16 Jun 2010
Pada hari ini, satu sidang media telah diadakan berkenaan Kempen Anti-Insinerator. Sidang media ini telah diadakan di hadapan tapak pembinaan insinerator di Blue Valley. Sidang media ini telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron Highlands, Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Kempen ini telah dimulakan oleh MPR selepas mendapati ada beberapa sebab yang tidak munasabah insinerator perlu dibina di Cameron Highlands.
- Insinerator tidak diperlukan di Cameron Highlands kerana kandungan bahan organik yang tinggi dalam sisa pepejal di Cameron (23-50% jisim). Ini diakui oleh laporan DEIA (Detailed Environment Impact Assessment) yang dibuat sebelum projek ini dimulakan. Sisa pepejal organik ini boleh diuraikan dengan kaedah 'composting'.
- Baki sisa pepejal yang boleh dikitar semula boleh dikumpul dan dihantar ke pusat pengitaran semula.
- Rakyat Cameron tidak pernah dilibatkan sama dalam membuat keputusan untuk pembinaan insinerator.
- KPKT tidak pernah mempertimbangkan keadaah pelupusan sampah “zero waste” sebelum memilih untuk membina insinerator. Negara-negara yang lebih miskin dari Malaysia seperti Filipina dan India, sedang mencuba/telah melaksanakan konsep “zero waste” dengan jayanya. Kita boleh belajar dari kaedah mereka.
- Apakah polisi kerajaan BN terhadap alam sekitar? Pada satu waktu, kerajaan BN beria-ria mempromosikan Projek 3R (recycle, reuse & reduce). Konsep yang bagus ini hanya sekadar cakap kosong kerajaan kerana apa yang dibuat ialah bertentangan. Wang sebanyak RM38 juta dibelanjakan untuk membina insinerator (Parlimen 16Okt208). Wang itu boleh dibelanjakan untuk memulakan inisiatif “zero waste” di Cameron Highlands.
- Jumlah penduduk di Blue Valley dikatakan hanya 120 orang dari 30 buah keluarga dalam laporan DEIA. Ini adalah salah kerana di Blue Valley terdapat lebih kurang 500 orang dari 100 buah keluarga.
- Kerajaan pernah membina insinerator di 4 tempat sebelum ini (Langkawi, Pangkor, Tioman & Labuan) tetapi telah diabaikan kerana kos operasi yang tinggi (Parlimen 16Okt208). Insinerator yang sedang dibina ini juga tidak tahu bagaimana akan beroperasi kelak. Adakah ia akan:
- berada di bawah penjagaan kerajaan dengan perbelanjaan yang tinggi? Jika ya, kos mengendalikan insinerator akan memakan sebahagian besar pendapatan PBT (pihak berkuasa tempatan).
- adakah ia akan diletakkan di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal? Jika ya, adakah ini bermaksud rakyat Cameron akan menanggung kos operasi insinerator?
Selepas memegang banner dan placard untuk sejam, satu sessi perbincangan telah diadakan untuk penduduk-penduduk tempatan yang hadir. Suresh dan Mageswari telah berucap menerangkan bahawa insinerator tidak diperlukan dan kesan-kesan buruk untuk masyarakat setempat.
Selepas itu, untuk sidang media, 6 orang telah ditemuramah iaitu Rajamma A/P Marappan (53 thn- pekebun), Velusamy A/L Rangasamy (55 thn - pekebun), Sugumaran A/L Periasamy (53 thn - pekebun), Rengasamy A/L Karuppanan (56 tahn - pekebun), Mageswari (wakil CAP) dan saya sendiri.
Sidang media yang diadakan pada hari ini adalah permulaan kempen ini. Saya telah menerangkan perkara-perkara lain yang telah dirancang untuk dibuat dalam kempen ialah:
- pengedaran risalah dalam 3 bahasa; B.Malaysia, B.Mandrin, B.Tamil
- ceramah kelompok di seluruh Camerom
- kempen tandatangan
- penyerahan memorandum di Kementeria Perumahan & Kerajaan Tempatan di Putrajaya
Suresh Kumar
Parti Sosialis Malaysia (PSM)