Perbincangan Dengan Setiausaha (SU) Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) Berkenaan Pembinaan Pondok Bas Di Blue Valley



17 Mei 2010

Pada hari ini, saya bersama beberapa penduduk Blue Valley dan ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) telah menghadiri perbincangan dengan SU MDCH berkenaan permintaan oleh penduduk Blue Valley supaya 2 pondok bas dibina. Permintaan ini telah dibuat melalui kempen tandatangan yang telah dihantar kepada MDCH pada 24 Julai 2009. 200 tandatangan telah dikutip.

MDCH telah bersetuju dan telah berpendapat pembinaan pondok bas itu sesuai untuk kegunaan orang ramai. Namun MDCH telah menangguhkan pembinaan pondok bas ini ke 2010 akibat kekurangan dana,

Perjumpaan ini diadakan susulan surat ke-2 kepada SU MDCH meminta status pondok bas pada 29 April 2010.

Lawatan memilih tapak telah dilakukan oleh pegawai dari MDCH pada 14 Mei 2010. Di dalam lawatan tapak tersebut, kami telah diberitahu bahawa MDCH hanya mempunyai peruntukan untuk membina 1 pondok bas. Setelah mengadakan perbincangan, ahli-ahli MPR dari Blue Valley telah bersetuju untuk menerima pembinaan 1 pondok bas.

SU MDCH, En.Mazlan Bin Mohamed Isa, pada hari ini telah bersetuju untuk membina 1 pondok bas dengan peruntukkan RM19 000. Kami telah meminta SU supaya pondok bas tersebut dibina dengan sesuai supaya dapat menolong penduduk untuk berteduh walaupun pada masa hujan. Kami juga telah meminta SU mengadakan satu lagi perbincangan dengan kami selepas rekabentuk pondok bas tersebut dikenalpasti.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Penyerahan Memorandum Di PERKESO Kuantan, Pahang



19 Mei 2010

Pada hari ini, saya bersama kawan-kawan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), DAP dan PKR telah mengunjungi Pejabat PERKESO Pahang di Kuantan Centre Point untuk menyerahkan satu memorandum. Memorandum ini bertujuan memberikan cadangan bagaimana PERKESO boleh memberikan lebih perlindungan kepada pekerja di Malaysia. Penyerahan ini telah diadakan secara serentak di 6 buah negeri iaitu di Ibupejabat PERKESO KL, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor.

Memorandum telah diterima oleh Pengarah PERKESO Pahang, Encik Yusoff Ngah. Kami juga telah mengadakan satu perbincangan kecil mengenai cadangan-cadangan di dalam memo. Encik Yusoff Ngah telah berkata bahawa cadangan yang dikemukakan oleh kami sangat positif dan patut dilaksanakan. Beliau berjanji untuk memanjangkan memorandum ini kepada Ibu Pejabat di Kuala Lumpur.

En.Yusoff juga telah memberitahu kami bahawa 2 pejabat PERKESO baru akan dibuka di Kuala Lipis dan Bandar Muadzam Shah.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Sambutan Hari Pekerja di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 5 Bas Dihalang Polis.



1 Mei 2010

Pada hari ini, saya telah mengambil bahagian dalam sambutan Hari Pekerja di Dataran Merdeka, Kuala lumpur. Saya telah mengikut kumpulan Ipoh ke Kuala Lumpur melalui bas. 5 buah bas telah disewa oleh penduduk sekitar Ipoh dan Sg Siput untuk menyertai program hari ini.

Apabila kami sampai ke Plaza Tol Jalan Duta Tol, 2 kereta peronda polis telah menahan kami. Apabila ditanyakan tujuan penahan, pegawai polis telah berkata mereka sedang menunggu arahan daripada pegawai atasan. Kami telah cuba menjelaskan kepada pihak polis, namun mereka tidak ingin mendengar.

Oleh sebab itu, kami tidak peduli dengan penahanan tersebut dan telah meneruskan perjalanan kami ke Dataran Merdeka. Tiba-tiba kami ditahan lagi di jalan Seremban sebelum Exit Jalan Parlimen dengan 6 kereta peronda polis. Kereta-kereta peronda ini telah menghalang bas-bas kami. Salah satu kereta tersebut ialah kereta peronda Mitsubishi Evolution 10 yang telah dibeli oleh PDRM dengan harga RM159000 untuk menangkap kenderaan berkelajuan tinggi. Tetapi pada hari ini, kereta itu telah digunakan untuk menghalang bas-bas kami.

Sekali lagi kami telah cuba menjelaskan ini adalah hak pekerja untuk menyambut Hari Pekerja dan mengapa pihak polis harus menganggu. Nampaknya pihak polis sangat degil dan tidak mahu mendengar. Kami semua telah turun dari 5 bas dan berjalan kaki menuju ke Dataran Merdeka. Apabila kami tiba di hadapan Parlimen, kami telah membuka bahan-bahan protes seperti 'banner' dan 'head ban'. Slogan-slogan seperti Hidup Pekerja, Hidup Rakyat, Hentikan GST mula bergema di hadapan Parlimen.

Pihak polis kemudiannya telah membenarkan kami menaiki bas dan bertolak ke Dewan Chinese Assembly. Itu adalah tempat perkumpulan kami selepas berjalan dari Dataran Merdeka. Di situ, lebih kurang 500 orang rakan-rakan seperjuangan sedang menunggu. Beberapa orang pimpinan PSM telah berucap dan himpunan aman itu telah diakhiri dengan Deklarasi Hari Pekerja 2010.

Ini adalah niat jahat pihak polis untuk menahan kami dari menyambut Hari Pekerja. Pihak polis tidak mahu kami berkumpul dalam satu kumpulan yang besar di Dataran Merdeka. Walaupun pihak polis cuba menahan tetapi akhirnya kami berjaya meneruskan program kami. Ini adalah satu petunjuk kepada pihak polis dan Kerajaan BN supaya memperkecil-kecilkan kaum pekerja.

Seperti kata-kata Karl Marx:
Workers of the world unite; you have nothing to lose but your chains.

SELAMAT HARI PEKERJA . MANSUHKAN CUKAI GST!!!

Suresh Kumar
PSM Cameron

Perjumpaan Dengan Dato Shamsuddin Nawawi, Setiausaha Politik MB Pahang di Pejabat JKR Tanah Rata



29 April 2010


Pada hari ini, satu perjumpaan dengan Dato Shamsuddin Nawawi, Setiausaha Politik MB Pahang telah diadakan di Cameron Highlands. Perjumpaan ini diadakan berikutan janji yang diberikan di Kuantan pada 20 April 2010 oleh Dato Shamsuddin untuk bertemu dengan wakil-wakil Majlis Perwakilan Rakyat (MPR).

Pada hari ini, dokumen-dokumen sokongan telah diberikan kepada Dato Shamsuddin berkenaan 15 masalah yang telah diadu melalui memorandum kepada MB Pahang pada 20 April. Pejabat Daerah & Tanah Cameron Highlands enggan menyelesaikan masalah-masalah ini.

Masalah-masalah tersebut ialah:
  1. 5 pekebun kecil yang tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) walaupun telah bertani lebih 20 ke 40 tahun.
  2. 1 pengusaha gerai makanan yang tidak diberikan LPS untuk mendirikan gerai tetapi kawasan itu kemudian diberikan kepada orang yang lebih kaya.
  3. 1 pemilik rumah yang kawasan rumahnya telah dipajak kepada orang lain.
  4. 1 OKU yang telah dijanjikan bantuan rumah sejak setahun dahulu tetapi belim dapat.
  5. 1 ibu tunggal yang gerai makanannya telah dirobohkan oleh Pejabat Daerah Cameron walaupun diberi jaminan oleh YB Dato SK Devamany sebelum pilihanraya 2008.
  6. 1 ibu tunggal yang tidak diberikan peluang memiliki rumah kos rendah di Cameron Highlands.
  7. Penutupan jalan yang digunakan oleh 35 keluarga.
  8. 2 ibu tunggal yang telah memohon LPS untuk bertani tetapi tidak berjaya.
  9. 1 pengusaha ternakan kambing yang tidak diberikan LPS.
  10. 1 warga tua yang pernah memohon LPS bertani dan rumah kediaman sejak 1969 tetapi tidak berjaya.
Dato' Shamsuddin telah berkata bahawa beliau akan cuba mencari penyelesaian untuk kes-kes ini dan membawa perkara ini kepada perhatian MB. Beliau telah berjanji untuk menyelesaikan kes-kes ini. Tetapi Dato Shamsuddin tidak mahu memberi satu tempoh masa untuk MB Pahang menyelesaikan kes-kes ini.

Banyak anggota polis cawangan khas juga dilihat di sekitar kawasan perjumpaan ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron