26 Januari 2011
Pada hari ini, kumpulan Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) dan Gabungan Peniaga Kecil Kea Farm telah menghantar satu memorandum kepada PM meminta
- Menangguhkan perobohan gerai-gerai di Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands sehingga perbincangan pampasan diselesaikan.
- Menyelesaikan begitu banyak masalah-masalah tanah, rumah dan gerai di Cameron Highlands yang tidak ingin diselesaikan oleh Kerajaan Pahang.
Memorandum kami telah diterima oleh Dato Ghazali (Pegawai Khas PM) dan En.Mohd Ammir (Setiausaha Sulit Kanan PM). Pada mulanya, pejabat PM hanya ingin membenarkan 5 orang sahaja masuk dan ingin menerima memorandum di ruang menunggu.
Kami telah membantah dan selepas perbincangan, bilik mesyuarat telah dibuka dan 15 orang telah dibenarkan masuk.
Antara masalah-masalah yang telah dikemukakan pada hari ini ialah:
- Peniaga kecil ingin dihalau dari tanah kerajaan untuk memberi laluan kepada pemaju Telah memiliki gerai selama 17 tahun di Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands. Kini telah diberi notis pengusiran untuk memberi laluan kepada pemaju swasta, Signature Landmark Sdn Bhd.
- Penafian hak memiliki tanah untuk rumah, kebun sayur, gerai dan meternak haiwan Alasan yang diberikan oleh Pejabat Daerah Cameron ialah Kerajaan Pahang telah bekukan semua Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sejak tahun 2002. Kebanyakkan permohonan telah dibuat sebelum 2002, malah ada yang telah memohon sejak 1970-an.
- Miskin dan kaya tidak dilayan samarata Golongan miskin tidak dilayan samarata dengan golongan kaya. Orang miskin sentiasa diketepikan dan permohonan mereka sering ditolak dengan alasan tidak munasabah tetapi permohonan orang kaya sentiasa dilayan dan berjaya.
- Ibu tunggal diketepikan Ibu-ibu tunggal mengalami masalah di dalam kehidupan kerana tidak diberikan peluang untuk membuka gerai atau bertani. Tanah yang sedia ada dirampas di atas nama pembangunan. Permohonan baru sentiasa ditolak dan salah seorang diberikan janji kosong oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato S.K.Devamany (sila baca SEORANG IBU TUNGGAL MEMBUAT LAPORAN POLIS).
- Rumah kos rendah bukan untuk rakyat miskin? Permohonan untuk memiliki rumah kos rendah oleh golongan berpendapatan rendah tidak diberi keutamaan mahupun dipedulikan. Terpaksa tunggu berpuluh-puluh tahun untuk rumah kos rendah.
Harapan kami dari PM ialah:
- Memberhentikan perobohan gerai-gerai peniaga kecil di Green Cow, Kea Farm, Cameron Highlands sehingga penyelesaian pampasan dicapai.
- 4 petani kecil di Blue Valley, Cameron Highlands diberikan LPS pertanian.
- Menyiasat dan menyelesaikan 3 kes di mana permohonan LPS ditolak dan diberikan kepada pihak lain yang lebih kaya di Cameron Highlands.
- Menyiasat isu rumah kos rendah yang tidak diberikan kepada rakyat miskin di Cameron Highlands.
- Memberikan 2 LPS pertanian dan 1 LPS gerai makanan kepada ibu tunggal di Cameron Highlands.
- Memberikan 1 LPS untuk ternakan haiwan di Cameron Highlands.
Suresh Kumar
PSM Cameron
No comments:
Post a Comment