaji dipotong walaupun permohonan cuti tahunan telah dibuat.

11.) SB dan ahli politik MIC menakutkan pekerja.

12.) percubaan untuk memecahkan pekerja dengan menghasut sekumpulan pekerja lain.

13.) keadaan rumah, persekitaran dan jalan masuk yang tidak dijaga.

Pegawai-pegawai JPP juga telah melawat keadaan persekitaran untuk mengetahui keadaan sebenar.

Seorang pegawai JPP juga telah mempertahankan kedudukan pengurus ladang dengan mengatakan bahawa ladang tersebut berada dalam kerugian. Tetapi persoalan pekerja di situ ialah, bagaimanakah ladang-ladang teh lain di Cameron boleh membuat keuntungan dan ladang teh ini mengalami kerugian. Jika pekerja harus berkongsi kerugian pemilik ladang, adakah pemilik ladang sanggup berkongsi keuntungan yang telah dibuat sebelum ini?

Masalah sebenar ialah pemilik ladang yang ingin menjual ladang tersebut untuk projek pembangunan lain. Tetapi disebabkan ladang masih dipertikaikan di makahmah, maka pemilik mengambil sikap sambil lewa dan membiarkan pekerja meninggalkan ladang dengan sendiri. Dengan itu, pemilik tidak perlu membayar pampasan jika ladang ini dijual kelak. Pekerja di ladang ini juga sudah berusia dan adakah mereka dapat terus berjuang merupakan tanda tanya.

Tetapi semangat berjuang pekerja semakin menebal dengan setiap insiden yang berlaku. Diharap mereka dapat bertahan dan terus berjuang.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Wakil PSM Dihalang Masuk Oleh Pengurus Ladang Blue Valley.



11 Julai 2008

Pada 11 Julai 2008, pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja, En.Lam, telah melawat Ladang Blue Valley untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang sedang dialami oleh pekerja-pekerja di situ. Kami telah mendapat panggilan pada pukul 3.15 petang dari pekerja ladang Blue Valley. Perjalanan ke ladang tersebut dari Tanah Rata mengambil masa lebih kurang 40 minit.

Saya bersama Komrad Simon dan Komrad Dinesh telah bergegas ke situ. Sebaik sahaja sampai, pekerja-pekerja ladang telah memberitahu kami bahawa Pengurus Ladang tidak membenarkan kami masuk ke dalam pejabat. Di situ, En.Lam sedang menemu-bual seorang demi seorang pekerja. Pengurus Ladang juga telah memanggil pengawal keselamatan untuk mengawasi kami.

Pekerja ladang sepatutnya berunding dengan En.Lam dan Pengurus Ladang supaya membenarkan seorang wakil kami masuk ke dalam. Tetapi disebabkan oleh perjuangan ini baru bermula, banyak lagi perkara yang perlu dibimbing untuk pekerja di situ. Pekerja ladang di seluruh Malaysia tertindas untuk sekian lama. Membimbing mereka supaya mereka sedar akan hak-hak mereka bukanlah satu perkara mudah. Ia akan mengambil masa. Kami akan membangkitkan perkara ini di dalam mesyuarat dengan penduduk yang akan datang.

Menurut En.Lam yang kami temui selepas itu, beliau bersetuju bahawa pekerja menghadapi masalah-masalah seperti gaji, kesihatan, peralatan kerja dan kemudahan rumah. Pengurus Ladang telah mengatakan beliau tidak berkuasa dan beliau hanya menerima arahan dari pemilik ladang. En. Lam telah memberikan notis kepada Pengurus Ladang supaya hadir bersama pemilik ladang ke Pejabat JTK Tapah dalam masa 14 hari.

Kami akan membimbing pekerja Ladang Blue Valley supaya terus berjuang untuk hak-hak mereka.

Suresh Kumar
PSM Cameron