MPR Cameron Ke-2... Lebih banyak perbincangan



16 November 2008

Pada hari ini, MPR Cameron yang ke-2 telah diadakan. Walaupun bilangan orang yang hadir adalah kurang daripada MPR pertama, tetapi perjumpaan kali ini melihatkan lebih banyak perbincangan dan debat.

Saya telah membentangkan mengenai keputusan yang telah diambil dalam MPR pertama dan kerja yang telah dilakukan selepas itu. Dalam MPR pertama, keputusan telah diambil untuk meminta satu temujanji dengan Pegawai Daerah (DO) Cameron. Surat tersebut telah dihantar pada 23 Oktober 2008 oleh saya dan Sdr.Kumar. Di antara permintaan MPR di dalam surat tersebut ialah untuk DO membincangkan perkara-perkara berikut:
  1. tanah perumahan/pertanian yang sudah diduduki lama tetapi tidak diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS). Tanah ini sudah diduduki sebelum tahun 2001, iaitu sebelum Polisi Kerajaan Pahang yang membekukan pembukaan tanah baru di Cameron.
  2. tanah perumahan/pertanian yang diambil untuk projek kerajaan tetapi tidak diganti.
  3. lesen LPS untuk tanah pertanian/perumahan yang dimohon oleh orang yang sedang mendudukinya tetapi diberikan kepada orang lain.
  4. rakyat miskin yang memohon rumah kos rendah diketepikan.
Seperti yang dijangkakan, tiada jawapan balas diterima dari Pejabat Daerah Cameron. Kesemua rakyat yang hadir setuju untuk menghantar surat ke-2. Keputusan juga telah diambil supaya kali ini, lebih banyak rakyat turut serta untuk menghantar surat kepada DO.

Isu lain yang telah dibincangkan ialah mengenai masalah di Pejabat Pos Ringlet dan Tanah Rata. Oleh kerana pegawai yang bertugas di situ kurang, maka penduduk menghadapi masalah terpaksa beratur panjang di pejabat pos. Keadaan di Ringlet adalah paling teruk di mana panjang barisan orang yang beratur boleh sampai mencecah keluar dari pagar kawasan pejabat pos. Ramai yang hadir juga kasihan terhadap pegawai yang bertugas kerana terpaksa melayan pelanggan tidak berhenti-henti.

Inilah masalahnya apabila sesuatu Jabatan Kerajaan diswastakan. Perkhidmatan Pos Malaysia sekarang dijalankan di atas dasar keuntungan, dan bukannya sebagai kemudahan untuk rakyat. Bilangan kakitangan dihadkan untuk sesuatu pejabat pos untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Perkara ini tidak berlaku ketika Perkhidmatan Pos di bawah kerajaan.

Terdapat juga berita bahawa Pejabat Pos Ringlet mungkin akan ditutup kerana tidak menjana keuntungan. MPR telah mengambil keputusan untuk membuat kempen tandatangan meminta Pos Malaysia Berhad menambah bilangan kakitangan Pejabat Pos Ringlet dan Tanah Rata. MPR juga akan meminta Pos Malaysia supaya tidak menutup Pejabat Pos Ringlet.

Masalah seterusnya yang telah diungkitkan ialah perkhidmatan bas awam di Cameron Highlands. Perkhidmatan ini hampir lumpuh di Cameron. Banyak masalah yang sedang dihadapai seperti:
  1. bas yang lama dan kerap-kali rosak.
  2. bas yang tidak mengikut jadual.
  3. bas yang tidak kerap.
  4. bas yang tidak selesa.
  5. moral pekerja yang rendah.
  6. gaji pekerja yang rendah.
  7. keadaan bekerja yang tidak selesa.
MPR telah membuat keputusan untuk membuat kempen tandatangan meminta Menteri Pengangkutan masuk campur menyelesaikan masalah ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: