Peniaga Kecil Kea Farm Minta Pejabat Daerah Cameron Tidak Sebelahi Pemaju



30 Julai 2010

Pada hari ini, saya bersama sekumpulan peniaga kecil dari Kea Farm telah mengunjungi Pejabat Daerah & Tanah Cameron Highlands (PDTCH). Tujuan kami ialah untuk meminta penjelasan dari Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor berkenaan notis pengusiran yang telah diberikan kepada peniaga ini semalam. Turut menyertai kami ialah penyokong-penyokong PSM yang lain.

Di dalam notis tersebut, Dato Hj Mohamad Noor telah meminta peniaga-peniaga merobohkan gerai mereka akibat tidak mempunyai lesen. Jika mereka engkar, denda dan penjara menanti mereka.

Peniaga kecil ini sudah berniaga di gerai mereka dari 10 ke 25 tahun dan mengapakah mereka tidak pernah diberi notis sebelum ini?

Peniaga-peniaga kecil ini sebenarnya hendak diusir keluar untuk memberi laluan kepada satu projek pembinaan rumahkedai di belakang gerai-gerai ini. Projek itu sedang dibangunkan oleh sebuah syarikat bernama Signature Landmark Property Sdn Bhd. Malangnya, PDTCH dipergunakan oleh pihak pemaju supaya mereka dapat mengambil tanah kerajaan tersebut.

Kami sampai di PDTCH lebih kurang pukul 10 pagi. Dato Hj Mohamad Noor yang berada di dalam pejabat tidak mahu keluar berjumpa kami dengan alasan menghadiri mesyuarat. Kami menunggu selama 30 minit dan keluar dari PDTCH selepas diberitahu Dato Hj tidak dapat dihubungi kerana sibuk dalam mesyuarat. Kami juga telah diberitahu bahawa seorang lagi Penolong Pegawai Daerah, En.Mohd Isa tidak berada di Cameron. Mohd Isa ialah seorang lagi pegawai di PDTCH yang ingin mengusir peniaga kecil di Kea Farm.

Kami telah membuat satu laporan polis terhadap Dato Hj Mohamad Noor dan Mohd Isa mengenai salah gunakuasa mereka sebagai pentadbir tanah dan bekerjasama dengan pihak pemaju untuk mengusir keluar peniaga-peniaga kecil di Kea Farm.

Kami juga turut menyerahkan 2 surat lain kepada JKR dan Majlis Daerah Cameron mengenai pemaju yang tidak memasang papan tanda maklumat projek dan percubaan oleh pemaju untuk merobohkan pondok bas awam di Kea Farm.

Suresh Kumar
Cameron Highlands

Kenyataan Akhbar Berikutan Perobohan Kebun-Kebun Di Lembah Bertam Pada 28 & 29 Jun 2010

psm with wording logo

KENYATAAN AKHBAR

PSM CAMERON HIGHLANDS



30 JANUARI 2010


KERAJAAN PAHANG YANG TIDAK PEKA

MENANGANI ISU PETANI CAMERON HIGHLANDS



PSM Cameron memandang serius akan tindakan Keraajaan Negeri Pahang yang tidak ingin mengiktiraf pekebun-pekebun di Cameron yang sudah berkebun lebih dari 10 tahun. Ada di antara mereka yang sudah berkebun lebih dari 40 tahun.

Cameron adalah salah satu tempat utama penghasilan sayur dan bunga tanah tinggi. Kerajaan Negeri Barisan Nasional seolah-olah tidak menyedari fakta ini. Pelbagai masalah diwujudkan untuk pengusaha-pengusaha kebun di Cameron. Masalah-masalah ini diwujudkan samada oleh Pejabat Daerah & Tanah Cameron ataupun kerajaan negeri Pahang melalui Pejabat Tanah & Galian (PTG). Isu yang terkini ialah di Lembah Bertam pada 28 & 29 Jun 2010.

PSM Cameron sudah pun mengutarakan masalah-masalah petani di Cameron yang setelah bercucuk tanam begitu lama, enggan diiktiraf oleh kerajaan Negeri Pahang. Pengiktirafan disini bermaksud pemberian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) atau Hakmilik Tetap kepada pekebun-pekebun ini.

Akibat tidak mempunyai lesen, pekebun-pekebun menghadapi pelbagai masalah seperti
  1. perobohan kebun dan struktur-struktur di kebun
  2. disaman oleh Pejabat Tanah atas alasan tidak mempunyai lesen.
  3. tidak diberikan permit mengusahakan tanah dengan membawa masuk jentera. Oleh itu mereka menghadapi masalah-masalah seperti banjir dan tanah runtuh.
  4. dibuli oleh pekebun yang mempunyai lesen dengan mengambil sebahagian kebun mereka yang tidak mempunyai lesen.
  5. tidak dibenarkan membina rumah untuk mereka sekeluarga tinggal di atas tanah tersebut.
  6. tidak dapat melaburkan wang untuk mengunakan teknologi baru di dalam kebun kerana mereka tidak mempunyai jaminan terhadap tanah kebun tersebut.

Perkara ini telah pun dibawa kepada perhatian Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Bin Haji Yaakob pada 20 April 2010 di Kuantan. Namun sehingga ke hari ini, tiada jawapan.

Petani di Cameron adalah sumber utama penghasilan sayur dan bunga di Malaysia. Ketika membentang Belanjawan Ke-10 pada tahun lepas, Perdana Menteri Dato Sri Najib ada menyatakan bahawa kerajaan prihatin terhadap keluh kesah dan rintihan golongan petani dan akan sentiasa sedaya upaya cuba menolong mereka. Tetapi apa yang berlaku di Cameron adalah bertentangan dengan janji yang diberikan oleh Dato Sri Najib.

Kami dari PSM Cameron ingin menyeru kepada Kerajaan Negeri Pahang supaya:
  1. mengiktiraf petani-petani kecil yang sudah bertani lebih dari 10 tahun dengan memberikan LPS atau Hakmilik Kekal.
  2. berhenti dari merobohkan kebun-kebun dan struktur-struktur petani.
Kerajaan Negeri Pahang perlu lebih peka di dalam menangani isu-isu petani di Cameron Highlands.

Disediakan oleh:
Suresh Kumar
Perwakilan Negeri Pahang
Parti Sosialis Malaysia (PSM)
019-569 6964