LPKP Janji Untuk Tukar Operator Bas, The Regal Transport, Jika Tiada Perubahan Dalam 3 Bulan. Boleh Percaya?



6 Ogos 2010

Pada hari ini, saya telah dijemput menghadiri satu sessi dialog yang dianjurkan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Ramai orang lain juga telah turut dijemput: polis, JPJ, ADUN Tanah Rata, Ahli Parlimen Cameron, Pegawai Daerah Cameron, Setiausaha Majlis Daerah, Operator-operator bas, Persatuan Kereta Sewa, Kementerian Pelancongan dan juga Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) di bawah PSM.

Sejak beberapa hari lepas, saya telah mendengar berita bahawa ada pihak yang tidak senang hati MPR dijemput menghadiri perbincangan tersebut. MPR dijemput kerana sejak setahun lepas, MPR telah menulis 7 surat dan 1 memorandum beserta 1000 tandatangan penduduk Cameron meminta LPKP masuk campur menyelesaikan masalah bas berhenti-henti di Cameron.

Isu bas berhenti-henti yang telah dibawa oleh MPR selama ini merupakan masalah utama perbincangan hari ini. Ini boleh dilihat melalui kertas agenda yang diedarkan; masalah-masalah bas berhenti-henti yang telah disuarakan oleh MPR merupakan agenda utama mesyuarat hari ini. Walaupun pengerusi LPKP, Datuk Halimah (gambar di atas) sentiasa mengulang bahawa perjumpaan hari itu diadakan disebabkan hasil usaha gigih Dato SK Devamany, namun perkara sebenar adalah sebaliknya.

Beberapa isu kereta sewa telah diungkitkan di permulaan mesyuarat ini. Saya telah menyuarakan masalah-masalah bas berhenti-henti dan operator bas En.Chai telah dipanggil untuk memberi jawapan. En.Chai telah menyangkal semua aduan kami dengan alasan tidak munasabah. Datuk Halimah telah memberikan tempoh 3 bulan untuk membawa perubahan kepada bas berhenti-henti di Cameron. Jika tidak, operator bas akan ditukar. En.Chai mengangguk.

Benarkah janji Datuk Halimah dari LPKP boleh dipercayai? Saya berkata sedemikian kerana:
  1. Sepanjang 16 bulan MPR menulis dan menghantar memorandum kepada LPKP, tiada tindakan pernah diambil. Adakah LPKP boleh dipercayai akan mengambil tindakan jika operator bas tidak membawa perubahan dalam masa 3 bulan akan datang?
  2. LPKP juga pernah bertindak pro-aktif mempertahankan operator bas, The Regal Transport sebelum membuat sebarang siasatan. Baca artikel berikut: Tindakan Pro-Aktif... LPKP Di Pihak Siapa? Adakah LPKP benar-benar ikhlas?
  3. LPKP akan dibubarkan pada 31 Ogos 2010 dan digantikan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD). Dalam masa 3 bulan yang akan datang, Datuk Halimah mungkin lagi tidak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap operator bas, The Regal Transport.
Kami dari MPR akan tunggu dan lihat. Jika tiada perubahan dalam masa 3 bulan, kuasa rakyat dari Cameron akan pasti mengegarkan Putrajaya seperti yang telah dirancang sebelum ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron