Percubaan Untuk Menerima Memorandum di Tengah Jalan Oleh Pihak Menteri Besar Pahang



20 April 2010

Pada hari ini, sejumlah 40 ahli-ahli Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) telah datang ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang terletak di Wisma Sri Pahang, Kuantan. Tujuan kami adalah untuk menyerahkan memorandum kepada MB Pahang, YB Dato' Sri Adnan Bin Haji Yaakob. Ketibaan kami pada pukul 10.30pagi telah diterima oleh Setiausaha Politik MB, Dato' Shamsuddin bin Haji Nawawi. MPR ialah satu gabungan di bawah Parti Sosialis Malaysia (PSM), Cawangan Cameron Highlands.

Kami telah dilayan di tengah jalan tanpa dibenarkan masuk ke dalam perkarangan Wisma Sri Pahang. Ini bertentangan dengan apa yang dijanjikan oleh Dato' Shamsuddin sebelum itu. Beliau telah berjanji untuk membenarkan kami masuk berjumpa MB Pahang dan oleh sebab itu, kami telah menghantar satu senarai nama beserta nombor kad pengenalan ke Pejabat MB. Alasan yang diberikan oleh Dato' Shamsuddin ialah bahawa MB terpaksa membatalkan pertemuan kami di saat terakhir kerana menerima kunjungan Presiden sebuah universiti Jordan. Inilah dikatakan Kera Di Hutan Disusukan, Anak Di Rumah Mati Kelaparan. Kehadiran begitu banyak polis cawangan khas juga dapat diperhatikan.

Kami telah bertegas dengan pendirian kami mahu berjumpa MB dan perjumpaan itu mesti diadakan dengan tatacara yang betul, bukannya di tengah jalan. Walaupun Dato' Shamsuddin telah beberapa kali meminta memorandum, kami enggan menyerahkan memorandum di tengah jalanraya. Kami juga telah sebulat suara bersetuju untuk tunggu di situ selagi tiada tempat khas untuk perbincangan disediakan.

Dato' Shamsuddin tiba-tiba mendapat idea untuk menggunakan sebuah dewan di sebuah perpustakaan yang terletak berhampiran. Dewan dibuka dan kami dijemput masuk. Kami telah mengarahkan kesemua polis cawangan khas yang telah masuk ke dalam dewan bersama kami supaya keluar. Ini hanya satu perjumpaan di antara pegawai kerajaan dan rakyat. Tidak melibatkan isu keselamatan. Kami juga tidak membawa sebarang senjata.

Kesemua masalah telah diterangkan secara am dan juga satu persatu oleh setiap pengadu. Dato' Shamsuddin telah cuba berdolak-dalik, tetapi ahli-ahli MPR tegas dengan keputusan bahawa MB Pahang harus campur tangan dan menyelesaikan masalah mereka. Dato' Shamsuddin telah bersetuju untuk hadir sendiri ke Cameron Highlands pada 29 April 2010 untuk menerima dokumen sokongan kes-kes yang telah dikemukakan. Perbincangan itu diakhiri dengan penyerahan memorandum.

Di luar dewan pula, kami mendapat berita bahawa 3 ADUN dari Pakatan Rakyat bersedia menerima memorandum kami dan membawa isu ini ke perbincangan DUN. Mereka ialah ADUN Tras, YB.Choong Siew Onn; ADUN Kuala Semantan YB. Tuan Syed Hamid Bin Syed Mohamed dan ADUN Triang, YB. Leong Ngah Ngah. Kami telah menyerahkan memorandum kepada ketiga-tiga ADUN tersebut.

Dalam perbicangan selepas itu, ahli-ahli MPR telah sebulat suara bersetuju untuk memberikan masa 1 bulan kepada MB Pahang untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: