Seorang Ibu Tunggal Membuat Laporan Polis Terhadap Janji Yang Tidak Dipenuhi



29 November 2008

Pada hari ini, seorang ibu tunggal di Blue Valley, Revathi Ramasamy, telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato' S.K.Devamany. Di dalam laporan tersebut, Revathi telah menyatakan Devamany telah menipu beliau berkenaan janji terhadap pembinaan sebuah gerai di Jalan Simpang Pulai - Blue Valley. Laporan polis ini telah dibuat di Balai Polis Kg. Raja. Nombor laporan tersebut ialah 648/08. Revathi adalah salah seorang peserta di dalam kumpulan ibu tunggal kami. Sebagai tanda solidariti, kami telah mengiring Revathi membuat laporan polis tersebut.

Berikut ialah laporan polis Kg Raja 648/08:
Saya yang bernama seperti di atas sedang menetap di Ladang Blue Valley. Saya sedang bekerja di sebuah kedai makanan milik adik saya. Saya menetap di sana bersama emak saya. Saya adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai 3 orang anak.

Lebih kurang 15 hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12), En.Seran (Ketua MIC) dan En.Karupannan (Ketua MIC) telah datang berjumpa saya sebagai wakil Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ S.K.Devamany. Mereka telah berkata bahawa perbincangan sudah diadakan mengenai permohonan saya untuk mengusahakan satu gerai di tanah kerajaan sepanjang Jln Simpang Pulai – Blue Valley. Tempat tersebut juga telah dikenalpasti. Menurut mereka lagi, ahli parlimen Cameron Highlands pada ketika itu, Devamany telah memberi kelulusan kepada saya untuk membina gerai tersebut. Apabila saya meminta surat kelulusan, saya telah diberitahu bahawa surat kelulusan tidak boleh dikeluarkan kerana Devamany belum lagi menang dalam PRU12. Mereka juga telah memberitahu saya bahawa Devamany akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap gerai yang akan saya usahakan.

3 hari selepas janji tersebut diberikan kepada saya, saya bersama adik saya telah meratakan tempat tersebut. Nama adik saya ialah Palanisamy. Kami telah membeli tanah sejumlah 10 lori untuk meratakan tempat tersebut. Selepas itu kawasan tersebut telah dibersihkan. Paip silinder telah dibeli untuk menutup longkang. Kemudiannya sebuah gerai telah dibina menggunakan zink dan papan. Luas gerai yang telah dibina ialah lebih kurang 35kaki x 35kaki.

Semasa gerai ini dibina, pegawai dari JKR telah datang dan mengambil gambar gerai tersebut. Kesemua kerja pembinaan telah siap 2 hari sebelum PRU12. Kos pembinaan ialah RM3700.

Pada 6 Mac 2008, Devamany telah hadir di kuil Blue Valley. Emak saya, Veeramah, telah menghadiri perjumpaan tersebut. Beliau telah memaklumkan kepada Devamany akan gerai yang telah siap dibina. Devamany telah:
  1. memaklumkan bahawa tempat tersebut telah dikhaskan untuk saya.
  2. akan menguruskan hal-hal berkaitan selepas memenangi PRU12.
  3. telah menepuk bahu emak saya dan memberi jaminan bahawa kami boleh berniaga di gerai tersebut.
Pada 8 Mac 2008, hari PRU12, lebih kurang pada pukul 10 pagi, Devamany telah mengunjungi kedai makanan adik saya. Devamany telah memuji saya kerana telah membuktikan bahawa saya boleh membina sebuah gerai. Beliau telah berjanji untuk memberikan tempat tersebut kepada saya selepas PRU12. Ketika itu, ramai orang berada di situ.

Lebih kurang seminggu selepas PRU12, pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Dan Daerah Cameron Highlands (PTDCH) telah merobohkan gerai saya. Alasan yang telah diberikan untuk perobohan tersebut ialah bahawa saya tidak mendapat kelulusan dari PTDCH untuk membina gerai tersebut. Saya telah diminta untuk menghadirkan diri ke PTDCH jika hendak berbincanh lanjut.

Saya telah pergi ke PTDCH dan di situ saya telah ditanya siapakah Devamany untuk memberi kebenaran kepada saya untuk membina sebuah gerai.

Pada 24 Mac 2008, ketika saya bertemu Devamany, beliau telah memberikan alasan bahawa beliau tidak dapat menolong saya kerana jumlah undi yang diperolehi oleh beliau di kawasan Blue Valley adalah kurang. Manakala En.Parimanan (Ketua MIC) telah memberitahu emak dan adik saya, Palanisamy, bahawa saya hanya akan mendapat berniaga di kawasan baru hanya jika kedai makanan adik saya di Blue Valley dirobohkan.

Pada bulan yang lepas, Devamany bersama Dato’ Seri S.Samy Vellu juga telah datang melawat ladang Blue Valley. Emak saya telah bertemu Samy Vellu. Emak saya telah diberi pilihan untuk memilih di antara 2 perkara, iaitu gerai yang telah dibina atau mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Emak saya telah memilih untuk berniaga di gerai yang telah siap dibina. Samy Vellu telah mengarah Devamany untuk menolong emak saya. Devamany telah bersetuju dan telah mengarahkan En.Parimanan (Ketua MIC) untuk meneliti kes saya.

Pada 7 Nov 2008, Devamany telah datang mengunjungi Kuil Blue Valley. Saya telah menghadiri perjumpaan tersebut untuk bertanyakan nasib gerai saya yang telah dirobohkan. Devamany telah melarang saya untuk bercakap dengan menunjukkan tanda isyarat. Beliau juga telah bertanya bahawa adakah saya datang ke situ untuk bergaduh. Apabila saya bertanyakan mengenai janji beliau yang diberikan di hadapan Samy Vellu, beliau dengan angkuhnya memberikan nombor telefon Samy Vellu dan meminta saya menghubungi sendiri. Beliau juga telah berkata bahawa saya boleh pergi ke mana sahaja untuk mengadu dan saya tidak akan dapat membina semula gerai saya.

Saya ingin pihak polis menyiasat Devamany akan perkara-perkara berikut:
  1. telah memberi janji palsu melalui Seran dan Karupannan untuk saya memulakan pembinaan gerai saya 15 hari sebelum PRU12.
  2. telah menipu saya dengan memberikan janji palsu (pada 8 Mac 2008) bahawa pembinaan gerai saya telah diluluskan.
  3. memberikan janji palsu pada emak saya (pada 6 Mac 2008)bahawa tempat gerai itu telah dikhaskan untuk saya dan akan menguruskan perkara lain selepas PRU12.
  4. telah memberikan janji palsu bahawa masalah saya akan diselesaikan ketika mengiringi Samy Vellu dalam lawatan ke BlueValley.
  5. telah bertanyakan saya bahawa adakah saya datang untuk bergaduh pada 7 Nov 2008 di Kuil Blue Valley.
Sekian laporan saya.

Yang benar,
Revathi A/P Ramasamy

Revathi adalah seorang ibu tunggal yang sedang menetap bersama ibu dan 3 orang anaknya. Beliau sedang bekerja di sebuah kedai makanan milik adiknya. Kedai makanan ini telah diberi notis pengosongan setahun dahulu. Walaupun begitu, keluarga Revathi masih dibenarkan menduduki kedai tersebut. Revathi adalah sebahagian daripada rakyat yang sedang meminta temujanji dengan Pegawai Daerah Cameron melalui Majlis Perwakilan Rakyat (MPR).

Kami berharap Revathi akan mendapat penyelesaian untuk masalahnya. Kami juga berharap pihak polis akan menyiasat kes ini dengan adil dan tanpa sebarang prejudis.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Rakyat Pengayuh Perubahan... Wakil Cameron



30 November 2008

Satu lagi program Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) akan diadakan dari 3 -18 Dis 08 (16 hari). Kali ini adalah program pengayuhan basikal yang berlandaskan agenda rakyat. Pengayuhan akan bermula dari Alor Star, Kedah di Utara dan Skudai, Johor di Selatan. Kedua-dua kumpulan ini akan mengayuh menuju ke Parlimen di Kuala Lumpur.

Tema program ini ialah Rakyat Pengayuh Perubahan.

2 orang peserta dari Cameron akan mengambil bahagian dalam pengayuhan ini. Mereka ialah Khathiresh Jeya Moorthi dan Sivanantha Paramasivam. Mereka akan mengikut pasukan nasional dari Alor Star.

Para pengayuh akan melalui satu demi satu bandar di sepanjang pengayuhan mereka. Mereka akan melalui negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Di setiap bandar yang mereka singgahi, para pengayuh akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti pengedaran risalah, ceramah dan tontonan video.

Di antara agenda-agenda rakyat yang akan diketengahkan ialah:
  1. Mansuhkan ISA
  2. Kawal Harga Barangan
  3. Gubal Akta Gaji Minima
  4. Perumahan Selesa Untuk Rakyat
  5. Kembalikan Pilihanraya Majlis Tempatan
  6. Hentikan Pengswastaan Perkhidmatan Awam
PSM Cameron mengucapkan selamat mengayuh kepada semua Pengayuh Perubahan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, sila lawati laman berikut: www.jerit.org

Suresh Kumar
PSM Cameron

Pekerja Blue Valley Berjaya Menghalang Rumah Jayaraman Dari Dirobohkan



22 November 2008

(Untuk mengetahui latarbelakang isu Sdr.Jayaraman, sila baca blog berikut: Pekerja Blue Valley Dipotong Bekalan Air Dan Elektrik!)

Pada pagi ini, saya menerima panggilan kecemasan dari Sdri.Revathy dari Blue Valley. Rumah salah seorang bekas pekerja di Ladang Teh Blue Valley sedang cuba dirobohkan. 2 orang warga asing sedang cuba membuka atap zink rumah Sdr.Jayaraman. Jayaraman telah pergi ke Tanah Rata pada masa itu. Hanya tinggal isteri dan anak beliau di dalam rumah tersebut. Sebelum ini, atap zink rumah bersebelahannya telah dibuka.

Saya bergegas menelefon kawan-kawan yang dapat menolong saya dalam isu ini. Bagi saya, ini adalah kali pertama saya akan memberhentikan perobohan rumah seorang rakyat. Kami bertolak dari Tanah Rata dengan Sdr.Jayaraman dan Sdr.Siva. Sdr.Appalasamy telah mengikut kami dari Kuala Terla. Manakala Sdr.Kumar telah datang ke Blue Valley secara berasingan. Saya juga telah menelefon seorang pekerja Blue Valley dan meminta beliau bersama pekerja lain segera ke rumah Jayaraman.

Apabila sampai di situ, 14 orang pekerja Blue Valley sudah pun berada di situ. Warga asing yang sedang bekerja, lari apabila melihat kumpulan pekerja. Manakala En.Doriraj (pekerja yang pro-pentadbiran) yang manjalankan arahan perobohan juga lesap dari situ. 3 atap zink telah dibuka.

Kami terus bergegas ke pejabat pentadbiran Ladang Blue Valley. Hanya kerani sahaja yang berada di situ. En.Babu Nair (pengurus) atau En.Doriraj tiada di situ. Saya telah berhubung dengan Babu Nair melalui telefon. Beliau bertegas akan merobohkan rumah Jayaraman. Mengikut beliau, itu adalah hak beliau. Tetapi apabila ditekan, Babu Nair menukar pendirian dengan mengatakan bahawa beliau mengikut arahan dari pihak atasan.

En.Doriraj yang tiba beberapa waktu kemudian mengatakan bahawa beliau hanya mengikut arahan dari En.Babu Nair. Kami telah menyatakan pendirian kami yang menentang perobohan rumah Jayaraman. Selepas itu kami telah pergi semula ke rumah Sdr.Jayaraman. Beberapa pekerja telah menolong Jayaraman memasang semula atap zink rumahnya yang telah dibuka. Namun atap zink rumah sebelahnya masih tiada.

Seterusnya kami telah menuju ke Balai Polis Kg.Raja untuk membuat aduan polis terhadap Babu Nair dan Doriraj. Selepas itu kami telah dipanggil oleh Pegawai Penyiasat (IO) ke IPD Brinchang. Di situ, Babu Nair dan Doriraj telah dipanggil. Dalam perbincangan tersebut, Babu Nair mengulangi pendiriannya. Apabila IO bertanyakan nombor telefon dan alamat pihak atasan Babu Nair, beliau enggan memberikannya. Babu Nair hanya memberikan nama pemilik ladang sebagai Shanmugam. Pada suatu ketika, Babu Nair juga mengugut untuk berjalan keluar dari perbincangan tersebut. Doriraj tidak membuka mulut sepanjang perbincangan tersebut.

Apakah sebab Sdr.Jayaraman perlu dibenarkan untuk terus menetap di rumahnya buat masa sekarang:
  1. Kemajuan Ladang Blue Valley sejak penerokaannya dari hutan ke sebuah ladang teh seperti hari ini adalah hasil titik peluh pekerja seperti Jayaraman. Keluarga Jayaraman telah bekerja di ladang itu selama 3 generasi. Ladang itu bukan berkembang kerana hasil usaha Pengurus Ladang atau Pemilik Ladang sahaja. Pekerja ladang boleh diibaratkan seperti tebu; diperah keluar airnya, hampas dibuang.
  2. Jayaraman telah bekerja di ladang tersebut selama 27 tahun. Dalam masa itu, beliau telah terlibat dalam kemalangan tempat kerja sebanyak 3 kali. Kakinya telah patah. Oleh sebab itu, beliau telah diberikan Pencen Ilat. Beliau bukan berhenti kerja secara sukarela.
  3. Terdapat bekas pekerja lain yang masih menetap di situ walaupun tidak bekerja. Ada di antara mereka yang mendapat Pencen Ilat. Ada yang diantaranya membayar sewa kepada Pentadbiran Ladang. Walaupun Sdr.Jayaraman sanggup membayar sewa, Babu Nair tetap berdegil mahu merobohkan rumah beliau.
  4. Jayaraman sedang menunggu skim perumahan yang pernah dijanjikan oleh majikan sebelum ini. Jika beliau berjaya mendapat sebuah rumah dalam skim tersebut, Jayaraman akan mengosongkan rumahnya sekarang.
  5. Ketika Jayaraman terlibat dalam kemalangan, beliau tidak dapat bekerja selama 18 bulan. Beliau tidak dibayar gaji pada masa itu oleh majikan atau PERKESO. Oleh sebab itu, Blue Valley Plantation Berhad masih lagi berhutang dengan Jayaraman.
  6. Isteri Jayaraman juga turut pernah bekerja di ladang itu selama 21 tahun.
Selepas itu, kami telah balik dan sehingga ke hari ini belum lagi ada percubaan lain untuk merobohkan rumah Sdr.Jayaraman.
Apa yang patut dipuji pada hari itu:
  1. Pekerja ladang yang telah bersatu untuk menghentikan perobohan bekas pekerja.
  2. Kecekalan Sdr.Jayaraman untuk terus menetap di rumah tersebut dan meneruskan perjuangannya.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Kuasa Rakyat Berjaya Mendapat Jawapan Dari Pejabat Daerah Cameron



17 November 2008

Pada hari ini, sekumpulan 10 orang wakil MPR telah mengunjungi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PTDCH). Tujuan kami adalah untuk menyampaikan surat ke-2 meminta Pegawai Daerah (DO) memberikan temujanji dengan penduduk Cameron yang menghadapi masalah. Surat pertama kami bertarikh 23 Oktober 2008 tidak mendapat sebarang jawapan.

Seperti biasa, pegawai di situ telah bersedia untuk menerima surat dan megesahkan penerimaan surat tersebut. Tetapi kali ini kami telah bernekad untuk mendapatkan jawapan dari PTDCH berkenaan temujanji dengan DO. Setiap orang yang hadir telah berhujah. Ini telah mengambil masa lebih kurang 20 minit.

Pegawai yang melayan kami cuba mempertahankan kedudukan PTDCH walaupun sedar akan kesalahan mereka. PTDCH hanya pernah menjawab satu surat sahaja sepanjang 2 tahun lepas terhadap surat-surat yang dihantar dari Pusat Khidmat PSM. Itu pun selepas dibuat laporan di Biro Pengaduan Awam (BPA).

Akhirnya pegawai tersebut berjanji untuk membalas surat kami. Dan kami telah menerima surat balas pada 19 November 2008. Tiada tarikh temujanji diberikan. Apa yang terkandung di dalam surat tersebut ialah alasan mengapa DO tidak dapat berjumpa dengan rakyat pada bulan November 2008. Kami akan membuat keputusan seterusnya pada MPR Cameron ke-3.

Kesimpulan dari kunjungan kami: 10 orang boleh mendapat surat balas dari PTDCH; mungkin 100 orang boleh mendapat satu tarikh temujanji dengan DO.

Suresh Kumar
PSM Cameron

MPR Cameron Ke-2... Lebih banyak perbincangan



16 November 2008

Pada hari ini, MPR Cameron yang ke-2 telah diadakan. Walaupun bilangan orang yang hadir adalah kurang daripada MPR pertama, tetapi perjumpaan kali ini melihatkan lebih banyak perbincangan dan debat.

Saya telah membentangkan mengenai keputusan yang telah diambil dalam MPR pertama dan kerja yang telah dilakukan selepas itu. Dalam MPR pertama, keputusan telah diambil untuk meminta satu temujanji dengan Pegawai Daerah (DO) Cameron. Surat tersebut telah dihantar pada 23 Oktober 2008 oleh saya dan Sdr.Kumar. Di antara permintaan MPR di dalam surat tersebut ialah untuk DO membincangkan perkara-perkara berikut:
  1. tanah perumahan/pertanian yang sudah diduduki lama tetapi tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Tanah ini sudah diduduki sebelum tahun 2001, iaitu sebelum Polisi Kerajaan Pahang yang membekukan pembukaan tanah baru di Cameron.
  2. tanah perumahan/pertanian yang diambil untuk projek kerajaan tetapi tidak diganti.
  3. lesen LPS untuk tanah pertanian/perumahan yang dimohon oleh orang yang sedang mendudukinya tetapi diberikan kepada orang lain.
  4. rakyat miskin yang memohon rumah kos rendah diketepikan.
Seperti yang dijangkakan, tiada jawapan balas diterima dari Pejabat Daerah Cameron. Kesemua rakyat yang hadir setuju untuk menghantar surat ke-2. Keputusan juga telah diambil supaya kali ini, lebih banyak rakyat turut serta untuk menghantar surat kepada DO.

Isu lain yang telah dibincangkan ialah mengenai masalah di Pejabat Pos Ringlet dan Tanah Rata. Oleh kerana pegawai yang bertugas di situ kurang, maka penduduk menghadapi masalah terpaksa beratur panjang di pejabat pos. Keadaan di Ringlet adalah paling teruk di mana panjang barisan orang yang beratur boleh sampai mencecah keluar dari pagar kawasan pejabat pos. Ramai yang hadir juga kasihan terhadap pegawai yang bertugas kerana terpaksa melayan pelanggan tidak berhenti-henti.

Inilah masalahnya apabila sesuatu Jabatan Kerajaan diswastakan. Perkhidmatan Pos Malaysia sekarang dijalankan di atas dasar keuntungan, dan bukannya sebagai kemudahan untuk rakyat. Bilangan kakitangan dihadkan untuk sesuatu pejabat pos untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Perkara ini tidak berlaku ketika Perkhidmatan Pos di bawah kerajaan.

Terdapat juga berita bahawa Pejabat Pos Ringlet mungkin akan ditutup kerana tidak menjana keuntungan. MPR telah mengambil keputusan untuk membuat kempen tandatangan meminta Pos Malaysia Berhad menambah bilangan kakitangan Pejabat Pos Ringlet dan Tanah Rata. MPR juga akan meminta Pos Malaysia supaya tidak menutup Pejabat Pos Ringlet.

Masalah seterusnya yang telah diungkitkan ialah perkhidmatan bas awam di Cameron Highlands. Perkhidmatan ini hampir lumpuh di Cameron. Banyak masalah yang sedang dihadapai seperti:
  1. bas yang lama dan kerap-kali rosak.
  2. bas yang tidak mengikut jadual.
  3. bas yang tidak kerap.
  4. bas yang tidak selesa.
  5. moral pekerja yang rendah.
  6. gaji pekerja yang rendah.
  7. keadaan bekerja yang tidak selesa.
MPR telah membuat keputusan untuk membuat kempen tandatangan meminta Menteri Pengangkutan masuk campur menyelesaikan masalah ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Gaji Pekerja Blue Valley Tidak Dibayar... Satu lagi intimidasi oleh majikan



12 November 2008

Pekerja Ladang Blue Valley menerima satu lagi intimidasi dari majikan mereka, Blue Valley Plantation Berhad. Gaji mereka tidak dibayar untuk bulan Oktober 2008. Dan semua ini adalah kerana mereka berjuang untuk hak mereka.

Gaji bulanan harus dibayar pada atau sebelum 7hb setiap bulan. Ini bukanlah kali pertama gaji pekerja Ladang Blue Valley dibayar lewat. Pada bulan Oktober 2008, gaji pekerja hanya dibayar pada 13 Oktober 2008. Bayangkanlah, dengan gaji sekitar RM250 ke RM350, yang dibayar lewat; adakah pekerja ladang dapat menempuh situasi ekonomi masa sekarang?

PSM Cameron telah membimbing pekerja membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak melalui surat pada bulan Oktober 2008. JTK Perak bersetuju bahawa majikan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955. JTK Perak juga berjanji akan mengambil tindakan jika kesalahan ini diulangi.

Tetapi majikan telah mengulangi perkara yang sama pada bulan November 2008. Oleh sebab itu, 3 orang wakil pekerja bersama beberapa kawan yang lain telah mengunjungi Pejabat JTK Perak untuk membuat satu lagi aduan pada 12 November 2008. Di sana, kami telah bertemu dengan Pengarah JTK Perak, En. Nek Yusuf bin Nek Othman. 2 orang pegawai lain turut hadir. Perbincangan telah diadakan selama 45 minit.

JTK Perak telah berjanji untuk mengambil tindakan di atas kelewatan pembayaran gaji pekerja. Pekerja telah diminta mengisi suatu borang untuk menyenaraikan tuntutan mereka.

Kami juga telah menyoal kenapakah JTK Perak tidak mengambil tindakan ke atas majikan untuk isu-isu buruh yang lain. JTK Perak telah berjanji untuk berbuat demikian sebelum ini. Alasan yang diberikan ialah bahawa JTK Perak tidak dapat bertindak kerana majikan sudah pun memfailkan petisyen "winding up" di Mahkamah Tinggi Ipoh. Oleh sebab itu, tidak berguna untuk Blue Valley Plantation Berhad diheret ke Mahkamah Buruh.

Isu petisyen "winding up" oleh majikan Blue Valley Plantation Berhad juga telah ditimbulkan. Saya akan menulis dengan lebih lanjut mengenai proses"winding up" di masa hadapan.

Suresh Kumar
PSM Cameron