Selamat berjumpa semula...

Salam perjuangan.
Selamat berjumpa semula dengan dan saudara-saudari. Saya tidak dapat ‘update’ blog ini untuk 2 bulan yang lepas akibat beban kerja yang tinggi. Maaf untuk kelewatan tersebut. Sepanjang masa di mana saya tidak 'update' blog ini, banyak perkara telah berlaku di sekitar rakyat Cameron Highlands.

Majlis Perwakilan Rakyat (MPR). Sepanjang dua bulan lepas, MPR Cameron telah mengadakan beberapa mesyuarat untuk membincangkan isu-isu tanah, rumah, sistem bas awam dan pemasangan lampu awam di Blue Valley. Berkenaan dengan isu tanah dan rumah, ahli-ahli MPR telah mengunjungi Pejabat Tanah sekali lagi pada 4 Mei 2009. Malangnya Pegawai Daerah, Dato Hj Mohamad Noor tiada di pejabat dan kami tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan mana-mana pegawai lain. Kunjungan kali ini dibuat selepas menerima surat dari PD yang menolak perjumpaan seterusnya dengan ahli-ahli MPR. Satu lagi surat juga telah diterima pada 13 Mei 2009 yang bermaksud sama. Berikut ialah kedua-dua surat tersebut. Saudara/i boleh membaca sendiri sebab yang diberikan oleh Pegawai Daerah.


Kami dari MPR ingin berjumpa dengan PD untuk menyelesaikan masalah-masalah berikut:
  1. tanah perumahan/pertanian yang sudah diduduki lama tetapi tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Tanah ini sudah diduduki sebelum tahun 2001, iaitu sebelum Polisi Kerajaan Pahang yang membekukan pembukaan tanah-tanah baru
  2. tanah perumahan/pertanian yang diambil untuk projek kerajaan tetapi tidak diberi tanah lain.
  3. lesen LPS untuk tanah pertanian/perumahan yang dimohon oleh orang yang sedang mendudukinya tetapi diberikan kepada orang lain.
  4. rakyat Cameron yang berpendapatan rendah diketepikan apabila diberi rumah kos rendah.
Kesemua masalah di atas adalah berkaitan dengan hak manusia untuk hidup, mempunyai rumah dan mencari nafkah. Malangnya, jika dilihat pada jawapan yang diberikan oleh Pegawai Daerah, ia mencabul hak seseorang untuk membina dan memiliki rumah, bertani dan mendapatkan peluang di dalam skim perumahan kos rendah. Senarai di bawah adalah sebab-sebab penolakan yang diberikan oleh Pejabat Tanah Cameron.


Sebab penolakan dan bilangan kes
Ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri Pahang - 12 kes
Gerai sudah penuh - 1 kes
Permohonan di atas lereng bukit, rizab sungai/jalan - 6 kes
Tiada projek perumahan kos rendah - 2 kes

Kebanyakan kes ditolak dengan memberikan alasan seolah-olah Pihak Berkuasa Negeri Pahang yang menolak dan bukannya pihak berkuasa Cameron. Pejabat Tanah Cameron selalu memberikan alasan bahawa tanah pertanian baru tidak dibenarkan dibuka selepas tahun 2001. Tetapi kami mempunyai 2 persoalan yang selalu dielak oleh Dato Hj Mohamad Noor iaitu:
  1. lesen LPS yang dimohon adalah untuk tanah pertanian yang sudah diusahakan sejak tahun 1970-an. Bukan selepas tahun 2001.
  2. bolehkah Pegawai Daerah membuktikan bahawa tiada tanah pertanian dibuka sejak tahun 2001? Empangan di Ringlet menjadi begitu cetek akibat mendapan tanah dari kawasan yang lebih tinggi. Bukankah tanah ini datangnya dari pembukaan tanah yang baru? Pembukaan tanah-tanah pertanian yang tidak terkawal ini juga menyebabkan kemusnahan alam sekitar Cameron Highlands.
Alasan gerai sudah penuh juga tidak dapat diterima kerana proses pemberian permit dan lesen gerai tidak telus. Bolehkah Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan Dato Hj Mohamad Noor menerbitkan secara awam nama-nama pemilik permit dan lesen gerai di Cameron Highlands? Gerai yang dipohon oleh oleh ahli MPR adalah seorang ibu tunggal. Ibu tunggal patut diberi keutamaan untuk mewujudkan peluang pendapatan.

Manakala sebab bahawa permohonan terletak di atas lereng bukit dan rizab sungai/jalan; ada yang betul dan ada yang diputar belit Pejabat Daerah Cameron. Ada rumah yang sudah lama berada di sesuatu tempah tiba-tiba menjadi “haram” akibat pembinaan projek kerajaan/swasta. Contohnya ialah sebuah rumah di Lubok Tamang, Ringlet. Mereka sudah menghuni rumah tersebut lebih dari 20 tahun. Rumah tersebut menjadi “haram” akibat pembinaan sekolah di kawasan itu. Bukankah tanggungjawab kerajaan untuk mewujudkan perumahan selesa untuk setiap rakyat. Rumah yang terlibat di dalam projek kerajaan harus dipindah ke lokasi lain oleh kerajaan itu sendiri.

Manakala permohonan untuk rumah kos rendah, ada yang sudah menunggu lebih dari 6 tahun. Tetapi kita dapat lihat mereka yang kaya dapat membeli rumah di perumahan kos rendah yang kemudiannya disewa kepada orang lain. Ada juga rumah yang dijadikan “rumah percutian” yang disewa kepada pelancong.

Pada pendapat saya, Pejabat Tanah Cameron dan Dato Hj Mohamad Noor dijadikan “tools” oleh pihak-pihak kaya untuk menambahkan lagi kekayaan mereka. Di dalam proses ini, rakyat diabaikan (terutamanya rakyat miskin), alam sekitar dimusnahkan, struktur dibina tanpa perancangan dan pandangan rakyat diketepikan. Ini bukan sahaja masalah di Cameron Highlands, tetapi juga di seluruh negara. Ia begitu ketara di Cameron. Saya percaya bahawa penukaran Pegawai Daerah tidak akan menyelesaikan masalah ini. Rombakan sistem pengurusan Daerah Cameron harus dibuat. Pegawai-pegawai utama kerajaan di Cameron seperti Dato Hj Mohamad Noor harus boleh disoal dan dilucutkan jawatan oleh rakyat jika mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Barulah akan wujudnya pemerintahan dari rakyat untuk rakyat.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Upacara Mengenang Rakyat Terkorban Di Dalam Peperangan Sri Lanka



Saya telah dijemput untuk mengambil bahagian di dalam satu upacara memperingati warga-warga Tamil yang terkorban di dalam peperangan saudara di Sri Lanka baru-baru ini. Peperangan tersebut telah dijalankan di atas nama menentang penganas walaupun ia lebih kepada kerakusan Presiden Mahinda Rajapakse untuk menang terhadap Liberation Tigers of Tamil Ealam (LTTE).

Upacara ini juga telah dihadiri lebih kurang 80 orang. Di antaranya ialah Prof P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri Penang) dan Thirumavalavan (Pengerusi Tamil Neri Malaysia).

Saya telah diminta memberikan satu ucapan ringkas. Saya telah berucap mengenai kesan peperangan ini terhadap rakyat Sri Lanka, mengapakah negara luar begitu ingin menolong kerajaan Sri Lanka menentang LTTE dan apakah sebab kerajaan Malaysia tidak mengecam peperangan ini.

Upacara ini dimulakan dengan “candle light vigil” dan diakhiri dengan penaburan bunga untuk rakyat yang telah mati di dalam peperangan ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Aduan Polis Terhadap Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor

Satu aduan polis telah dibuat ke atas Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor pada 4 Mei 2009. Aduan ini dibuat berikut kegagalan beliau menjalankan tugasnya sebagai Pegawai Daerah. Aduan telah dibuat secara kolektif oleh ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron.

Di dalam aduan tersebut, ahli-ahli MPR telah mengadu akan kegagalan Dato Hj Mohamad Noor berjumpa dengan penduduk dan seterusnya menyelesaikan masalah rumah dan tanah di Cameron Highlands. Mereka juga telah menyatakan bahawa selepas menghantar 6 surat untuk meminta temujanji mengadakan perjumpaan, Dato Hj Mohamad Noor hanya pernah mengadakan 1 perjumpaan.

Perjumpaan pada 7 Januari 2009, diadakan hanya selepas 60 orang ahli MPR turun ke Pejabat Daerah dan Tanah Cameron. Pegawai Daerah sungguh terkejut dan tiada jalan lain melainkan bertemu dengan rakyat pada hari itu. Itu pun dibantu dengan kehadiran begitu banyak anggota polis.

Di dalam laporan polis itu juga, ahli-ahli MPR telah mengkritik kehadiran Pegawai Polis di Pejabat Tanah Cameron pada 4 Mei 2009. Ahli-ahli MPR hanya mahu berjumpa dengan Pegawai Kerajaan untuk membincangkan masalah rakyat. Apakah rasional kehadiran pihak polis di situ? Adakah mereka ingin menakutkan ahli-ahli MPR supaya tidak hadir sekali lagi ke Pejabat Tanah dan Daerah Cameron?

Dato Hj Mohamad Noor juga telah mungkir janji apabila tidak bertemu rakyat. Beliau telah berjanji untuk bertemu rakyat pada perjumpaan 7 Jan 2009. Tetapi beliau tidak menepati janji yang diberikan.

Perjuangan rakyat Cameron akan diteruskan!

Suresh Kumar
PSM Cameron