Seorang Ibu Tunggal Membuat Laporan Polis Terhadap Janji Yang Tidak Dipenuhi



29 November 2008

Pada hari ini, seorang ibu tunggal di Blue Valley, Revathi Ramasamy, telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato' S.K.Devamany. Di dalam laporan tersebut, Revathi telah menyatakan Devamany telah menipu beliau berkenaan janji terhadap pembinaan sebuah gerai di Jalan Simpang Pulai - Blue Valley. Laporan polis ini telah dibuat di Balai Polis Kg. Raja. Nombor laporan tersebut ialah 648/08. Revathi adalah salah seorang peserta di dalam kumpulan ibu tunggal kami. Sebagai tanda solidariti, kami telah mengiring Revathi membuat laporan polis tersebut.

Berikut ialah laporan polis Kg Raja 648/08:
Saya yang bernama seperti di atas sedang menetap di Ladang Blue Valley. Saya sedang bekerja di sebuah kedai makanan milik adik saya. Saya menetap di sana bersama emak saya. Saya adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai 3 orang anak.

Lebih kurang 15 hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12), En.Seran (Ketua MIC) dan En.Karupannan (Ketua MIC) telah datang berjumpa saya sebagai wakil Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ S.K.Devamany. Mereka telah berkata bahawa perbincangan sudah diadakan mengenai permohonan saya untuk mengusahakan satu gerai di tanah kerajaan sepanjang Jln Simpang Pulai – Blue Valley. Tempat tersebut juga telah dikenalpasti. Menurut mereka lagi, ahli parlimen Cameron Highlands pada ketika itu, Devamany telah memberi kelulusan kepada saya untuk membina gerai tersebut. Apabila saya meminta surat kelulusan, saya telah diberitahu bahawa surat kelulusan tidak boleh dikeluarkan kerana Devamany belum lagi menang dalam PRU12. Mereka juga telah memberitahu saya bahawa Devamany akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap gerai yang akan saya usahakan.

3 hari selepas janji tersebut diberikan kepada saya, saya bersama adik saya telah meratakan tempat tersebut. Nama adik saya ialah Palanisamy. Kami telah membeli tanah sejumlah 10 lori untuk meratakan tempat tersebut. Selepas itu kawasan tersebut telah dibersihkan. Paip silinder telah dibeli untuk menutup longkang. Kemudiannya sebuah gerai telah dibina menggunakan zink dan papan. Luas gerai yang telah dibina ialah lebih kurang 35kaki x 35kaki.

Semasa gerai ini dibina, pegawai dari JKR telah datang dan mengambil gambar gerai tersebut. Kesemua kerja pembinaan telah siap 2 hari sebelum PRU12. Kos pembinaan ialah RM3700.

Pada 6 Mac 2008, Devamany telah hadir di kuil Blue Valley. Emak saya, Veeramah, telah menghadiri perjumpaan tersebut. Beliau telah memaklumkan kepada Devamany akan gerai yang telah siap dibina. Devamany telah:
  1. memaklumkan bahawa tempat tersebut telah dikhaskan untuk saya.
  2. akan menguruskan hal-hal berkaitan selepas memenangi PRU12.
  3. telah menepuk bahu emak saya dan memberi jaminan bahawa kami boleh berniaga di gerai tersebut.
Pada 8 Mac 2008, hari PRU12, lebih kurang pada pukul 10 pagi, Devamany telah mengunjungi kedai makanan adik saya. Devamany telah memuji saya kerana telah membuktikan bahawa saya boleh membina sebuah gerai. Beliau telah berjanji untuk memberikan tempat tersebut kepada saya selepas PRU12. Ketika itu, ramai orang berada di situ.

Lebih kurang seminggu selepas PRU12, pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Dan Daerah Cameron Highlands (PTDCH) telah merobohkan gerai saya. Alasan yang telah diberikan untuk perobohan tersebut ialah bahawa saya tidak mendapat kelulusan dari PTDCH untuk membina gerai tersebut. Saya telah diminta untuk menghadirkan diri ke PTDCH jika hendak berbincanh lanjut.

Saya telah pergi ke PTDCH dan di situ saya telah ditanya siapakah Devamany untuk memberi kebenaran kepada saya untuk membina sebuah gerai.

Pada 24 Mac 2008, ketika saya bertemu Devamany, beliau telah memberikan alasan bahawa beliau tidak dapat menolong saya kerana jumlah undi yang diperolehi oleh beliau di kawasan Blue Valley adalah kurang. Manakala En.Parimanan (Ketua MIC) telah memberitahu emak dan adik saya, Palanisamy, bahawa saya hanya akan mendapat berniaga di kawasan baru hanya jika kedai makanan adik saya di Blue Valley dirobohkan.

Pada bulan yang lepas, Devamany bersama Dato’ Seri S.Samy Vellu juga telah datang melawat ladang Blue Valley. Emak saya telah bertemu Samy Vellu. Emak saya telah diberi pilihan untuk memilih di antara 2 perkara, iaitu gerai yang telah dibina atau mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Emak saya telah memilih untuk berniaga di gerai yang telah siap dibina. Samy Vellu telah mengarah Devamany untuk menolong emak saya. Devamany telah bersetuju dan telah mengarahkan En.Parimanan (Ketua MIC) untuk meneliti kes saya.

Pada 7 Nov 2008, Devamany telah datang mengunjungi Kuil Blue Valley. Saya telah menghadiri perjumpaan tersebut untuk bertanyakan nasib gerai saya yang telah dirobohkan. Devamany telah melarang saya untuk bercakap dengan menunjukkan tanda isyarat. Beliau juga telah bertanya bahawa adakah saya datang ke situ untuk bergaduh. Apabila saya bertanyakan mengenai janji beliau yang diberikan di hadapan Samy Vellu, beliau dengan angkuhnya memberikan nombor telefon Samy Vellu dan meminta saya menghubungi sendiri. Beliau juga telah berkata bahawa saya boleh pergi ke mana sahaja untuk mengadu dan saya tidak akan dapat membina semula gerai saya.

Saya ingin pihak polis menyiasat Devamany akan perkara-perkara berikut:
  1. telah memberi janji palsu melalui Seran dan Karupannan untuk saya memulakan pembinaan gerai saya 15 hari sebelum PRU12.
  2. telah menipu saya dengan memberikan janji palsu (pada 8 Mac 2008) bahawa pembinaan gerai saya telah diluluskan.
  3. memberikan janji palsu pada emak saya (pada 6 Mac 2008)bahawa tempat gerai itu telah dikhaskan untuk saya dan akan menguruskan perkara lain selepas PRU12.
  4. telah memberikan janji palsu bahawa masalah saya akan diselesaikan ketika mengiringi Samy Vellu dalam lawatan ke BlueValley.
  5. telah bertanyakan saya bahawa adakah saya datang untuk bergaduh pada 7 Nov 2008 di Kuil Blue Valley.
Sekian laporan saya.

Yang benar,
Revathi A/P Ramasamy

Revathi adalah seorang ibu tunggal yang sedang menetap bersama ibu dan 3 orang anaknya. Beliau sedang bekerja di sebuah kedai makanan milik adiknya. Kedai makanan ini telah diberi notis pengosongan setahun dahulu. Walaupun begitu, keluarga Revathi masih dibenarkan menduduki kedai tersebut. Revathi adalah sebahagian daripada rakyat yang sedang meminta temujanji dengan Pegawai Daerah Cameron melalui Majlis Perwakilan Rakyat (MPR).

Kami berharap Revathi akan mendapat penyelesaian untuk masalahnya. Kami juga berharap pihak polis akan menyiasat kes ini dengan adil dan tanpa sebarang prejudis.

Suresh Kumar
PSM Cameron

2 comments:

Cikgu Manimaran Subban said...

VERY GOOD PSM CAMERON...YOU ARE DOING A GOOD JOB... THE POLITICIAN MUST FULFILL THEIR VOWS... DON'T ACTING ONLY... THEY MUST FULFILL THEIR PROMISES... THE POLITICIAN MUST KNOW THEIR JOB AND RESPONSIBILITY IS TO HELP THE POOR AND NEEDY NOT ONLY FISHING THE VOTES... THEY ALSO A NORMAL HUMAN BEINGS... NOW IS THE PEOPLES TIME TO SUFFER BUT EVERYBODY HAVE TO WAIT FOR THEIR TURN...GOD IS THERE SEEING ALL OUR JOBS...HE WILL GIVE YOU BACK WHATEVER YOU DO WITH 10 TIMES... ALL THE BEST PSM CAMERON... I APPRECIATE YOU FAST ACTION AND BRAVENESS... MAY GOD BLESS YOU... TAKE CARE. GOD WITH YOU IF YOU ARE RIGHT...

Cikgu Manimaran Subban said...

VERY GOOD ACTION PSM. WE PEOPLE OF MALAYSIA MUST BE BRAVE AGAINST THE POLITICIANS THAT NOT FULFILL THEIR VOWS. TO POLITICIANS>>U'LL MUST BE NOT DO ANY PROMISES IF CANNOT DO, PLEASE DON'T GO FOR FISHING VOTES ONLY...TRY TO FULFILL UR VOWS AND TREAT EVERYBODY EQUALLY... ALL THE BEST PSM.