Penduduk Green Cow akan terus berjuang menjamin hak perumahan selamat



23 Mei 2012
Rabu
Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands


Pada hari ini, 7 keluarga bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menaikkan riben penanda sempadan perjuangan untuk hak perumahan yang selamat. Ketujuh-tujuh keluarga ini sedang menetap di kaki bukit di Green Cow. Kawasan ini sedang dimajukan oleh 2 orang pemaju tanpa menghiraukan nyawa 7 keluarga. Terdapat lebih kurang 35 orang ahli dari 7 keluarga ini.

Pemaju LTT Development Sdn Bhd ingin membina 6 blok kedai pejabat 4 tingkat berjumlah 65 unit & 256 unit tempat letak kereta. Manakala pemaju Ng Yeet Ng pula ingin membina sebuah taman 'blackberry'. Kedua-dua pemaju ini sedang cuba meratakan bukit di Green Cow yang akan mewujudkan risiko tanah/batu runtuh untuk rumah-rumah ketujuh-tujuh keluarga ini. Cameron Highlands memang mempunyai risiko tanah runtuh dengan kejadian terakhir pada 8/8/2011 di Sg Ruil, Tanah Rata yang mengorbankan 7 nyawa.

Lebih 30 surat telah dihantar sejak Oktober 2011 kepada Menteri Besar, Pejabat Daerah & Tanah Cameron, Majlis Daerah Cameron Highland (MDCH), JKR, Jabatan Alam Sekitar dan kedua-dua pemaju. Namun tiada langkah penyelesaian yang diambil oleh mana-mana pihak. Malah, di dalam mesyuarat yang diadakan pada 11/11/11, pemaju bersama MDCH dan pegawai Daerah, Dato' Syed Mutalib, enggan menunjukkan pelan keselamatan kepada jurutera perunding yang mewakili penduduk. Apa yang diminta oleh penduduk ialah pemaju harus menjamin keselamatan rumah mereka atau memberi mereka pampasan untuk berpindah.

Pada 13/10/2011, ketika penduduk menahan sebuah jentolak pemaju daripada meneruskan kerja, 3 orang telah ditahan iaitu; Suresh Kumar (wakil PSM CH), S.Nagarajan (penduduk) dan S.Thanabalan (penduduk). Kini ketiga-tiga mereka sedang dituduh di Mahkahmah Majistret CH di bawah seksyen KK341 dan KK506. Polis yang sepatutnya menjaga nyawa dan hartabenda penduduk, kini bersekongkol dengan pemaju dan menahan penduduk.

Beberapa hari lepas, pemaju LTT Development telah menjalankan kerja-kerja tanah yang sangat berhampiran dengan rumah penduduk (jaraknya lebih kurang 15m). Rumah-rumah penduduk bergetar akibat kerja-kerja tanah ini. Kami juga percaya pemaju ingin memotong sebuah jalan tidak berturap yang terletak di situ dan seterusnya memutuskan hubungan di antara penduduk dan kebun mereka.

Laporan polis juga telah dibuat pada hari ini memberitahu polis Cameron sekali lagi untuk hentikan pemaju dari terus mara. Jika polis tidak bertindak, penduduk sekali lagi akan turun padang hentikan pemaju.