PSM: Hentikan segera insinerator Blue Valley (M'kini)

PSM: Hentikan segera insinerator Blue Valley
Zulaikha Zulkifli
12:09PM Apr 24, 2012
PSM menuntut kerajaan menghentikan segera operasi pembinaan insinerator sampah bernilai RM38 juta di Blue Valley, Cameron Highlands kerana langkah itu dibimbangi akan menjejas alam sekitar.

Setiausaha parti itu, Suresh Kumar berkata insinerator itu merupakan satu pembaziran selain mampu memberi kesan dioksin kepada kesihatan memandangkan sampah yang dihasilkan itu boleh dikitar semula.

Jelasnya, kebanyakan sampah yang dihasilkan di kawasan Cameron Highlands merupakan sisa pertanian yang boleh dikitar semula.

"Apa yang kami minta ialah membuat sistem 'zero waste' agar sampah boleh dikitar semula. Di Cameron, 60 peratus bahan buangan ialah bahan organik.

"Kenapa perlu membelanjakan sehingga RM38 juta untuk bina insinerator sedangkan boleh buat sistem 'zero waste' yang menggabungkan kaedah kitar semula, membaiki, menggunakan semula dan 'composting'," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum.

Suresh turut menggesa agar kementerian terlibat dapat menggunakan duit tersebut bagi  membuat sesuatu yang boleh mendatangkan faedah kepada penduduk.

Perkara itu dikemukakan dalam satu memorandum yang dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung di Putrajaya pagi ini.

Memorandum berkenaan diterima oleh pegawai komunikasi korporat kementerian tersebut, Jessylina Mat Lazim.

Suresh berkata, pegawai berkenaan memberi jaminan bahawa kementerian itu akan hadir di Blue Valley bagi mengadakan sesi dialog bersama penduduk terlibat.

"Dua tahun lalu, kita ada tulis surat pada menteri yang sama. Tapi tak dapat jawapan. Pada majlis daerah dan pejabat tanah Cameron Highland pun kami sudah pergi. Tapi mereka tidak mahu berbincang.

"Sebab itu kita datang sini, beri terus memorandum pada kementerian," katanya lagi.

PERJUMPAAN DENGAN MB PAHANG PADA 9 APRIL 2012



PERJUMPAAN DENGAN MB PAHANG PADA 9 APRIL 2012

PENDUDUK CAMERON BERHARAP MB AKAN MENUNAIKAN JANJINYA

Pada hari ini, PSM Cameron telah tiba di Kuantan bersama rakyat Cameron yang bermasalah untuk berjumpa dengan MB pada pukul 12pm di Wisma Sri Pahang. Namun di minit terakhir, perjumpaan ini telah ditukar tempat ke Annex Rest House. Perjumpaan itu telah bermula pada pukul 12.30pm dengan makan tengahari bersama MB Pahang.

Selepas makan tengahari, MB telah mula berbincang setiap satu kes sehingga kesemua 10 kes tersebut selesai. Setiap rakyat yang hadir telah diberi peluang untuk menyuarakan masalahnya. Perjumpaan kali ini sungguh positif. Mungkin kuasa rakyat yang telah berjuang sejak 2 tahun lepas untuk berjumpa MB Pahang telah menampakkan hasil.


MB Pahang juga telah bersikap terbuka dan telus melalui sikap beliau yang berikut:

  1. Mengadakan perbincangan di tempat terbuka dan semua rakyat dibenarkan ambil bahagian.
  2. Membenarkan wartawan berada sepanjang perbincangan.
  3. Menelefon Pengarah PTG Pahang & Pegawai Daerah Cameron dalam “mode speaker” supaya segala perbincangan dilakukan secara ‘transparent’.

Di akhir perjumpaan tersebut, MB Pahang telah memberikan 2 janji seperti berikut:
  1. Berbincang kesemua 10 kes di dalam mesyuarat Exco Pahang pada 18/4/2012.
  2. Melawat kesemua 10 kes semasa lawatan kerja MB di Cameron Highlands pada minggu ke-4 April 2012.
Kami berharap MB Pahang akan mengotakan janjinya. Kami juga berharap MB akan menyelesaikan kesemua 10 kes sebelum PRU13 untuk membuktikan bahawa MB Pahang bukan bertindak sekarang keranan pilihanraya telah hampir.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada wartawan, media, organisasi dan orang-perseorangan yang telah membantu kami menjayakan perjumpaan ini.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh:
Suresh Kumar
Setiausaha
Parti Sosialis Malaysia
Cawangan Cameron Highlands
019-569 6964





KEMPEN DARI CAMERON KE PUTRAJAYA (#OCCUPY PUTRAJAYA)

PADA 9 APRIL 2012 DI PUTRAJAYA

DIBATALKAN KERANA

MB PAHANG MAHU BERJUMPA RAKYAT CAMERON

UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH-MASALAH

Campurtangan dari MB Pahang dalam minit terakhir untuk berjumpa dengan rakyat Cameron yang bermasalah telah menyebabkan mereka yang sepatutnya berkhemah di hadapan Pejabat PM, Putrajaya pada 9/4/2012 (Isnin) dibatalkan.

Selepas bermesyuarat malam semalam, rakyat Cameron yang terlibat telah bersetuju untuk membatalkan Kempen Dari Cameron ke Putrajaya (#OCCUPY PUTRAJAYA) dan sebaliknya hadir di Wisma Sri Pahang untuk berjumpa MB Pahang. Perjumpaan ini akan dibuat pada 9/4/2012, 12pm untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat Cameron yang telah berlarutan sekian lama.

Ini adalah permintaan rakyat Cameron dan merupakan kejayaan kecil kerana usaha untuk berjumpa MB Pahang yang telah dibuat selama 2 tahun lepas tidak pernah dilayan. Kini kuasa rakyat yang ingin berkhemah di Putrajaya telah membawa MB Pahang untuk berbincang dengan rakyat yang bermasalah.

Rakyat Cameron yang terlibat ingin mengucapkan terima kasih kepada semua organisasi, badan-badan NGO, parti politik, wartawan dan media yang telah memberi sokongan selama ini untuk menjayakan Kempen Dari Cameron ke Putrajaya.

Kami berharap anda akan terus menyokong usaha-usaha rakyat ini untuk mendapatkan penyelesaian masalah mereka. Kami akan mengadakan satu sidang akhbar selepas perjumpaan itu. Kehadiran wartawan dan media ke Wisma Sri Pahang pada 9/4/2012, 12pm akan amat dihargai.


Disediakan oleh:

Suresh Kumar

Setiausaha

PSM Cawangan Cameron Highlands

019-569 6964

Rumah Ezumalai Seperti Di Hujung Tanduk

Tajuk di atas adalah paling tepat untuk menerangkan kedudukkan rumah Ezumalai Saminathan yang terletak di Ringlet, Cameron Highlands. Beginilah keadaan yang menyayat hati di Cameron bagi sesetengah rakyat di Cameron. Ezumalai yang lahir dan menduduki rumah tersebut sejak 42 tahun lalu, kini dipaksa mengosongkan rumah tersebut untuk memberi laluan kepada pemilik baru kawasan tersebut iaitu seorang kroni BN.

Pemilik baru ini diberikan keluasan 3 kali ganda lebih besar daripada tanah yang pernah dipohon oleh Ezumalai. Merujuk kepada surat hakmilik tanah, Ezumalai juga telah mendapat tahu bahawa Ezumalai dan ayahnya telah memohon kawasan tersebut terlebih dahulu berbanding kroni BN tersebut.

Saya mula mengenali Ezumalai dan isterinya Maria, sejak tahun 2004. Saya masih ingat tahun tersebut kerana kes mereka merupakan kes yang pertama di Pusat Khidmat PSM selepas ditubuhkan pada 2004. 8 tahun sudah berlalu dan Ezumalai, Maria dan 2 orang anaknya masih menetap di rumah yang sama walaupun telah diugut dan cuba diberi pampasan yang tidak sepadan untuk berpindah. Nilai pampasan yang dimulakan dari RM3,000 kini telah dinaikkan sehingga RM13,000. Tetapi wang ini tidak mencukupi untuk membeli sebuah rumah.

Kini, kroni tersebut telah menggunakan taktik yang baru untuk mengeluarkan mereka dengan memotong cerun yang tajam di sekeliling rumah mereka. Apabila melihat rumah mereka selepas kerja-kerja pemotongan cerun, rumah di atas hujung tanduk merupakan keadaan yang dapat saya bayangkan. Pemotongan cerun yang curam ini juga telah menyebabkan lantai rumah Ezumalai mula retak.

Ezumalai dan sekeluarganya hidup dalam kebimbangan pada masa sekarang berikutan pemotongan cerun yang tajam di sekeliling rumahnya. Beliau takut akan berlakunya tanah runtuh di tepi rumah beliau. Cameron memang terkenal dengan insiden tanah runtuh. Satu contoh ialah insiden tanah runtuh yang mengorbankan 6 orang di Perkampungan Orang Asal Sg Ruil pada 8 Ogos 2011.

Ketidakadilan ini telah diadu oleh Ezumalai di Pejabat Daerah & Tanah Cameron, MB Pahang, Biro Pegaduan Awam, Ahli Parlimen Cameron, ADUN Tanah Rata, Biro Pencegahan Rasuah dan yang terakhir di Pejabat Perdana Menteri pada Januari 2011. Namun tiada penyelesaian untuk masalah beliau.

Persoalan Ezumalai ialah bagaimanakah kroni pemerintah boleh mendapat tanah yang lebih besar yang dipohon selepas beliau? Ezumalai telah dinafikan haknya untuk memiliki rumah akibat Kerajaan BN yang menyebelahi kroni dan rakyat diketepikan. Ezumalai bertekad untuk berjuang habis-habisan untuk hak rumahnya.

Suresh Kumar
PSM Cameron
019-569 6964