Contoh Aduan Polis Yang Dibuat Dalam Kempen Aduan Polis


CONTOH ADUAN POLIS

Kami bernama seperti di bawah ingin membuat aduan polis berkenaan penduduk di kawasan Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands, Pahang yang sedang diancam masalah keselamatan disebabkan oleh 2 orang Pemaju yang sedang memotong bukit berdekatan dengan rumah-rumah mereka. Penduduk Green Cow khuatir pemotongan tanah di kawasan bukit di belakang rumah mereka akan menyebabkan tanah runtuh yang akan memusnahkan rumah-rumah mereka. Mengikut penduduk di situ, akibat kerja-kerja pemaju, sebuah batu besar  telah pun runtuh tetapi nasib baik batu itu berhenti sebelum menimpa rumah yang tedekat.

Selain dari ancaman tanah runtuh, penduduk Green Cow juga menghadapai masalah samseng yang diupah oleh pemaju untuk mengugut dan merobohkan kadang kambing mereka. Perobohan kandang kambing seorang penduduk telah berlaku pada 26hb Mac 2012 di mana lebih kurang 15 lelaki Melayu telah datang ke kawasan itu dan memecahkan kandang kambing. Apabila keluarga penduduk pergi dan minta mereka jangan roboh, kumpulan samseng itu telah nasihat penduduk pergi beritahu polis. Kumpulan samseng berkata mereka telah “kowtim” pihak polis dan polis tidak akan datang.

Apabila penduduk terus merayu jangan roboh, seorang daripada kumpulan itu mengeluarkan satu pistol dan tanya “you mahu saya tembak kambing ataupun pecah kandang sahaja?”.

Selepas perobohan dilakukan oleh samseng, para penduduk telah datang ke Balai Polis Brinchang dan melaporkan Aduan Polis # 344/12. Tetapi layanan pihak polis tidak profesyional. Antara lain ialah:
1.       Anggota polis yang mengambil laporan telah tanya “adakah sijil lahir untuk kambing-kambing itu?” apabila seorang penduduk memberitahu bahawa 5 ekor kambing telah terhilang dalam masa perobohan itu.
2.       Anggota polis juga telah bertanya “apakah jenama pistol?” apabila penduduk mengadu bahawa ugutan dengan pistol telah berlaku.

Selain daripada itu, selepas satu bulan selepas kejadian perobohan itu, para penduduk berjumpa ASP Saralathan KBSJD IPD Brinchang dan bertanya mengapa samseng yang melakukan perobohan dan ugutan belum ditangkap walaupun gambar-gambar mereka telah diberi polis, ASP Saralathan jawab beliau tidak ada gambar itu dan meminta penduduk memberinya satu set baru.

Berikutan isu ini, Ahli Parlimen Sg Siput, Dr.Jeyakumar telah datang ke Balai Brinchang pada tengah hari 29hb Mei 2012 untuk berjumpa dengan Tuan KPD tetapi beliau dan Timbalannya tidak ada di kawasan pada hari itu. Dr.Jeyakumar telah berjumpa dengan ASP Azmi b Mahmood KCKD IPD Brinchang, dan memberitahunya bahawa wujudnya prasangka di kalangan orang awam bahawa pihak polis berat sebelah pada pemaju dan samseng kerana gagal ambil tindakan terhadap ugutan samseng walaupun 10 minggu telah berlalu sejak kejadian robohan itu. Tetapi sebelum ini, pada Oktober 2011 polis telah menangkap 3 orang dari Green Cow kerana cuba menghentikan pemaju daripada kerja-kerja memotong bukit dan ketiga orang ini telahpun didakwa di Mahakamah. Tetapi terhadap samseng nampaknya tiada tindakan yang tegas walaupun gambar mereka dan nombor pendaftaran kereta mereka telah diberi kepada polis.

Tetapi ASP Azmi mempertahankan pendekatan polis dengan berkata kes masih dalam siasatan. Polis tidak dapat menangkap samseng kerana tidak dapat mengesan mereka. (Walaupun telah dapat gambar, dan penduduk sendiri telah berjumpa beberapa orang daripada kumpulan samseng itu di Bandar Brinchang dan di Tanah Rata.)

Pada pendapat kami, kelembapan polis IPD Cameron Highlands (Brinchang) menangani kes ugutan samseng ini akan menghantar mesej yang tidak diingini kepada pihak pemaju dan juga para samseng. Mereka akan percaya mereka ada kekebalan (immunity) daripada tindakan polis, dan ini mungkin akan menggalakkan mereka melakukan tindakan yang lebih keras terhadap para penduduk. Masalah tanah ini di antara pemaju dan penduduk harus diselesaikan melalui perbincangan ataupun melalui tindakan mahkamah. Tetapi bukan dengan memakai kekerasan, samseng, ugutan dan sebagainya.

Kami mahu pihak polis atasan daripada Bukit Aman menyiasat samada adakah persuhabatan antara mana-mana lapisan polis IPD Brinchang dengan pihak pemaju? Jika tidak mengapakah respons para polis tehadap ugutan jenayah pihak samseng begitu tidak profesyional sampai anggota polis memperli penduduk yang membuat laporan polis (Sijil Lahir Kambing dan Jenama Pistol) dan tidak menunjukkan gambar pada pihak polis atasan? Adakah sesiapa anggota polis dipengaruhi oleh pemaju?

Ini adalah satu isu yang amat serius. Kita memerlukan tindakan profesyional polis untuk memastikan masalah-masalah seperti di antara penduduk Green Cow dan Pemaju diselesaikan melalui saluran perbincangan ataupun tindakan maahkamah. Bila pihak polis bertindak secara lemah dan lambat, ianya akan buka jalan ke ugutan, kekerasan dan pergaduhan di kalangan rakyat.

Kami mahu pihak polis bertindak secara proffesional dan harap pihak atasan akan menyiasat perkara ini untuk memastikan penyelewengan tidak berlaku dalam pengendalian isu Green Cow ini.

Terima kasih.

No comments: