Lawatan Pegawai Jabatan Perhubungan Perusahaan Perak Ke Ladang Blue Valley.





23 Julai 2008

Pada 23 Julai 2008, 3 orang pegawai dari JPP Perak telah melawat Ladang Blue Valley. Lawatan ini adalah berikutan aduan yang telah dibuat oleh pekerja melalui surat bertarikh 4 Julai 2008.

Pegawai-pegawai yang hadir telah berjumpa dengan pengurus ladang, En.Babu Nair sebelum berjumpa dengan para pekerja. Pemilik ladang ialah Blue Valley Plantation Berhad. Perjumpaan telah diadakan di rumah salah seorang penduduk di situ. Aduan pekerja ladang adalah bahawa pengurus ladang telah mewujudkan satu situasi supaya pekerja akan berhenti kerja dengan sendiri.

Di antara aduan-aduan tersebut ialah:

1.) gaji yang terlalu kurang (di antara RM250 ke RM 350).

2.) tiada kemudahan kesihatan atau pengangkutan ke hospital.

3.) tempat bekerja yang dipenuhi semak.

4.) tidak menyediakan peralatan untuk bekerja. Semua peralatan harus dibeli oleh pekerja sendiri.

5.) jenis pekerjaan yang tidak sesuai dengan umur pekerja.

6.) caruman PERKESO dan KWSP yang tidak menentu dan tertangguh sehingga setahun.

7.) kemudahan air yang tidak begitu bersih.

8.) bekalan elektrik yang dicaj 30 sen seunit.

9.) ugutan oleh pengurus ladang yang hendak mengeluarkan surat amaran jika pekerja membuat aduan.

10.) gaji dipotong walaupun permohonan cuti tahunan telah dibuat.

11.) SB dan ahli politik MIC menakutkan pekerja.

12.) percubaan untuk memecahkan pekerja dengan menghasut sekumpulan pekerja lain.

13.) keadaan rumah, persekitaran dan jalan masuk yang tidak dijaga.

Pegawai-pegawai JPP juga telah melawat keadaan persekitaran untuk mengetahui keadaan sebenar.

Seorang pegawai JPP juga telah mempertahankan kedudukan pengurus ladang dengan mengatakan bahawa ladang tersebut berada dalam kerugian. Tetapi persoalan pekerja di situ ialah, bagaimanakah ladang-ladang teh lain di Cameron boleh membuat keuntungan dan ladang teh ini mengalami kerugian. Jika pekerja harus berkongsi kerugian pemilik ladang, adakah pemilik ladang sanggup berkongsi keuntungan yang telah dibuat sebelum ini?

Masalah sebenar ialah pemilik ladang yang ingin menjual ladang tersebut untuk projek pembangunan lain. Tetapi disebabkan ladang masih dipertikaikan di makahmah, maka pemilik mengambil sikap sambil lewa dan membiarkan pekerja meninggalkan ladang dengan sendiri. Dengan itu, pemilik tidak perlu membayar pampasan jika ladang ini dijual kelak. Pekerja di ladang ini juga sudah berusia dan adakah mereka dapat terus berjuang merupakan tanda tanya.

Tetapi semangat berjuang pekerja semakin menebal dengan setiap insiden yang berlaku. Diharap mereka dapat bertahan dan terus berjuang.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Wakil PSM Dihalang Masuk Oleh Pengurus Ladang Blue Valley.



11 Julai 2008

Pada 11 Julai 2008, pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja, En.Lam, telah melawat Ladang Blue Valley untuk mendapatkan gambaran sebenar situasi yang sedang dialami oleh pekerja-pekerja di situ. Kami telah mendapat panggilan pada pukul 3.15 petang dari pekerja ladang Blue Valley. Perjalanan ke ladang tersebut dari Tanah Rata mengambil masa lebih kurang 40 minit.

Saya bersama Komrad Simon dan Komrad Dinesh telah bergegas ke situ. Sebaik sahaja sampai, pekerja-pekerja ladang telah memberitahu kami bahawa Pengurus Ladang tidak membenarkan kami masuk ke dalam pejabat. Di situ, En.Lam sedang menemu-bual seorang demi seorang pekerja. Pengurus Ladang juga telah memanggil pengawal keselamatan untuk mengawasi kami.

Pekerja ladang sepatutnya berunding dengan En.Lam dan Pengurus Ladang supaya membenarkan seorang wakil kami masuk ke dalam. Tetapi disebabkan oleh perjuangan ini baru bermula, banyak lagi perkara yang perlu dibimbing untuk pekerja di situ. Pekerja ladang di seluruh Malaysia tertindas untuk sekian lama. Membimbing mereka supaya mereka sedar akan hak-hak mereka bukanlah satu perkara mudah. Ia akan mengambil masa. Kami akan membangkitkan perkara ini di dalam mesyuarat dengan penduduk yang akan datang.

Menurut En.Lam yang kami temui selepas itu, beliau bersetuju bahawa pekerja menghadapi masalah-masalah seperti gaji, kesihatan, peralatan kerja dan kemudahan rumah. Pengurus Ladang telah mengatakan beliau tidak berkuasa dan beliau hanya menerima arahan dari pemilik ladang. En. Lam telah memberikan notis kepada Pengurus Ladang supaya hadir bersama pemilik ladang ke Pejabat JTK Tapah dalam masa 14 hari.

Kami akan membimbing pekerja Ladang Blue Valley supaya terus berjuang untuk hak-hak mereka.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Sesi Perbincangan Untuk Ibu Tunggal Di Cameron Highlands.



29 Jun 2008

Pada 22 Jun 2008 (Ahad),Pusat Khidmat PSM Cameron telah mengadakan satu sesi perbincangan untuk ibu-ibu tunggal. Sesi tersebut telah berlangsung di Rumah Kanak-Kanak Istimewa Cameron Highlands (RKICH). RKICH dikendalikan oleh komrad baru di Cameron, Sdr. Simon. Sesi ini bermula bermula pukul 2.00 petang. Saudari Veronica telah membantu kami menjalankan sesi ini.

Kehadiran 23 ibu tunggal memang tidak dijangka. Sesi dimulakan dengan setiap orang mengenali satu-sama lain. Sesi selepas itu memerlukan ibu-ibu tersebut mencari satu objek yang mempunyai persamaan dengan hidup mereka. Di dalam sesi ini, keadaan menjadi haru apabila setiap ibu telah menceritakan keadaan hidup mereka yang terpaksa mengharungi satu kehidupan yang susah.

Kemudian ibu-ibu ini telah dipecahkan kepada 4 kumpulan untuk membincangkan tajuk ‘Peranan Wanita Dalam Masyarakat’. Penyokong PSM yang hadir telah membantu mengendalikan aktiviti ini. Di dalam pembentangan, kebanyakan jawapan menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap mekanisme kerajaan yang tidak membantu mereka. Ada yang mengkritik ‘hamper’ yang diberikan setahun sekali. Banyak juga menyoal tentang janji-janji yang telah diberikan.

Sebelum tamat, peserta yang hadir telah mengambil keputusan untuk mengadakan perjumpaan setiap bulan. Perjumpaan seterusnya ialah pada 27 Julai 2008. Selepas itu,peserta mengambil gambar kumpulan bersama semua yang hadir.


Suresh Kumar
PSM Cameron.

Rakyat Cameron Berhimpun Menentang Jalan Sehala.



4 Jun 2008

Pada 21 Mei 2008, lebih kurang 120 orang rakyat telah berkumpul di hadapan Pejabat JKR Cameron. Mereka ingin mengambil bahagian di dalam mesyuarat yang akan dianjurkan oleh JKR untuk membincangkan penukaran jalan dua-hala kepada sehala di Brinchang. Rakyat yang berkumpul terdiri daripada semua lapisan masyarakat. Saya bersama komrad Simon dan Kumarasalvam telah menghadiri perhimpunan ini.

Pada pukul 10.15 pagi, pegawai JKR, En.Retnasingam, telah memberitahu kami hanya 2 orang wakil sahaja akan dibenarkan masuk. Tetapi kami sudah membuat keputusan malam sebelumnya bahawa 20 wakil daripada penduduk harus dibenarkan masuk. Selepas perbincangan dengan En.Retnasingam, beliau telah memanggil Jurutera Daerah JKR, En.Hanafi untuk berunding dengan kami.

En.Hanafi telah memberikan sebab bahawa bilik mesyuarat tidak boleh menampung 20 orang. Penduduk telah meminta mesyuarat ditukar ke tempat yang lebih besar. En.Hanafi tidak bersetuju dengan cadangan kami dan hanya mahukan 2 orang mengambil bahagian. Tetapi rakyat yang berkumpul bersatu dan tidak mahu berganjak dari angka 20.

Seterusnya En.Hanafi telah mencadangkan satu sesi dialog bersama rakyat supaya ramai dapat hadir. Kami bersetuju tetapi kami telah meminta dua perkara iaitu: 1.) semua pegawai kerajaan yang hadir pada hari itu juga mesti turut hadir pada sesi dialog 2.) tarikh sesi dialog mesti ditentukan pada masa itu juga. Seperti yang disangka, En.Hanafi tidak bersetuju dengan tetapan kami. En.Hanafi juga telah menuduh bahawa saya membuat spekulasi tersendiri tetang perubahan jalan sehala. Beliau telah masuk semula ke dalam tanpa memberikan kata putus.

Kemudian, tiba pula KPD Cameron, DSP Yahaya, yang turut memberikan alasan yang sama. Tetapi selepas berunding untuk seketika, beliau bersetuju untuk membenarkan 5 orang wakil. Tetapi rakyat yang berkumpul di luar tetap meminta 20 wakil dibenarkan masuk kerana keputusan itu telah diambil sebulat suara pada mesyuarat sehari sebelum.

Setelah berunding seketika, DSP Yahaya masuk ke dalam pejabat JKR dan keluar semula bertanyakan surat jemputan rasmi menghadiri mesyuarat tersebut. Penduduk yang mempunyai surat tersebut terus menghulurkannya. Tetapi yang melucukan ialah apabila beliau meminta surat yang hanya mempunyai lambang JKR bewarna kuning. Menurut beliau, kesemua surat yang tidak mempunyai lambang kuning dianggap tidak sah; walaupun mempunyai tandtangan dan cop rasmi JKR. Ini menunjukkan tindakan pihak berkuasa yang tidak mahu melibatkan rakyat ketika mengambil keputusan-keputusan penting. Pada ketika itu juga, pegawai SB beria-ria mengambil gambar rakyat yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Selepas tidak mendapat persetujuan dari DSP Yahaya untuk 20 wakil penduduk masuk ke dalam, kami pun mengambil keputusan untuk menghantar surat bantahan ke pejabat JKR. Tetapi pegawai di Pejabat JKR enggan menerima surat kami (tidak mahu cop ‘DITERIMA’). Pada ketika kami menyoal mereka, mereka terus menghilangkan diri dengan begitu sahaja.

Penduduk yang hadir di situ sangat kesal dengan sikap pegawai JKR. Mereka mengambil keputusan untuk melaporkan hal ini kepada pihak polis. Kesemua yang hadir terus berjalan kaki ke Pejabat Polis Tanah Rata (lebih kurang 100 meter).

Di pejabat polis, penduduk pun membuat laporan terhadap pegawai-pegawai JKR dan berjanji untuk meneruskan perjuangan menentang jalan sehala tersebut.

Suresh Kumar
PSM Cameron

Pembukaan Rasmi Pusat Khidmat PSM Cameron Highlands.



4 Mei 2008

3 Mei 2008 merupakan detik penuh bermakna untuk sebilangan rakyat Cameron. Pada hari inilah pejabat Pusat Khidmat PSM Cameron dirasmikan dengan rasminya oleh komrad Dr.Nasir Hashim.

Pusat khidmat ini telah ditubuhkan pada Ogos 2005. Pada permulaannya, pusat ini telah dikenali dengan nama Pusat Perkhidmatan Rakyat Cameron Highlands. Sejak penubuhannya, pusat ini telah mengendalikan lebih kurang 100 kes.

Tetapi selepas pilihanraya umum 2008, pusat ini telah mendapat sambutan yang lebih baik dari segi bilangan kes dan juga sukarelawan. Cadangan telah dibuat selepas itu untuk mewujudkan satu pejabat tersendiri. Nama pusat ini juga telah dicadangkan untuk ditukar kepada Pusat Khidmat PSM. Selepas beberapa perbincangan, lokasi pejabat baru telah dikenalpasti.

Pada 3 Mei 2008, buat kali pertamanya, bendera merah PSM telah dikibarkan di sepanjang jalan masuk ke dalam pejabat ini. Bendera PSM juga telah digantung di luar pejabat PSM. Pada pukul 4.30 petang, tetamu mula mengisi lokasi majlis pelancaran. Disebabkan oleh satu insiden kemalangan yang kecil, ketibaan komrad-komrad dari Selangor tertunda sehingga 5.20 petang.

Selepas ketibaan komrad-komrad dari Selangor, majlis dimulakan dengan ucapan komrad Suresh Kumar. Tugas pengerusi majlis pula di serahkan kepada komrad baru Cameron, Simon. Saudara Suresh telah menerangkan mengenai situasi am PSM di peringkat nasional dan kemudian telah memberikan penjelasan mengenai kerja-kerja pusat khidmat PSM di Cameron.

Ucapan seterusnya ialah dari komrad Aruth, SUA PSM. Beliau telah memberikan penjelasan mengenai kuasa rakyat yang dapat mengubah sesebuah negara dengan contoh bagaimana rakyat berfikiran jauh ke hadapan berbanding parti-parti politik untuk PRU 2008. Komrad Aruth juga telah memberitahu mengenai krisis makanan yang sedang dihadapi dan mungkin mencetuskan kemelesetan ekonomi. Menurut beliau, harapan PSM terhadap 5 negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat adalah supaya; kelima-lima negeri ini dapat lebih melindungi rakyat ketika krisis ini.

Ucapan seterusnya adalah daripada saudari Ling, seorang penyokong pusat khidmat PSM. Beliau telah menerangkan bagaimana pusat khidmat ini telah menghulurkan bantuan ketika penduduk di Pekan Lama, Brinchang menghadapi masalah.

Ucapan terakhir adalah dari Komrad Dr.Nasir, Pengerusi PSM. Beliau telah menerangkan betapa pentingnya untuk rakyat bersatu untuk menunutut hak mereka. Menurut beliau lagi, yang penting adalah hati untuk menolong rakyat lain, dan bukannya tahap pendidikkan atau kedudukan di dalam masyarakat.

Selepas itu, kesemua hadirin telah dibawa menonton satu ‘slaid show’ ringkas diikuti dengan perasmian pusat khidmat PSM. Semua hadirin telah dibawa mengikuti satu majlis jamuan teh selepas itu.

Suresh Kumar
PSM Cameron