29 November 2008
Pada hari ini, seorang ibu tunggal di Blue Valley, Revathi Ramasamy, telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato' S.K.Devamany. Di dalam laporan tersebut, Revathi telah menyatakan Devamany telah menipu beliau berkenaan janji terhadap pembinaan sebuah gerai di Jalan Simpang Pulai - Blue Valley. Laporan polis ini telah dibuat di Balai Polis Kg. Raja. Nombor laporan tersebut ialah 648/08. Revathi adalah salah seorang peserta di dalam kumpulan ibu tunggal kami. Sebagai tanda solidariti, kami telah mengiring Revathi membuat laporan polis tersebut.
Berikut ialah laporan polis Kg Raja 648/08:
Saya yang bernama seperti di atas sedang menetap di Ladang Blue Valley. Saya sedang bekerja di sebuah kedai makanan milik adik saya. Saya menetap di sana bersama emak saya. Saya adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai 3 orang anak.
Lebih kurang 15 hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 (PRU12), En.Seran (Ketua MIC) dan En.Karupannan (Ketua MIC) telah datang berjumpa saya sebagai wakil Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ S.K.Devamany. Mereka telah berkata bahawa perbincangan sudah diadakan mengenai permohonan saya untuk mengusahakan satu gerai di tanah kerajaan sepanjang Jln Simpang Pulai – Blue Valley. Tempat tersebut juga telah dikenalpasti. Menurut mereka lagi, ahli parlimen Cameron Highlands pada ketika itu, Devamany telah memberi kelulusan kepada saya untuk membina gerai tersebut. Apabila saya meminta surat kelulusan, saya telah diberitahu bahawa surat kelulusan tidak boleh dikeluarkan kerana Devamany belum lagi menang dalam PRU12. Mereka juga telah memberitahu saya bahawa Devamany akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap gerai yang akan saya usahakan.
3 hari selepas janji tersebut diberikan kepada saya, saya bersama adik saya telah meratakan tempat tersebut. Nama adik saya ialah Palanisamy. Kami telah membeli tanah sejumlah 10 lori untuk meratakan tempat tersebut. Selepas itu kawasan tersebut telah dibersihkan. Paip silinder telah dibeli untuk menutup longkang. Kemudiannya sebuah gerai telah dibina menggunakan zink dan papan. Luas gerai yang telah dibina ialah lebih kurang 35kaki x 35kaki.
Semasa gerai ini dibina, pegawai dari JKR telah datang dan mengambil gambar gerai tersebut. Kesemua kerja pembinaan telah siap 2 hari sebelum PRU12. Kos pembinaan ialah RM3700.
Pada 6 Mac 2008, Devamany telah hadir di kuil Blue Valley. Emak saya, Veeramah, telah menghadiri perjumpaan tersebut. Beliau telah memaklumkan kepada Devamany akan gerai yang telah siap dibina. Devamany telah:
- memaklumkan bahawa tempat tersebut telah dikhaskan untuk saya.
- akan menguruskan hal-hal berkaitan selepas memenangi PRU12.
- telah menepuk bahu emak saya dan memberi jaminan bahawa kami boleh berniaga di gerai tersebut.
Lebih kurang seminggu selepas PRU12, pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Dan Daerah Cameron Highlands (PTDCH) telah merobohkan gerai saya. Alasan yang telah diberikan untuk perobohan tersebut ialah bahawa saya tidak mendapat kelulusan dari PTDCH untuk membina gerai tersebut. Saya telah diminta untuk menghadirkan diri ke PTDCH jika hendak berbincanh lanjut.
Saya telah pergi ke PTDCH dan di situ saya telah ditanya siapakah Devamany untuk memberi kebenaran kepada saya untuk membina sebuah gerai.
Pada 24 Mac 2008, ketika saya bertemu Devamany, beliau telah memberikan alasan bahawa beliau tidak dapat menolong saya kerana jumlah undi yang diperolehi oleh beliau di kawasan Blue Valley adalah kurang. Manakala En.Parimanan (Ketua MIC) telah memberitahu emak dan adik saya, Palanisamy, bahawa saya hanya akan mendapat berniaga di kawasan baru hanya jika kedai makanan adik saya di Blue Valley dirobohkan.
Pada bulan yang lepas, Devamany bersama Dato’ Seri S.Samy Vellu juga telah datang melawat ladang Blue Valley. Emak saya telah bertemu Samy Vellu. Emak saya telah diberi pilihan untuk memilih di antara 2 perkara, iaitu gerai yang telah dibina atau mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Emak saya telah memilih untuk berniaga di gerai yang telah siap dibina. Samy Vellu telah mengarah Devamany untuk menolong emak saya. Devamany telah bersetuju dan telah mengarahkan En.Parimanan (Ketua MIC) untuk meneliti kes saya.
Pada 7 Nov 2008, Devamany telah datang mengunjungi Kuil Blue Valley. Saya telah menghadiri perjumpaan tersebut untuk bertanyakan nasib gerai saya yang telah dirobohkan. Devamany telah melarang saya untuk bercakap dengan menunjukkan tanda isyarat. Beliau juga telah bertanya bahawa adakah saya datang ke situ untuk bergaduh. Apabila saya bertanyakan mengenai janji beliau yang diberikan di hadapan Samy Vellu, beliau dengan angkuhnya memberikan nombor telefon Samy Vellu dan meminta saya menghubungi sendiri. Beliau juga telah berkata bahawa saya boleh pergi ke mana sahaja untuk mengadu dan saya tidak akan dapat membina semula gerai saya.
Saya ingin pihak polis menyiasat Devamany akan perkara-perkara berikut:
- telah memberi janji palsu melalui Seran dan Karupannan untuk saya memulakan pembinaan gerai saya 15 hari sebelum PRU12.
- telah menipu saya dengan memberikan janji palsu (pada 8 Mac 2008) bahawa pembinaan gerai saya telah diluluskan.
- memberikan janji palsu pada emak saya (pada 6 Mac 2008)bahawa tempat gerai itu telah dikhaskan untuk saya dan akan menguruskan perkara lain selepas PRU12.
- telah memberikan janji palsu bahawa masalah saya akan diselesaikan ketika mengiringi Samy Vellu dalam lawatan ke BlueValley.
- telah bertanyakan saya bahawa adakah saya datang untuk bergaduh pada 7 Nov 2008 di Kuil Blue Valley.
Yang benar,
Revathi A/P Ramasamy
Kami berharap Revathi akan mendapat penyelesaian untuk masalahnya. Kami juga berharap pihak polis akan menyiasat kes ini dengan adil dan tanpa sebarang prejudis.
Suresh Kumar
PSM Cameron