Tindakan Pro-Aktif... LPKP Di Pihak Siapa?



Wakil dari MPR telah mengadakan satu kempen tandatangan untuk meminta kerajaan masuk campur dalam menyelesaikan masalah bas awam di Cameron Highlands. Di Cameron, kami menghadapi masalah-masalah berikut:

  1. BAS YANG LAMA DAN KERAP KALI ROSAK (TIDAK SELESA).
  2. BAS YANG TIDAK MENGIKUT JADUAL.
  3. KEKERAPAN BAS YANG TERLALU LAMA.
  4. MASALAH-MASALAH PEKERJA BAS YANG MEMBAWA KESAN KEPADA PERKHIDMATAN BAS.
Kami telah berjaya mengumpul sekitar 1000 tandatangan. Selepas itu saya telah menghubungi Setiausaha LPKP (Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan) untuk meminta satu tarikh supaya kami dari MPR dapat berjumpa dengan beliau dan menyerahkan memorandum mengenai masalah bas.

Selepas saya menghantar sepucuk surat kepada Pengarah LPKP meminta satu tarikh perjumpaan. Saya telah menerima satu panggilan dari seorang bernama En.Muniandy yang mengaku beliau adalah wakil Pejabat Pengarah LPKP. Beliau telah bertanyakan apakah kandungan memorandum tersebut.

Selepas itu saya telah menerima sepucuk surat dari LPKP yang mempertahankan pengendali sistem bas awam, Syarikat Regal. Kami dari MPR belum pun lagi menghantar memorandum masalah kami tetapi LPKP pula telah bertindak secara pro-aktif telah memberikan jawapan kepada masalah yang telah diungkitkan dalam memorandum kami. Kenapakah LPKP yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri begitu bersungguh-sungguh mempertahankan LPKP? Apakah hubungan Syarikat Regal dengan LPKP. Perjuangan MPR terhadap isu ini akan diteruskan.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Majlis Makan Malam PSM Untuk Mengumpul Dana



PSM Cameron telah mengadakan satu majlis makan malam untuk mengumpulkan dana dan meneruskan perjuangan rakyat untuk satu tahun lagi yang akan datang. Majlis Makan Malam tersebut telah diadakan pada 16 May 2009 di Hotel Country Lodge, Brinchang, Cameron Highlands. Lebih dari 200 orang telah mengambil bahagian untuk memeriahkan majlis ini.

Komrad-komrad PSM seperti Aruthchelvan (Setiausaha Agung PSM), Dr.Nasir (Pengerusi Nasional PSM dan ADUN Kota Damansara) dan Dr.Jeyakumar (Ahli Parlimen Sg Siput) telah memberikan ucapan. Majlis turut dimeriahkan oleh ialah lagu nyanyian Saudara Sugu dan Saudara Sudhandira Kumar. Saya telah berkongsi bersama hadirin mengenai kerja-kerja PSM di Cameron Highlands. Saudara Siva pula telah menceritakan pengalaman beliau mengambil bahagian di dalam Kempen Berbasikal JERIT pada tahun lepas.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Selamat berjumpa semula...

Salam perjuangan.
Selamat berjumpa semula dengan dan saudara-saudari. Saya tidak dapat ‘update’ blog ini untuk 2 bulan yang lepas akibat beban kerja yang tinggi. Maaf untuk kelewatan tersebut. Sepanjang masa di mana saya tidak 'update' blog ini, banyak perkara telah berlaku di sekitar rakyat Cameron Highlands.

Majlis Perwakilan Rakyat (MPR). Sepanjang dua bulan lepas, MPR Cameron telah mengadakan beberapa mesyuarat untuk membincangkan isu-isu tanah, rumah, sistem bas awam dan pemasangan lampu awam di Blue Valley. Berkenaan dengan isu tanah dan rumah, ahli-ahli MPR telah mengunjungi Pejabat Tanah sekali lagi pada 4 Mei 2009. Malangnya Pegawai Daerah, Dato Hj Mohamad Noor tiada di pejabat dan kami tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan mana-mana pegawai lain. Kunjungan kali ini dibuat selepas menerima surat dari PD yang menolak perjumpaan seterusnya dengan ahli-ahli MPR. Satu lagi surat juga telah diterima pada 13 Mei 2009 yang bermaksud sama. Berikut ialah kedua-dua surat tersebut. Saudara/i boleh membaca sendiri sebab yang diberikan oleh Pegawai Daerah.


Kami dari MPR ingin berjumpa dengan PD untuk menyelesaikan masalah-masalah berikut:
  1. tanah perumahan/pertanian yang sudah diduduki lama tetapi tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Tanah ini sudah diduduki sebelum tahun 2001, iaitu sebelum Polisi Kerajaan Pahang yang membekukan pembukaan tanah-tanah baru
  2. tanah perumahan/pertanian yang diambil untuk projek kerajaan tetapi tidak diberi tanah lain.
  3. lesen LPS untuk tanah pertanian/perumahan yang dimohon oleh orang yang sedang mendudukinya tetapi diberikan kepada orang lain.
  4. rakyat Cameron yang berpendapatan rendah diketepikan apabila diberi rumah kos rendah.
Kesemua masalah di atas adalah berkaitan dengan hak manusia untuk hidup, mempunyai rumah dan mencari nafkah. Malangnya, jika dilihat pada jawapan yang diberikan oleh Pegawai Daerah, ia mencabul hak seseorang untuk membina dan memiliki rumah, bertani dan mendapatkan peluang di dalam skim perumahan kos rendah. Senarai di bawah adalah sebab-sebab penolakan yang diberikan oleh Pejabat Tanah Cameron.


Sebab penolakan dan bilangan kes
Ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri Pahang - 12 kes
Gerai sudah penuh - 1 kes
Permohonan di atas lereng bukit, rizab sungai/jalan - 6 kes
Tiada projek perumahan kos rendah - 2 kes

Kebanyakan kes ditolak dengan memberikan alasan seolah-olah Pihak Berkuasa Negeri Pahang yang menolak dan bukannya pihak berkuasa Cameron. Pejabat Tanah Cameron selalu memberikan alasan bahawa tanah pertanian baru tidak dibenarkan dibuka selepas tahun 2001. Tetapi kami mempunyai 2 persoalan yang selalu dielak oleh Dato Hj Mohamad Noor iaitu:
  1. lesen LPS yang dimohon adalah untuk tanah pertanian yang sudah diusahakan sejak tahun 1970-an. Bukan selepas tahun 2001.
  2. bolehkah Pegawai Daerah membuktikan bahawa tiada tanah pertanian dibuka sejak tahun 2001? Empangan di Ringlet menjadi begitu cetek akibat mendapan tanah dari kawasan yang lebih tinggi. Bukankah tanah ini datangnya dari pembukaan tanah yang baru? Pembukaan tanah-tanah pertanian yang tidak terkawal ini juga menyebabkan kemusnahan alam sekitar Cameron Highlands.
Alasan gerai sudah penuh juga tidak dapat diterima kerana proses pemberian permit dan lesen gerai tidak telus. Bolehkah Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan Dato Hj Mohamad Noor menerbitkan secara awam nama-nama pemilik permit dan lesen gerai di Cameron Highlands? Gerai yang dipohon oleh oleh ahli MPR adalah seorang ibu tunggal. Ibu tunggal patut diberi keutamaan untuk mewujudkan peluang pendapatan.

Manakala sebab bahawa permohonan terletak di atas lereng bukit dan rizab sungai/jalan; ada yang betul dan ada yang diputar belit Pejabat Daerah Cameron. Ada rumah yang sudah lama berada di sesuatu tempah tiba-tiba menjadi “haram” akibat pembinaan projek kerajaan/swasta. Contohnya ialah sebuah rumah di Lubok Tamang, Ringlet. Mereka sudah menghuni rumah tersebut lebih dari 20 tahun. Rumah tersebut menjadi “haram” akibat pembinaan sekolah di kawasan itu. Bukankah tanggungjawab kerajaan untuk mewujudkan perumahan selesa untuk setiap rakyat. Rumah yang terlibat di dalam projek kerajaan harus dipindah ke lokasi lain oleh kerajaan itu sendiri.

Manakala permohonan untuk rumah kos rendah, ada yang sudah menunggu lebih dari 6 tahun. Tetapi kita dapat lihat mereka yang kaya dapat membeli rumah di perumahan kos rendah yang kemudiannya disewa kepada orang lain. Ada juga rumah yang dijadikan “rumah percutian” yang disewa kepada pelancong.

Pada pendapat saya, Pejabat Tanah Cameron dan Dato Hj Mohamad Noor dijadikan “tools” oleh pihak-pihak kaya untuk menambahkan lagi kekayaan mereka. Di dalam proses ini, rakyat diabaikan (terutamanya rakyat miskin), alam sekitar dimusnahkan, struktur dibina tanpa perancangan dan pandangan rakyat diketepikan. Ini bukan sahaja masalah di Cameron Highlands, tetapi juga di seluruh negara. Ia begitu ketara di Cameron. Saya percaya bahawa penukaran Pegawai Daerah tidak akan menyelesaikan masalah ini. Rombakan sistem pengurusan Daerah Cameron harus dibuat. Pegawai-pegawai utama kerajaan di Cameron seperti Dato Hj Mohamad Noor harus boleh disoal dan dilucutkan jawatan oleh rakyat jika mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka. Barulah akan wujudnya pemerintahan dari rakyat untuk rakyat.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Upacara Mengenang Rakyat Terkorban Di Dalam Peperangan Sri Lanka



Saya telah dijemput untuk mengambil bahagian di dalam satu upacara memperingati warga-warga Tamil yang terkorban di dalam peperangan saudara di Sri Lanka baru-baru ini. Peperangan tersebut telah dijalankan di atas nama menentang penganas walaupun ia lebih kepada kerakusan Presiden Mahinda Rajapakse untuk menang terhadap Liberation Tigers of Tamil Ealam (LTTE).

Upacara ini juga telah dihadiri lebih kurang 80 orang. Di antaranya ialah Prof P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri Penang) dan Thirumavalavan (Pengerusi Tamil Neri Malaysia).

Saya telah diminta memberikan satu ucapan ringkas. Saya telah berucap mengenai kesan peperangan ini terhadap rakyat Sri Lanka, mengapakah negara luar begitu ingin menolong kerajaan Sri Lanka menentang LTTE dan apakah sebab kerajaan Malaysia tidak mengecam peperangan ini.

Upacara ini dimulakan dengan “candle light vigil” dan diakhiri dengan penaburan bunga untuk rakyat yang telah mati di dalam peperangan ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Aduan Polis Terhadap Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor

Satu aduan polis telah dibuat ke atas Pegawai Daerah Cameron, Dato Hj Mohamad Noor pada 4 Mei 2009. Aduan ini dibuat berikut kegagalan beliau menjalankan tugasnya sebagai Pegawai Daerah. Aduan telah dibuat secara kolektif oleh ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Cameron.

Di dalam aduan tersebut, ahli-ahli MPR telah mengadu akan kegagalan Dato Hj Mohamad Noor berjumpa dengan penduduk dan seterusnya menyelesaikan masalah rumah dan tanah di Cameron Highlands. Mereka juga telah menyatakan bahawa selepas menghantar 6 surat untuk meminta temujanji mengadakan perjumpaan, Dato Hj Mohamad Noor hanya pernah mengadakan 1 perjumpaan.

Perjumpaan pada 7 Januari 2009, diadakan hanya selepas 60 orang ahli MPR turun ke Pejabat Daerah dan Tanah Cameron. Pegawai Daerah sungguh terkejut dan tiada jalan lain melainkan bertemu dengan rakyat pada hari itu. Itu pun dibantu dengan kehadiran begitu banyak anggota polis.

Di dalam laporan polis itu juga, ahli-ahli MPR telah mengkritik kehadiran Pegawai Polis di Pejabat Tanah Cameron pada 4 Mei 2009. Ahli-ahli MPR hanya mahu berjumpa dengan Pegawai Kerajaan untuk membincangkan masalah rakyat. Apakah rasional kehadiran pihak polis di situ? Adakah mereka ingin menakutkan ahli-ahli MPR supaya tidak hadir sekali lagi ke Pejabat Tanah dan Daerah Cameron?

Dato Hj Mohamad Noor juga telah mungkir janji apabila tidak bertemu rakyat. Beliau telah berjanji untuk bertemu rakyat pada perjumpaan 7 Jan 2009. Tetapi beliau tidak menepati janji yang diberikan.

Perjuangan rakyat Cameron akan diteruskan!

Suresh Kumar
PSM Cameron

Bengkel 'Polis Dan Hak Anda' Di Cameron Highlands



29 Mac 2009
Pada hari ini, kami di PSM Cameron telah menjalankan bengkel 'Polis Dan Hak Anda'. Program ini telah diadakan di Tanah Rata. Turut menganjurkan bengkel ini ialah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). Sdr Aruthchelvan telah dijemput untuk menjalankan program ini. Bengkel ini telah disertai lebih kurang 50 orang peserta.

Bengkel ini telah merangkumi perkara-perkara seperti berikut:
  1. Struktur polis
  2. Cara-cara membuat laporan polis
  3. Hak-hak anda ketika diberhentikan, disoal atau ditahan polis
  4. Penahanan reman oleh majistret
  5. Pemeriksaan badan

Bengkel ini bermula pada pukul 10 pagi dan tamat pada pukul 5 petang. Kesemua peserta amat gembira kerana mereka tidak pernah menyertai bengkel sebegini. Mereka mendapati bengkel ini sangat informatif. Terdapat juga cadangan dari perserta Teluk Intan untuk mengadakan bengkel sedemikian rupa di tempat mereka. Cara Aruth menjalankan bengkel ini juga telah menarik minat ramai peserta, sehingga ada yang menganggap Aruth sebagai seorang anggota polis. Setiap peserta juga telah diberikan satu fail yang mengandungi bahan-bahan bantuan untuk mereka mengetahui hak-hak mereka dengan pihak polis.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Satu Lagi Projek Tanpa Perundingan Rakyat... Perobohan Perhentian Teksi Tanah Rata



24 Mac 2009

Latar belakang Isu
Kawasan Perhentian Teksi Tanah Rata dan kawasan sekitarnya hendak dirobohkan dan ditukar menjadi tempat letak kereta. Cadangan ini telah dibuat oleh Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH). Tiada rundingan yang dibuat dengan masyarakat tempatan. MDCH hanya mengeluarkan arahan kepada pemandu teksi supaya berpindah ke tempat yang baru yang masih lagi belum siap selengkapnya.

Pemandu teksi Tanah Rata sanggup berpindah jika MDCH dapat menyiapkan tempat baru. Malangnya tempat baru tersebut kekal dalam keadaan asal; tanpa pintu, tanpa bekalan elektrik dan tanpa talian telefon. Permintaan untuk kemudahan tersebut telah dibuat lebih dari 2 bulan dahulu.

Pada 24 Mac 2009
Saya dan Sdr Simon telah menghadirkan diri di pekarangan Perhentian Teksi Tanah Rata untuk memberi sokongan solidariti kepada saudara dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ingin membela nasib pemandu teksi Tanah Rata. Kami tiba di tempat tersebut sekitar 8.45pagi. Suasana pada masa itu masih lagi sunyi. Hanya terdapat beberapa wartawan selain daripada ahli PKR dan pemandu teksi.

Jentolak mula datang pada pukul 9.15 pagi. Ini diikuti dengan pasukan polis yang bilangannya begitu banyak. Struktur pertama yang dirobohkan ialah bangunan kedai di sebelah perhentian teksi. Selepas itu, MDCH telah datang untuk merobohkan Perhentian Teksi. Saudara dari PKR bersama wakil-wakil pemandu teksi telah berhujah untuk menghentikan perobohan ini. Wakil yang dihantar untuk berunding ialah salah seorang Penolong Pegawai Daerah Cameron, En.Azlan. Saya tidak pasti sama ada En.Azlan benar-benar mempunyai kuasa untuk membuat keputusan pada hari itu. Turut sama berhujah ialah pegawai polis. Yang Di-Pertua dan Setiausaha MDCH tidak kelihatan di situ. Ini adalah satu masalah yang utama di Cameron di mana pegawai yang mengeluarkan arahan untuk sesuatu projek boleh 'hilang' apabila hendak berjumpa dengan masyarakat yang terjejas akibat projek tersebut.

Selepas beberapa siri hujah dengan En.Azlan dan pegawai polis, akhirnya pihak MDCH telah bersetuju untuk menyiapkan tempat baru Perhentian Teksi dalam masa 4 jam. MDCH dan polis terpaksa akur kepada kuasa rakyat. Pemandu teksi telah diminta berpindah hanya pada pukul 4.30 petang. MDCH dapat menjalankan satu kerja yang tertangguh selama 2 bulan dalam masa 4 jam sahaja!

Suresh Kumar
PSM Cameron