Percubaan Untuk Menerima Memorandum di Tengah Jalan Oleh Pihak Menteri Besar Pahang



20 April 2010

Pada hari ini, sejumlah 40 ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) telah datang ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang terletak di Wisma Sri Pahang, Kuantan. Tujuan kami adalah untuk menyerahkan memorandum kepada MB Pahang, YB Dato' Sri Adnan Bin Haji Yaakob. Ketibaan kami pada pukul 10.30pagi telah diterima oleh Setiausaha Politik MB, Dato' Shamsuddin bin Haji Nawawi. MPR ialah satu gabungan di bawah Parti Sosialis Malaysia (PSM), Cawangan Cameron Highlands.

Kami telah dilayan di tengah jalan tanpa dibenarkan masuk ke dalam perkarangan Wisma Sri Pahang. Ini bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Dato' Shamsuddin sebelum itu. Beliau telah berjanji untuk membenarkan kami masuk berjumpa MB Pahang dan oleh sebab itu, kami telah menghantar satu senarai nama beserta nombor kad pengenalan ke Pejabat MB. Alasan yang diberikan oleh Dato' Shamsuddin ialah bahawa MB terpaksa membatalkan pertemuan kami di saat terakhir kerana menerima kunjungan Presiden sebuah universiti Jordan. Inilah dikatakan Kera Di Hutan Disusukan, Anak Di Rumah Mati Kelaparan. Kehadiran begitu banyak polis cawangan khas juga dapat diperhatikan.

Kami telah bertegas dengan pendirian kami mahu berjumpa MB dan perjumpaan itu mesti diadakan dengan tatacara yang betul, bukannya di tengah jalan. Walaupun Dato' Shamsuddin telah beberapa kali meminta memorandum, kami enggan menyerahkan memorandum di tengah jalanraya. Kami juga telah sebulat suara bersetuju untuk tunggu di situ selagi tiada tempat khas untuk perbincangan disediakan.

Dato' Shamsuddin tiba-tiba mendapat idea untuk menggunakan sebuah dewan di sebuah perpustakaan yang terletak berhampiran. Dewan dibuka dan kami dijemput masuk. Kami telah mengarahkan kesemua polis cawangan khas yang telah masuk ke dalam dewan bersama kami supaya keluar. Ini hanya satu perjumpaan di antara pegawai kerajaan dan rakyat. Tidak melibatkan isu keselamatan. Kami juga tidak membawa sebarang senjata.

Kesemua masalah telah diterangkan secara am dan juga satu persatu oleh setiap pengadu. Dato' Shamsuddin telah cuba berdolak-dalik, tetapi ahli-ahli MPR tegas dengan keputusan bahawa MB Pahang harus campur tangan dan menyelesaikan masalah mereka. Dato' Shamsuddin telah bersetuju untuk hadir sendiri ke Cameron Highlands pada 29 April 2010 untuk menerima dokumen sokongan kes-kes yang telah dikemukakan. Perbincangan itu diakhiri dengan penyerahan memorandum.

Di luar dewan pula, kami mendapat berita bahawa 3 ADUN dari Pakatan Rakyat bersedia menerima memorandum kami dan membawa isu ini ke perbincangan DUN. Mereka ialah ADUN Tras, YB.Choong Siew Onn; ADUN Kuala Semantan YB. Tuan Syed Hamid Bin Syed Mohamed dan ADUN Triang, YB. Leong Ngah Ngah. Kami telah menyerahkan memorandum kepada ketiga-tiga ADUN tersebut.

Dalam perbicangan selepas itu, ahli-ahli MPR telah sebulat suara bersetuju untuk memberikan masa 1 bulan kepada MB Pahang untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Lawatan Dato’ Siva Subramaniam, Pesuruhjaya SUHAKAM ke Kawasan-Kawasan Penduduk di Cameron Highlands Pada 6 & 7 April 2010



6 & 7 April 2010

Pada 6 & 7 April 2010, Dato Siva Subramaaniam telah mengadakan lawatan bersama beberapa pegawai SUHAKAM ke Cameron Highlands. Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat dengan lebih dekat kawasan-kawasan yang menghadapi maalah.

Lawatan ini diadakan hasil dari Penyerahan Memorandum dan Sessi Dialog yang telah diadakan oleh penduduk-penduduk Cameron yang bermasalah anjuran Majlis Perwakilan Rakyat (MPR), Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Lawatan telah dimulakan pada 6 April 2010 di kawasan Ringlet, Bertam Valley dan Lubok Tamang. Pada 7 April 2010, lawatan telah diadakan ke Brinchang, Sg Palas, Kuala Terla dan Blue Valley.

Di antara 15 kes yang telah dilawati termasuk:
a.) pekebun tidak memperolehi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk kebun sayur/meternak haiwan.
b.) penduduk tidak memperolehi LPS untuk rumah.
c.) peniaga tidak memperolehi LPS untuk gerai.
d.) OKU yang telah dijanjikan rumah tetapi tidak diberi sehingga kini.
e.) masalah ibu tunggal yang tidak diberi keutamaan.
f.) jalan yang digunakan oleh 35 keluarga selama 40 tahun ditutup.
g.) penyediaan infrastruktur yang tidak dibincang dengan rakyat.
h.) rakyat miskin yang tidak diberikan peluang untuk memiliki rumah kos rendah.

Selepas melihat kawasan-kawasan ini, Dato Siva telah menerangkan bahawa beliau telah mendapat tahu banyak perkara dengan lebih jelas. Beliau berjanji untuk mengambil tindakan selepas berbincang dengan pegawainya.

Suresh Kumar
PSM Cameron