Keluarga Namasivayam Berjaya Mendapat Bantuan Perumahan



Adakah saudara/i masih lagi ingat terhadap keluarga En.Namasivayam? Saya pernah menulis beberapa artikel di dalam blog ini mengenai beliau dan keluarganya. Namasivayam telah kehilangan kedua-dua kakinya (atas paras lutut) akibat penyakit Berger. Beliau bersama isteri dan 6 orang anaknya tinggal di dalam sebuah rumah yang sering dilanda banjir di Lembah Bertam, Ringlet.

Beliau telah berjaya dalam perjuangan pertamanya mendapatkan bantuan kaki palsu. Sila baca artikel berikut untuk mengetahui lebih lanjut: Namasivayam Dapat Bantuan Kaki Palsu Selepas Berjuang Hampir 2 Tahun.

Keadaan beliau yang miskin menyebabkan beliau tidak dapat berpindah ke rumah yang lebih selesa. Rumah di mana beliau sedang duduki sekarang telah banyak kali dilanda banjir. Saudara/i boleh membaca artikel berikut untuk mengetahui insiden tersebut: Banjir di Bertam Valley: Apakah Jawapan Kerajaan untuk 3 Keluarga Ini?

Saya telah mengenali En.Namasivayam dan keluarganya lebih dari 3 tahun. Sepanjang masa ini, beliau dan isterinya tidak pernah berputus asa untuk berjuang mendapatkan hak perumahan mereka. Mereka akan cuba turut serta di dalam semua aktiviti memperkukuhkan rakyat. Rumah mereka terjejas teruk akibat pembinaan jalanraya Ringlet-Kuala Lipis. Pejabat Tanah Cameron pula telah berkeras kepala untuk tidak hendak memberikan tanah atau rumah ganti kepada keluarga En.Namasivayam. Sepanjang 3 tahun ini, beliau telah menulis lebih dari 15 surat kepada pelbagai pihak meminta beliau dibantu. Beliau juga telah membuat 4 laporan polis.

Kesemua usaha beliau akhirnya menampakkan hasil apabila beliau menerima surat dari Penolong Pegawai Daerah meminta beliau pindah apabila sebuah rumah akan dibina untuk beliau di bawah Program Bantuan Rumah, ICU JPM. Turut disertakan bersama surat tersebut ialah peta lakaran kedudukan rumah beliau yang akan dibina kelak. Diharap Pejabat Tanah Cameron akan menunaikan janjinya untuk membina sebuah rumah untuk beliau.

Syabas untuk En.Namasivayam dan keluarganya.

Suresh Kumar
PSM Cameron

No comments: