SERANGAN TERHADAP HOSPITAL KERAJAAN




Seperti yang telah dijanjikan di dalam artikel 2 pengedaran risalah: "Serangan Terhadap Hospital Kerajaan" dan "Perbincangan Pendidikan di Ladang Boh" berikut ialah risalah "SERANGAN TERHADAP HOSPITAL KERAJAAN".

Di harap anda dapat meluangkan sedikit masa untuk membaca dan memikirkan isi kandungan risalah tersebut. Jika boleh, bincangkan kandungan risalah ini sesama sahabat dan saudara-mara anda.

Selamat membaca.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Sesi Perbincangan Dengan Ibubapa dan Pelajar Di Ladang Boh

1 Mac 2009

Pada hari ini, satu perbincangan telah diadakan di Ladang Boh (Boh Division) untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar di kawasan ini. Perbincangan ini telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron. Beberapa hari sebelumnya, kumpulan kami telah mengedarkan risalah di ladang ini untuk mengumumkan program pada hari ini. Sila rujuk: 2 Pengedaran Risalah: Serangan Ke Atas Hospital Kerajaan Dan Perbincangan Pendidikan Ladang Boh. Sdri Veronica dari Seremban juga telah turut hadir untuk memberi sokongan.

Program dimulakan pada pukul 10.45 pagi. Kehadiran sangat menggalakkan. Lebih kurang 30 ibubapa dan 40 orang pelajar telah hadir. Turut hadir ialah 2 orang guru. Kesemua yang hadir terdiri dari kaum Melayu, India dan Orang Asli (OA). Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh saya dan Sdri Veronica. Kemudian kumpulan yang hadir telah dipecahkan kepada 3 iaitu:
  1. ibubapa dan guru
  2. pelajar sekolah menengah
  3. pelajar sekolah rendah
Saya dan Sdri Veronica telah mengendalikan kumpulan ibubapa dan guru. Manakala Sdr Ganesh telah mengambil tanggungjawab mengendalikan kumpulan pelajar sekolah menengah dan Sdr Vijendran telah menguruskan kumpulan pelajar sekolah rendah. Berikut ialah beberapa keputusan yang telah diperolehi hasil dari perbincangan dengan ketiga-tiga kumpulan ini.
  1. Ibubapa dari kalangan OA menghadapi masalah mengajar anak mereka kerana kebanyakkan dari mereka buta huruf dan tidak faham Bahasa Tamil (BT).
  2. Kebanyakkan ibubapa tidak berpelajaran dan ini menjadikan mereka tidak berupaya untuk membimbing anak mereka di rumah (tambahan pula dengan penukaran ke Bahasa Inggeris (BI) untuk matapelajaran Matematik dan Sains).
  3. Sejenis penyakit kulit sedang merebak di kalangan pelajar sekolah rendah di Ladang Boh. Oleh sebab penyakit ini mudah merebak, pergaulan di antara guru, murid dan masyarakat sekeliling menjadi terhad.
  4. Pelajar OA dari Kg Panggan terpaksa datang ke sekolah dengan 3 mod pengangkutan: traktor, lori dan bas. Masalah mereka ialah traktor yang disediakan tidak mempunyai bumbung dan ini menyebabkan pelajar OA basah apabila hujan.
  5. Pelajar yang belajar di luar Ladang Boh disediakan dengan pengangkutan bas ke sekolah (pagi) dan balik ke rumah (2 petang). Bagi pelajar yang mempunyai kelas petang mereka terpaksa mecari jalan sendiri seperti menumpang atau berjalan kaki.
  6. Kedatangan ke sekolah untuk pelajar OA sangat rendah; lebih-lebih lagi pada hari hujan. Pernah sekali kedatangan hanya 19/72 orang murid sahaja.
  7. Dari satu soal selidik kasar yang dijalankan pada hari ini (untuk pelajar sekolah rendah), 50% tidak faham Bahasa Melayu (BM), 90% tidak faham BI, 80% tidak faham Sains, 95% tidak faham BT dan 95% tidak faham Matematik.
  8. Bagi pelajar sekolah menengah pula, BI dan Matematik dikatakan sebagai subjek yang paling tidak difahami. Karangan BM pula susah hendak ditulis. Sejarah dan Geografi boleh difahami sedikit.
Selepas sesi perbincangan dengan 3 kumpulan ini, rehat telah diberikan kepada semua. Program diteruskan dengan sesi mecari jalan penyelesaian untuk masalah-masalah yang telah diutarakan.
Untuk sesi ini, ibubapa dan guru telah digabungkan dengan pelajar sekolah menengah. Pada sesi ini juga Sdri Veronica telah meminta hadirin untuk bercerita mengenai impian mereka mengenai masa hadapan anak mereka.

Hasil daripada perbincangan, 3 keputusan telah diambil untuk menyelesaikan beberapa masalah-masalah pelajar Ladang Boh. Keputusan tersebut ialah:
  1. mewujudkan satu pusat pembelajaran di Ladang Boh supaya pelajar boleh menghabiskan masa mereka selepas sekolah di pusat ini. Pusat ini harus dilengkapi dengan meja dan kerusi, buku dan yang paling penting ialah sukarelawan yang boleh mengambil tanggungjawab secara bergilir-gilir untuk membimbing pelajar. Saya tidak pasti sama ada kami boleh mendapat sukarelawan untuk menjalankan pusat ini. Tetapi saya berpendapat bahawa sesuatu kerja baik perlu dimulakan walaupun tidak popular.
  2. berbincang dengan pengurusan Ladang Boh untuk menyelesaikan masalah pelajar OA dari Kg Panggan yang basah ketika hujan.
  3. berbincang dengan pengurusan Ladang Boh untuk menyelesaikan masalah penyakit kulit di kalangan pelajar OA.
Program ini diakhiri pada pukul 1.00 petang. Terdapat 2 pengalaman menarik pada hari ini yang ingin saya berkongsi dengan anda:
  1. OA akan berbincang jika mereka diberi peluang. Saya terharu apabila seorang bapa menyatakan bahawa OA telah diketepikan di Malaysia. Impian beliau adalah untuk melihat anak beliau turut sama dilayan sebagai seorang rakyat Malaysia di masa hadapan. Saya tertanya pada diri sendiri apakah punca OA telah diketepikan? Adakah kerana kedaifan mereka? Mungkin tidak.
  2. Selepas program tamat, seorang ibu telah memberi komen bahawa OA akan datang beramai-ramai ke sesuatu program jika makanan disediakan. Tiba-tiba seorang ibu lain mencelah dan memberitahu bahawa OA makan kerana mereka lapar. Jika makanan cukup, masalah ini tidak akan timbul. Saya tersentak. Negara kita cukup kaya. Makanan bukan satu masalah. Masalahnya ialah cara makanan ini diedarkan kepada rakyat. OA mendapat bahagian yang terlalu kecil.
Suresh Kumar
PSM Cameron