TARIKH: 28 APRIL 2011
TEMPAT: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA, KOMPLEKS E, PUTRAJAYA
MASA: 11 PAGI
Pada hari ini, kami telah menghantar memorandum kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Dato' Sri Liow Tiong Lai berkenaan doktor-doktor di dalam JD dan JDR yang tidak bersikap profesional ketika menilai pemohon-pemohon Faedah PERKESO.
Memorandum kami telah diterima oleh Leong Kim Soon, Setiausaha Politik Kepada Menteri Kesihatan. Kami telah dijemput untuk berbincang di sebuah bilik, di mana saya dan Sdr Selvam telah menerangkan
Ini adalah berdasarkan kepada kes Pn.Vijaya A/P Maniam dari Cameron Highlands yang mengidap sakit lumpuh sejak tahun 2006 dan diagnosis ini telahpun dibuktikan dalam Scan CT. Pn Vijaya telah dirujuk ke Jemaah Doktor pada 27/01/2010 untuk memutuskan samada beliau adalah layak untuk menerima Pencen Ilat. Komen yang dirakamkan oleh Panel Doktor adalah:
“ Involving non-dominant extremities (left side). Activity of daily living mildly affected. PU /. BO /. Take care of herself. Gait normal.”
Seksyen 16 (2)(b) dalam Akta Perkeso menyatakan bahawa seorang harus ditafsirkan sebagai Ilat jika beliau tidak berupaya mendapat pendapatan yang lebih dari 1/3 daripada jumlah yang beliau dapat sebelum keilatan itu. Isunya bukan samada pesakit dapat menjaga diri sendiri di rumah beliau (activities of daily living)! Nampaknya doktor-doktor yang menganggotai jemaah ini tidak memahami peranan mereka!
Mengikut laporan Pn.Vijaya, Jemaah Doktor ini tidak memeriksa kekuatan tangan dan kaki beliau. Mereka juga tidak memakai “tendon hammer” untuk memeriksa refleks tendon. Jika mereka tidak menjalankan pemeriksaan fisikal seperti ini bagaimana mereka akan dapat menentukan samada Pn.Vijaya berupaya mendapat pendapatan lebih dari 1/3 daripada jumlah yang beliau dapat sebelum sakit itu.
Pn Vijaya hanya belajar sampai ke Darjah Enam di sekolah Tamil. Beliau telah berkerja di kilang dan selepas itu sebagai seorang “cleaner”. Isu yang harus dipertimbangkan oleh Jemaah Doktor Perkeso adalah samada Pn.Vijaya dapat meneruskan kerja sebagai pekerja biasa di kilang atau pun di unit house-keeping. Itulah isu pokok yang mereka sepatutnya mempertimbangkan bukan samada beliau dapat mandi tanpa pertolongan di rumah!
Pn Vijaya tidak puas dengan keputusan JD tersebut dan telah merayu pada Jemaah Doktor Rayuan (JDR). Walaupun nota Perkeso (yang ditandakan 3b) yang dengan jelas menyatakan Pn Vijaya mengidap penyakit “Corona Radiata Infarct with Left Hemiparesis” diberi kepada jemaah ini, keputusan jemaah tidak ambilkira penyakit ini. Nota komen doktor pakar adalah
“L frozen shoulder on treatment at Ortho Department. Underlying Hypertension and Diabetes Mellitus. No serious end organ damage”.
Mengikut kata Pn.Vijaya, pakar-pakar yang menganggotai jemaah ini tidak meminta beliau baring atas meja pemeriksaan untuk melakukan “tendon reflexes”. Kekuatan kaki dan tangan beliau juga tidak diperiksa. Nampaknya, laporan perubatan dan juga nota PERKESO terhadap kes pun tidak dibaca oleh doktor pakar dalam JDR ini.
Soalan kami kepada Menteri Kesihatan ialah:
- Berapakah bilangan kes yang dikemukakan kepada JD atau JDR dalam satu-satu persidangan?
- Adakah bilangan ini terlalu berat sehingga doktor membuat keputusan tanpa memeriksa dan mempertimbangkan segala fakta dengan teliti?
- Adakah para doktor JD atau JDR tidak dapat membuat penelitian yang bebas (independent) ketika sessi pemeriksaan akibat dipengaruhi oleh pegawai-pegawai dari PERKESO?
PERKESO ditubuhkan untuk memberi perlindungan, antara lain, kepada para pekerja yang sakit teruk sehingga tidak dapat bekerja sebelum mencapai umur 55 tahun. Malangnya kecuaian doktor dari Kementerian Kesihatan sedang melumpuhkan perlindungan ini. Keputusan JD dan JDR ada impak yang besar terhadap kebajikan seseorang pekerja yang jatuh sakit. Adalah amat mengecewakan apabila permohonan pekerja dilayani secara kurang profesional seperti telah berlaku dalam kes Pn Vijaya.
Daripada 10 permohonan untuk mendapat faedah-faedah PERKESO, 8 kes ditolak akibat laporan perubatan yang tidak kukuh oleh doktor. Perkara ini diakui oleh Menteri Sumber Manusia, Dr.Subramaniam (NST - 26Feb2009).
Tuntutan kami kepada Kementerian Kesihatan:
- Mendidik doktor-doktor yang akan dilantik ke JD dan JDR PERKESO mengenai syarat-syarat PERKESO terhadap isu keilatan dan hilang upaya kekal. Kementerian Kesihatan perlu menyediakan garis panduan supaya mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna dan bertanggungjawab.
- Memastikan bilangan kes PERKESO yang dirujuk kepada JD atau JDR tidak terlalu ramai sehingga doktor tertekan sehingga membuat keputusan yang tidak munasabah.
- Mewujudkan satu sistem di mana pemohon yang tidak puas dengan layanan JD & JDR boleh melakukan aduan.
- Memastikan tidak ada campurtangan dari pegawai PERKESO ketika JD atau JDR melakukan pemeriksaan terhadap pemohon faedah PERKESO. Kami menyuarakan kebimbangan ini kerana terdapat anggapan bahawa PERKESO tidak ingin meluluskan pemberian faedah (walaupun layak) kepada pekerja di atas alasan bahawa ini akan membankrapkan PERKESO (berdasarkan ulasan seorang pengerusi Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS) pada suatu masa dahulu).
Tuntutan kami terhadap kes Pn.Vijaya A/P Maniam
Berkenaan dengan kes Pn Vijaya A/P Maniam, kami telah meminta Menteri Kesihatan mengaturkan pemeriksaan oleh Pakar Neurologi untuk memeriksa dan memastikan keadaan kesihatan beliau. Pakar Neurologi ini harus memberi Laporan Perubatan terkini supaya kami boleh merujuk kepada PERKESO untuk membuka semula dan mempertimbangkan kes beliau dengan wujudnya Laporan Perubatan yang baru.
Suresh Kumar
PSM Cameron