14 Mac 2012
Penduduk Cameron yang telah datang ke Pejabat PM di Putrajaya dan kemudian ke Parlimen pada hari ini, telah memberikan PM kata putus sama ada
- berhentikan perobohan gerai-gerai peniaga kecil di Kea Farm dan;
- mulakan perbincangan lokasi baru bersama pegerai dan PSM Cameron
- selesaikan segera masalah-masalah lain yang telah dibawa kepada perhatian PM sejak setahun lepas atau;
penduduk yang hadir akan memulakan "OCCUPY" Perkarangan Pejabat PM di Putrajaya bermula dari 9 April 2012.
Masalah-masalah yang telah dibawa ialah:
- 23 pegerai di Kea Farm dipaksa berpindah ke gerai baru yang mempunyai banyak masalah oleh Pegawai Daerah Cameron, Dato Syed Abdul Mutalib Syed Hassan. Perpindahan ini adalah untuk memberi ruang kepada pemaju Signature Landmark membina projek bernama Aranda Nova. Apakah kaitan Dato Syed Abdul Mutalib dengan pemaju Signature Landmark?
- 4 petani kecil di Blue Valley yang telah bertani selama 40 tahun tetapi dinafikan lesen LPS (TOL) oleh Pejabat Daerah Cameron. Adakah ini caranya untuk mengalakkan pertanian di negara kita?
- kawasan rumah yang diduduki oleh Ezumalai selama 42 tahun di Ringlet telah diberi hakmilik oleh Pejabat Daerah Cameron kepada kroni BN pada tahun 2005. Permohonan TOL oleh Ezumalai yang dibuat pada 1991 telah ditolak tetapi permohonan kroni diluluskan.
- permohonan Palanisamy pada tahun 2005 untuk mendirikan gerai makan di Blue Valley telah ditolak oleh Pejabat Daerah Cameron dengan alasan pembekuan pemberian lesen LPS. Tetapi kroni pemerintah telah membuka tanah pertanian seluas 2 ekar di kawasan yang sama pada tahun 2007 dan tiada tindakan diambil oleh Pejabat Daerah Cameron walaupun aduan sudah dibuat.
- Kandasamy & Ponnusamy yang telah memohon LPS pertanian dan rumah murah di Cameron sejak tahun 1970-an tidak pernah dijawab oleh Pejabat Daerah Cameron. Kandasamy pada masa sekarang menghadapi pengusiran dan tidak mempunyai rumah untuk berpindah akibat tanah yang didudukinya sudah dijual kepada orang lain.
- Permohonan lesen LPS untuk pertanian dan gerai makanan ibu-ibu tunggal seperti Ponnamah, Revathy dan Sivasangkari telah ditolak oleh Pejabat Daerah Cameron. Di dalam kes Ponnamah, tanah yang beliau sedang berkebun di Ringlet telah dirampas pada tahun 2002 di oleh Pejabat Daerah Cameron dan tidak diberikan tanah ganti.
- Permohonan LPS untuk meternak kambing oleh Maniam dan anaknya, Maran telah ditolak sejak tahun 2000 oleh Pejabat Daerah Cameron. Maran mempunyai sijil dalam peternakan kambing.
Kumpulan kami telah berjumpa dengan Setiausaha Sulit PM, En.S.Azhar di Pejabat PM di Putrajaya. Kami tidak mendapat apa-apa jawapan dari En.S.Azhar. Turut hadir bersama untuk memberi sokongan ialah komrad dari PSM KL dan Sg Siput. SUA PSM, Sdr Aruthchelvan juga turut hadir.
Oleh sebab itu, penduduk yang hadir telah berbincang dan membuat keputusan untuk ke Parlimen untuk bertemu dengan PM. Parlimen penggal ke-5 telah mula bersidang sejak 12 Mac 2012.
Kami hadir di Parlimen pada pukul 2.30pm dan penduduk Cameron telah berarak ke pintu masuk Parlimen sambil memegang banner dan melaungkan slogan meminta PM menyelesaikan segera masalah-masalah mereka. 5 orang wakil kumpulan telah dibenarkan masuk ke dalam Parlimen bersama MP PSM, Dr.Jeyakumar.
Di dalam sidang akhbar yang dibuat di tempat letak kereta di Parlimen, wakil-wakil penduduk telah memberikan PM sehingga 27 Mac untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka. Jika tiada penyelesaian dicapai, penduduk Cameron bersama penyokong akan "OCCUPY" Perkarangan Pejabat PM pada 28 Mac 2012.
Mari kita lihat sama ada kerajaan BN akur akan kehendak penduduk Cameron atau mobilisasi yang lebih besar seperti "OCCUPY" Pejabat PM harus dibuat untuk membuka telinga pihak pemerintah terhadap masalah-masalah rakyat.
HIDUP RAKYAT, HIDUP PERJUANGAN!!!
Suresh Kumar
No comments:
Post a Comment