Rumah Ezumalai Seperti Di Hujung Tanduk

Tajuk di atas adalah paling tepat untuk menerangkan kedudukkan rumah Ezumalai Saminathan yang terletak di Ringlet, Cameron Highlands. Beginilah keadaan yang menyayat hati di Cameron bagi sesetengah rakyat di Cameron. Ezumalai yang lahir dan menduduki rumah tersebut sejak 42 tahun lalu, kini dipaksa mengosongkan rumah tersebut untuk memberi laluan kepada pemilik baru kawasan tersebut iaitu seorang kroni BN.

Pemilik baru ini diberikan keluasan 3 kali ganda lebih besar daripada tanah yang pernah dipohon oleh Ezumalai. Merujuk kepada surat hakmilik tanah, Ezumalai juga telah mendapat tahu bahawa Ezumalai dan ayahnya telah memohon kawasan tersebut terlebih dahulu berbanding kroni BN tersebut.

Saya mula mengenali Ezumalai dan isterinya Maria, sejak tahun 2004. Saya masih ingat tahun tersebut kerana kes mereka merupakan kes yang pertama di Pusat Khidmat PSM selepas ditubuhkan pada 2004. 8 tahun sudah berlalu dan Ezumalai, Maria dan 2 orang anaknya masih menetap di rumah yang sama walaupun telah diugut dan cuba diberi pampasan yang tidak sepadan untuk berpindah. Nilai pampasan yang dimulakan dari RM3,000 kini telah dinaikkan sehingga RM13,000. Tetapi wang ini tidak mencukupi untuk membeli sebuah rumah.

Kini, kroni tersebut telah menggunakan taktik yang baru untuk mengeluarkan mereka dengan memotong cerun yang tajam di sekeliling rumah mereka. Apabila melihat rumah mereka selepas kerja-kerja pemotongan cerun, rumah di atas hujung tanduk merupakan keadaan yang dapat saya bayangkan. Pemotongan cerun yang curam ini juga telah menyebabkan lantai rumah Ezumalai mula retak.

Ezumalai dan sekeluarganya hidup dalam kebimbangan pada masa sekarang berikutan pemotongan cerun yang tajam di sekeliling rumahnya. Beliau takut akan berlakunya tanah runtuh di tepi rumah beliau. Cameron memang terkenal dengan insiden tanah runtuh. Satu contoh ialah insiden tanah runtuh yang mengorbankan 6 orang di Perkampungan Orang Asal Sg Ruil pada 8 Ogos 2011.

Ketidakadilan ini telah diadu oleh Ezumalai di Pejabat Daerah & Tanah Cameron, MB Pahang, Biro Pegaduan Awam, Ahli Parlimen Cameron, ADUN Tanah Rata, Biro Pencegahan Rasuah dan yang terakhir di Pejabat Perdana Menteri pada Januari 2011. Namun tiada penyelesaian untuk masalah beliau.

Persoalan Ezumalai ialah bagaimanakah kroni pemerintah boleh mendapat tanah yang lebih besar yang dipohon selepas beliau? Ezumalai telah dinafikan haknya untuk memiliki rumah akibat Kerajaan BN yang menyebelahi kroni dan rakyat diketepikan. Ezumalai bertekad untuk berjuang habis-habisan untuk hak rumahnya.

Suresh Kumar
PSM Cameron
019-569 6964


No comments: